https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pasca Pru14 : Masuk Sepas PH Menang

Oleh DR MUHAIMIN SULAM

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak bersikap terbuka atas kemasukan beramai-ramai terutamanya bekas para pemimpin dan pengikut UMNO ke dalam Pakatan Harapan (PH).

Kemasukan tersebut samada melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) jelas ketara selepas pelantikan YAB Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Negeri Perak.

Kemasukan ini akan menambah parah UMNO yang baru kehilangan kuasa di Putrajaya dan di beberapa buah negeri. Ibarat kata pepatah Melayu lama: sudah jatuh ditimpa tangga. Kawan ketawa ramai, kawan menangis sendiri. Begitulah realiti dunia berpolitik.

AMANAH sebagai sebuah parti yang inklusif, akan sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan kepada sesiapa yang turut serta dalam membina semula negara kita yang telah rosak. Namun dalam masa yang sama, kemasukan beramai-ramai ini jangan sampai jadi seperti tikus membaiki labu.

AMANAH adalah sebuah parti yang peduli tentang nasib rakyat jelata dari perangkap kemiskinan dan kemunduran. Jangan seorang kenyang, seribu kelaparan. Inilah yang berlaku pada pemimpin-pemimpin lepas yang mengaut kekayaan peribadi atas kemiskinan rakyat. PH tiada tempat pemimpin yang hanya mementing perut dan tembolak sendiri.

Ingatlah sepotong ayat al Quran yang bermaksud, “Mudah-mudahan Tuhanmu akan melimpahkan rahmat(Nya) kepadamu; dan sekiranya kamu kembali kepada (kedurhakaan) niscaya Kami kembali (mengazabmu) dan Kami jadikan neraka Jahannam penjara bagi orang-orang yang tidak beriman.” Surat Al-Isra' Ayat 8.

AMANAH bukan sekadar sebuah parti politik yang amanah, berintegriti tetapi adalah sebuah parti yang bangkit daripada sebuah kehancuran kepercayaan rakyat.

Disamping itu, AMANAH Perak tetap mengambil sikap berhati-hati dan memberi amaran sebarang usaha mengkhianati perjuangan PH akan kami tentang habis-habisan.
Selamat datang, kawan dan salam perjuangan!
#HarapanBaru

DR MUHAIMIN SULAM
_Naib Pengerusi_
_Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak_

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.