Yang penting dan menarik bagi rakyat dan masyarakat antarabangsa ialah apakah citra yang akan dilakar oleh kerajaan baharu Pakatan Rakyat untuk menggambarkan cara gaya pentadbiran baharu yang dilaungkan dalam kempen PRU-14, bahkan sebelum diisytiharkan tarikh pilihan raya itu.

Selain janji-janji yang berkaitan dengan cara gaya tadbir urus negara dan tawaran kehidupan yang lebih baik bagi rakyat, golongan budayawan menduga-duga apakah hala tuju kerajaan baharu dalam hal dasar negara yang berkaitan dengan bahasa dan pendidikan.

Yang sangat ingin disaksikan ialah adakah kerajaan baharu meningkatkan asas kenegaraan yang berkaitan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan, yang dalam era pemerintahan kerajaan BN mengalami pasang surut.

Agak melegakan dalam Buku Harapan: Membina Negara Membina Harapan yang merupakan manifesto Pakatan Rakyat dijamin usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dalam bahagian Falsafah dan Matlamat Pentadbiran Pakatan Harapan, halaman 10, disebut janji untuk “Memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau; melindungi dan memperkukuh penggunaan bahasa ibunda semua kaum; serta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.“

Ternyata bahawa janji itu merupakan pernyataan yang jelas dan tegas tentang martabat bahasa kebangsaan oleh Pakatan Harapan. Entah bagaimana, adakah disebabkan kelalaian menyemak peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tentang erti sebenar Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi, tercetus kejadian kenyataan media Menteri Kewangan, Lim Guang Eng yang tercetak dalam Bahasa Mandarin.

Soal adakah teks itu terjemahan daripada teks asal dalam Bahasa Melayu sudah tidak menarik minat kebanyakan orang kerana dalam sejarah pentadbiran negara belum pernah Bahasa Mandarin digunakan sebagai bahasa penghantar.

Bibit rasa tidak puas hati pejuang bahasa dan budayawan sebenarnya telah dilahirkan apabila siri kenyataan media Perdana Menteri, sejak memenangi pilihan raya hingga diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, adalah dalam Bahasa Inggeris.

Beberapa orang menteri lain pun dilihat lebih mengutamakan Bahasa Inggeris dalam ucapan dan kenyataan media. Media, terutama media sosial seperti Facebook, Whatssap dan Twitter menjadi sarat dengan kritikan kepada Menteri Kewangan.

Meskipun daripada satu sudut ada yang mengatakan kurang adil kerana penggunaan Bahasa Inggeris bagi urusan rasmi tidak pula diberi reaksi yang keras oleh pejuang Bahasa dan masyarakat umum.
Kemuncak bantahan penggunaan Bahasa Mandarin dalam urusan rasmi itu ialah tunjuk perasaan secara aman diketuai Tun Hanif Omar dan dikelolakan Gapena, di hadapan Masjid Putra Jaya sesudah Solat Jumaat pada 29 Jun 2018.

Apa-apa yang telah berlaku tidak dapat diubah semula. Yang penting ialah peristiwa itu sewajarnya dijadikan pelajaran agar para pemimpin lebih peka dan berhati-hati dalam ehwal yang berkaitan dengan dasar kenegaraan, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan.

Sejak lama sebelum kemerdekaan tercapai, gerakan dan perjuangan kebangsaan memang turut berasaskan faktor bahasa, selain faktor politik, ekonomi dan sosial. Istilah nasionalisme linguistik telah digunakan oleh sarjana William Roff untuk menggambarkan pentingnya bahasa sebagai satu landasan perjuangan kebangsaan.

Peranan 

Maka itu dalam Perlembagaan Persekutuan secara khusus diperuntukkan ketetapan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan berasaskan beberapa faktor, terutama faktor sejarah Bahasa Melayu yang menjadi bahasa tamadun di Kepulauan Melayu sejak dua alaf silam. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi secara khusus diperuntukkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bersama-sama dengan dasar kenegaraan yang lain, terutama kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa Melayu dan Bumiputera dan tanah rezab Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi 
telah menjadi salah satu asas perjanjian sosial yang dipersetujui pemimpin dan rakyat bukan Melayu.

Dalam proses pembinaan negara, perancangan bahasa menjadi salah satu bahagian penting, khususnya dalam dua peranan utama. Yang pertama ialah peranan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan kebangsaan bagi rakyat berbilang keturunan. Yang kedua ialah peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengembangan ilmu dan alat pentadbiran negara.

