https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan benarkan Rafizi tanding pemilihan PKR

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini mengesahkan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memohon pengecualian agar tidak hilang kelayakan bagi memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia, pada 9 Julai lalu.

Ketua Pengarah JPPM, Masyati Abang Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, permohonan Rafizi itu diluluskan 20 Julai lalu.

“JPPM mengesahkan kelulusan pengecualian hilang kelayakan yang terpakai kepada pemegang jawatan, penasihat dan pekerja pertubuhan berdaftar bagi Rafizi adalah berdasarkan Seksyen 9A(4) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi membuat permohonan itu berikutan hasratnya bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti.

Beliau bakal menentang penyandang jawatan itu, Datuk Seri Azmin Ali.

Masyati menegaskan tiada layanan istimewa diberikan kepada mana-mana individu dalam memohon pengecualian hilang kelayakan dalam memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia.

“Sebaliknya, setiap pengecualian berdasarkan permohonan dikemukakan mana-mana individu dan diproses mengikut prosedur tetap operasi mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).”

Masyati bagaimanapun berkata, tertakluk kepada keputusan parti itu untuk membenarkan orang yang diberikan pengecualian bertanding dalam pemilihan parti selaras fasal dalam perlembagaan dan peraturan parti.

Menurutnya, JPPM meluluskan 6 permohonan pengecualian hilang kelayakan memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia kepada beberapa individu yang memohon pengecualian itu setakat 31 Julai lalu.

Seramai 800,000 ahli PKR akan mengundi pada pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung dari 14 September hingga 13 Oktober ini.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, PKR tiada masalah untuk Rafizi bertanding dan terpulang kepada JPPM untuk menentukan PKR dibatalkan pendaftaran atau tidak.

Wan Azizah mengulas laporan muka depan akhbar The Sun hari ini yang mendakwa PKR berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh JPPM kerana membenarkan Rafizi bertanding.

Ini kerana undang-undang PKR tidak membenarkan mana-mana orang yang didapati bersalah oleh mahkamah bertanding pada pemilihan parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din berkata, JPP akan membuat keputusan berdasarkan apa yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Beliau berkata, JPP juga sentiasa memastikan rekod bersih setiap ahli yang ingin bertanding dalam sebarang jawatan parti.

“Berkenaan isu Rafizi ini pun sama. Jawatankuasa berpegang kepada prinsip selagi mana seseorang ahli itu tidak melanggar sebarang peraturan yang tertakluk mengikut perlembagaan parti, maka tidak ada masalah untuk beliau bertanding.

“Mana-mana calon yang bukan seorang penjenayah, (tidak) diisytihar bankrap atau sedang berdepan tindakan disiplin oleh parti maka dia boleh bertanding, tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Bernama.














Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.