Segera wujudkan Suruhanjaya Pengguna
Oleh Mohd. Hamdan Adnan
TERLEBIH dahulu saya mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas kejayaan merubah wajah politik Malaysia yang pada sebelumnya dilihat sebagai misi mustahil kerana lebih empat dekad didominasi oleh sebuah parti tunggal bernama Barisan Nasional (BN).
TERLEBIH dahulu saya mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas kejayaan merubah wajah politik Malaysia yang pada sebelumnya dilihat sebagai misi mustahil kerana lebih empat dekad didominasi oleh sebuah parti tunggal bernama Barisan Nasional (BN).
Pelbagai sejarah baharu dicipta dan
ribut perubahan telah mengesampingkan segala kemustahilan dan pada 9 Mei
2018, tarikh ini akan terus dikenang semua.
Di sebalik sejarah baharu tersebut, jangan kita
lupakan bahawa kuasa rakyat yang semuanya pengguna adalah pencetus
kepada segala kemungkinan. Yang di atas boleh dijunamkan dan yang di
bawah boleh dijulang dengan kehendak rakyat. Makanya, adalah amat wajar
keperluan dan hak rakyat diberi perhatian dan dilindungi sebagaimana
janji-janji Pakatan Harapan yang kami berpegang padanya.
Rakyat
marhaen lama dibelenggu bebanan tekanan kehidupan semakin parah.
Antaranya berpunca daripada pengenalan cukai baharu, penarikan subsidi
demi subsidi, kenaikan harga barangan yang tidak setara dengan gaji,
kemerosotan nilai wang Malaysia dan pelbagai lagi.
Terma
‘miskin’ yang dahulunya sinonim dengan kawasan pedalaman telah merebak
ke bandar-bandar besar hingga wujudnya golongan miskin bandar. Rakyat
disaran untuk melakukan lebih daripada satu kerja sedangkan ia tidak
begitu membantu apabila nilai wang dan kuasa membeli sering kali
dilemaskan dengan harga barangan yang kerap mendongak dan jarang benar
menunduk. Saya rujuk kata-kata Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir
Mohamad: “Tiada makna jika rakyat berpendapatan tinggi namun masih
tiada kuasa membeli”.
Rakyat selaku pengguna
berhadapan dengan pelbagai isu yang menekan dan hak-hak mereka sebelum
ini tidak begitu diangkat pada tahap yang sewajarnya. Di kebanyakan
masa, pengguna hanya diajak menelan tanpa mempedulikan sama ada mereka
masih mampu berbuat demikian atau sebaliknya. Dalam sedar, suara
pengguna dalam menyatakan hak mereka begitu sayup kedengaran di telinga
penguasa, yang jelas cumalah suara-suara yang mahukan rakyat kekal
bersyukur walau lebih ramai yang semakin keliru dengan maksudnya.
Selaras
dengan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan dan mendambakan kerajaan
yang mesra pengguna, adalah ketika yang sesuai dan wajar untuk Perdana
Menteri dan menteri Kabinet untuk mempertimbangkan penubuhan
jawatankuasa khas bagi memperhalus keperluan dan hak-hak pengguna. Atau
jika perlu, tubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menjadi juara kepada
pengguna dengan mengangkat isu-isu pengguna pada tahap sewajarnya.
Jawatankuasa
atau suruhanjaya tersebut kelak bakal membawa suara pengguna kepada
kumpulan pentadbiran negara dengan nada yang lebih mudah difahami dan
lebih lunak didengar secara menyeluruh dan bermakna.
Sebagai
rakyat Malaysia, saya juga mengimpikan sebuah negara seimbang yang mana
suara dan keluhan rakyat didengar dan diuruskan sewajarnya bagi
membolehkan mereka komited untuk kembali menyumbang kepada kemaslahatan
negara. Jika sebelum ini rakyat menunggu masa yang sesuai, maka inilah
masanya. Hak pengguna mesti dibela agar impian untuk melihat akan
wujudnya Malaysia yang aman, maju dan sejahtera dapat dicapai menjelang
2020.
PROF. DATUK MOHD. HAMDAN ADNAN ialah bekas Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.