Sebagaimana kebanyakan negara membentuk acuan jati diri kebangsaannya dengan merancang bahasa kebangsaannya sebagai salah satu asas, maka demikianlah juga falsafah pembinaan negara Malaysia (sebelumnya Persekutuan Tanah Melayu) apabila memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam perkembangan pembinaan negara, ternyata bahawa terjadi pasang surut dalam pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan dalam semua bidang, baik pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan kehakiman, tempat awam dan perdagangan.

Dalam bidang pentadbiran, misalnya, sesudah lebih setengah abad merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih belum cukup memuaskan apabila dapatan Audit Bahasa Melayu yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa Bahasa Kebangsaan belum digunakan dengan cukup meluas dalam urusan rasmi. Mutu bahasa yang digunakan pula masih pada tahap yang belum cukup memuaskan juga.

Dalam bidang pendidikan, usaha Menteri Pendidikan, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaakub menukar sekolah aliran Inggeris secara terancang dan beransur-ansur kepada sekolah aliran kebangsaan pada hujung tahun 1960-an dan tahun 1970-an telah menampakkan hasil yang baik.

Pada zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan, lonjakan kepada Bahasa Melayu digerakkan melalui Kurikulum Bersepadu yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. 
 Namun kerajaan kemudian mengurangkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan apabila Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan, pada 2003.

Bagaimanapun ia dimansuhkan Kementerian Pendidikan pada tahun 2009 kerana didapati gagal mencapai matlamat pelaksanaa. Malangnya pada tahun 2016 diperkenalkan pula Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang meskipun dikatakan program pilihan, telah beransur-ansur mengurangkan semula peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan negara.

Di peringkat pendidikan tinggi pula, bahasa Melayu kian kurang peranannya sebagai bahasa ilmu kerana penegasan kerajaan kepada bahasa Inggeris, terutama untuk bidang sains dan teknologi.
Selagi tidak dibuat keputusan yang jelas dan tegas, walaupun dengan hujah klise bahawa “Bahasa Melayu atau Bahasa kebangsaan tidak akan dipinggirkan”, kenyataan yang berlaku di depan mata menunjukkan bahasa kebangsaan memang kian terpinggir dalam hampir semua bidang kehidupan, hatta hubungan sosial sehari-hari.

Selaras dengan kerajaan Pakatan Harapan yang memberikan “harapan baharu” kepada negara, maka sewajarnya dasar dan penguatkuasaan dasar serta undang-undang negara yang berkaitan Dasar Bahasa Kebangsaan dipenuhi dengan terancang dan secara sedar.

Menyebut contoh negara-negara maju berasaskan acuan sendiri, termasuk pengutamaan bahasa kebangsaannya seringkali dianggap klise dan hujah lapuk, tetapi demikianlah hakikat yang berlangsung di negara seperti China, Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan beberapa yang lain.

Dengan pelaksanaan semula Dasar Pandang Ke Timur, sewajarnya yang dipandang bukan kemajuan teknologi dan industri, tetapi segala asas pembinaan negara yang menjadi rujukan, termasuk pengutamaan bahasa kebangsaannya. Hal itu sebenarnya telah diungkap dalam salah satu tonggak Wawasan 2020, iaitu maju dalam acuan sendiri. Hayatilah juga piagam UNESCO yang mencatat bahawa pendidikan lebih berkesan melalui bahasa sendiri.

Lebih asas, manfaatkanlah isyarat al-Quran dalam ayat 4 surah Ibrahim, “Tidak Ku utus Rasul melainkan dalam bahasa yang difahami oleh kaumnya.”

Islam dikembangkan di seluruh alam Melayu oleh para pendakwah Arab menggunakan bahasa Melayu kerana bahasa yang rapat dengan kehidupan bangsa itulah yang berkesan untuk tujuan dakwah 
(dan juga untuk pengembangan ilmu).

Pelajari bagaimana bangsa-bangsa Barat memindahkan ilmu daripada tradisi Islam berbahasa Arab ke dalam bahasa masing-masing kerana itulah fitrah tamadun sejak zaman dahulu. Di samping itu, pelajari dan kuasai bahasa lain sebagai nilai tambah bagi pembangunan tamadun bangsa dan negara.

Pejuang bahasa belum pernah menjadi tidak siuman untuk menolak penguasaan bahasa asing kerana mereka pun orang yang menguasai lebih daripada satu bahasa. Demikianlah “harapan” kepada kerajaan Pakatan Harapan. Semoga keterbukaan menerima pandangan dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kemajuan negara.

PENULIS adalah Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia.