https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pakatan kurangkan program Dr Mahathir, kata Mat Sabu

Oleh Amin Iskandar

PAKATAN Harapan (PH) akan mengurangkan penglibatan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dalam program jelajah dan ceramah bagi memastikan keadaan kesihatan calon perdana menteri itu tidak terjejas, kata Mohamad Sabu.

PH juga akan memastikan semua program yang melibatkan Dr Mahathir tidak akan berakhir lewat sampai ke tengah malam, tambah Mohamad.

Menurut Mohamad, PH tidak lagi akan menganjurkan program secara berturut-turut seperti pada minggu lalu, di Kelantan pada Sabtu dan di Pulau Pinang pada Ahad, sehingga menyebabkan Dr Mahathir tidak dapat hadir pada program di Pulau Pinang.

“Sewaktu di Kelantan minggu lepas, selain daripada ceramah Jelajah PH pada waktu malam, Dr Mahathir terlihat dalam tiga program pada sebelah petang. Akan datang kita akan kurangkan penglibatan dia agar tidak terlalu letih.

“Di Pulau Pinang pada Ahad, Dr Mahathir tidak dapat hadir kerana selepas habis program di Kelantan pada Sabtu, dia terus balik dan sampai lewat di rumah, jadi dia terlalu letih dan tidak sihat,” kata Mohamad yang juga timbalan presiden PH

Dalam ceramah Jelajah PH di Kelantan Sabtu lepas, Dr Mahathir kelihatan menggunakan selendang di lehernya, dikatakan kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memimpin Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi PH yang menganjurkan program jelajah calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri gabungan itu di seluruh negara.

Minggu lalu di Kelantan merupakan program jelajah ketiga yang menampilkan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail di mana lebih 3,000 orang menghadirinya.

Keesokan harinya pada Ahad, PH mempunyai program Sambutan Sepuluh Tahun Kerajaan Pulau Pinang yang seharusnya dihadiri Dr Mahathir akan tetapi bekas perdana menteri itu tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Dr Mahathir dijadual menghadiri sekurang-kurangnya lima lagi ceramah Jelajah PH selepas ini termasuk di Felda Gugusan Besout 1, Tanjung Malim, Perak;  Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Pulau Pinang.

Minggu lalu, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menyuarakan kebimbangan tentang keadaan kesihatan Dr Mahathir. Beliau risau pilihan raya umum yang semakin dekat akan memberi kesan buruk kepada kesihatan calon perdana menteri PH itu.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, PH tidak mempunyai ramai pemimpin dan bergantung kepada bekas perdana menteri itu untuk menarik undi.

Veteran Umno itu berkata beliau hanya boleh berdoa bagi kesihatan ahli politik berusia 93 tahun itu agar dapat berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Mohamad memberitahu The Malaysian Insight, beliau juga sudah meletakkan syarat agar program-program melibatkan Dr Mahathir tidak akan berakhir terlalu lewat seperti program-program PH sebelum ini.

“Dulu program PH, ceramah akan habis pada pukul 12.00 tengah malam, sekarang saudara boleh lihat dalam ceramah jelajah PH, semua program akan berakhir pukul 11.00 malam.

“Ini adalah usaha-usaha yang kita lakukan agar kesihatan pengerusi kami yang sudah berumur 93 tahun tidak terjejas,” kata Mohamad yang juga presiden Amanah.

Awal Februari lalu Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan di dadanya dan demam.

Beliau yang juga pengerusi Bersatu turut membatalkan tiga program kempen PH di Bentong dan diikuti ceramah di penempatan Felda.

Dr Mahathir yang kini berusia 93 tahun sebelum ini pernah dimasukkan dua kali ke IJN iaitu kali terakhir pada 9 Ogos, 2016 dan pada 16 November 2013.

Pada Disember tahun lalu, Dr Mahathir tidak hadir pada sesi ceramah di Ipoh berikutan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan pada Julai, beliau turut membatalkan kehadirannya pada majlis makan malam kutipan dana di Kluang juga disebabkan masalah kesihatan.

Tahun lalu, Dr Mahathir terlibat dalam jelajah PH "Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi" di seluruh negara untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam siri jelajah yang berakhir pada 14 Oktober tahun lalu di Petaling Jaya, Dr Mahathir terpaksa bercakap di dua hingga tiga program ceramah anti kleptokrasi dalam seminggu

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.