https://critoxium.com/shop/

Terkini

Zahid mahu jumpa PAS bincang calon ketua pembangkang

Oleh Alyaa Alhadjri

Presiden Umno yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan berjumpa dengan PAS menjelang sidang parlimen 16 Julai ini bagi memutuskan calon ketua pembangkang.

Ahmad Zahid juga memberitahu dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno hari ini bahawa spekulasi yang mendakwa Khairy Jamaluddin akan dilantik untuk jawatan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat mereka pagi ini.

"Ketua pembangkang biasanya perlu dilantik dari kalangan yang dipilih sebagai presiden parti.
"Dalam hal ini saya rasa saya mahu bincangkan dengan PAS terlebih dahulu untuk memutuskan perkara itu. Kita akan mengadakan perbincangan awal sebelum 16 Julai," katanya.

Dalam sidang media itu, Ahmad Zahid diiringi timbalan presiden Umno yang baru Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, naib presiden baru Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, dan juga ketua Pemuda Umno yang baru Datuk Dr Ashraf Wajdi Dusuki.

Jawatan naib presiden ketiga dimenangi oleh bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata perbincangannya dengan Khairy pagi tadi menyentuh peranan yang mungkin dimainkan anggota parlimen Rembau itu pada masa depan.

"Saya berbincang dengan Khairy pagi ini dan berkongsi perincian tentang peranan yang dia akan mainkan dalam organisasi," katanya Ahmad Zahid tanpa mengulas lanjut peranan berkenaan.

Khairy bagaimanapun mendedahkan bahawa dia menolak tawaran Ahmad Zahid untuk menjadi setiausaha agung BN yang kini disandang Tengku Adnan.

"Terima kasih DS @Zahid_Hamidi kerana menawarkan saya jawatan Setiausaha Agung BN tadi. Saya memberi tahu beliau saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan tinggi parti. Saya memberi fokus kepada tugas sebagai anggota parlimen. Sedia bantu dan tetap bersama Umno," katanya melalui Twitter.

Dalam sidang media pertamanya selepas menjadi presiden Umno, Ahmad Zahid berkata barisan pimpinan baru akan berjumpa dan berbincang tentang cara terbaik bagi melaksanakan semua janji yang dibuatnya, selain janji yang dinyatakan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa dia telah membuat 15 janji, sementara lagi 15 janji dibuat oleh Khairi dan Tengku Razaleigh.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.