Kini saya sokong Amanah, tapi ...
Sejak mula belajar menulis pada 1980-an, saya adalah penyokong dan pendukung Pas. Apabila saya menulis buku-buku politik popular, khususnya tentang krisis dalaman Umno 1993-1999, saya terus dikenali sebagai "budak Pas".
Namun ia tidak pernah menghalang saya daripada cuba memberi gambaran menyeluruh terhadap topik yang saya bincangkan.
Ya, saya penyokong tegar Pas tapi disiplin kewartawanan saya cuba pertahankan.
Sekurang-kurangnya, saya menawarkan alternatif kepada pasaran, bagaimana sesuatu isu atau persoalan itu dilihat dari sudut pandang "budak Pas".
Namun, saya cuba menganalisis sebagai wartawan dan bukannya sebagai penyokong Pas.
Justeru, ada yang melihat saya bukannya editor organ parti - seperti Harakah - yang baik.
Kadang-kadang, bila keadaan memerlukan, idealisme kewartawanan saya dahulukan daripada "kepentingan parti".
Begitu juga selepas saya tidak lagi bersama Pas, dan kini belum lagi menyertai mana-mana parti disebabkan uzur berpanjangan.
Saya tertarik dan menyokong Parti Islam Amanah, tetapi ia juga tidak pernah membataskan skop penulisan saya.
Apakah kerana Amanah bersaing dengan Umno dan Pas, maka saya mesti terkurung dalam Amanah sahaja?
Tentu tidak sama sekali!
Dunia ini begitu luas, tidak sempit, penuh warna-warni, bukan hanya hitam-putih, begitu juga dengan ruang lingkup seorang penulis, walaupun bertaraf wartawan tua pencen macam saya.
Memang tidak mudah untuk berlapang dada, saling meraikan, bertasamuh, sabar mendengar kritikan dan pandangan berbeda, menghargai persahabatan. Tetapi saya berusaha melakukannya, insya Allah.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.