Hukuman sebat cara Islam
Oleh USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
SEBAT merupakan salah
satu dari bentuk hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan Hudud dan
Takzir. Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syarak, demi
memastikan hukuman sebat mencapai Maqasid pelaksanaannya.
Jildah
Allah telah menyatakan hukuman sebat dengan perkataan 'Jildah'.
Secara literalnya, ia bermaksud kulit. Bermaksud rasa sakit hukuman
sebat mestilah hanya singgah sekadar ke kulit sahaja. Tidak boleh lebih
dari itu sehingga mencederakan kulit, mengoyakkan daging, apatah lagi
sampai ke tulang. Dalam erti kata yang lain, sebatan dalam Islam tidak
melukakan.
Kesihatan pesalah
Walaupun secara asas, apabila
tersabitnya kesalahan maka hukuman sebat perlu segera dilaksanakan.
Namun, majoriti fuqaha menjelaskan jika pesalah itu mengalami masalah
kesihatan, maka pelaksanaan hukuman perlu ditangguhkan. Dalam hal ini,
khidmat doktor diperlukan untuk menilai.
Diriwayatkan bahawa Saidina Ali pernah menangguhkan hukuman sebat ke atas wanita yang sedang mengalami nifas.
Bukan bertujuan menyeksa
Terdapat Hadis riwayat Abu Daud, bahawa
Nabi pernah diadukan masalah pesalah yang dianggap tidak mampu
menanggung hukuman sebat kerana pesalah tersebut sedang sakit dan
terlalu kurus. Bimbang jika disebat, menyakiti tulangnya.
Lantas Nabi menyuruh Sahabat memberkas
100 tangkai tamar yang halus lalu disebat dengan sekali sebat sahaja.
Dengan satu das sebatan tersebut menyamai 100 sebat. Apa yang dilakukan
oleh Nabi itu menterjemahkan sifat rahmat yang ada dalam hukuman Islam.
Begitu juga Saidina Umar pernah
memberkas tangkai yang menyamai bilangan hukuman sebat, lalu disebat
dengan sekali sebat sahaja ke atas pesalah yang sakit.
Saidina Umar juga pernah berpesan kepada tukang sebat agar jangan menghayunkan tangan sehingga menampakkan ketiak.
Had bahagian sebatan
Para ulamak bersepakat bahawa sebatan
tidak boleh dikenakan ke atas satu bahagian sahaja. Ia mestilah
diluaskan ke bahagian-bahagian lain agar pesalah yang dihukum tidak
mengalami kecederaan.
Saidina Ali berpesan, elakkan sebat
bahagian muka dan kemaluan. Imam Syafie menggariskan secara spesifik
bahawa bahagian muka, kemaluan, rusuk serta bahagian-bahagian lain yang
boleh mendatangkan risiko maut adalah dilarang untuk disebat.
Mendidik
Pelaksanaan hukuman sebat mestilah
dibuat secara terbuka dalam keadaan yang redup. Tidak boleh ketika cuaca
terlalu panas atau terlalu sejuk. Kita perlu sedar bahawa pesalah yang
dijatuhkan hukuman memperolehi keampunan dari Allah. Bahkan dengan sebab
pelaksanaan yang dijalankan di khalayak ramai, mendatangkan kesan
keinsafan kepada masyarakat.
Penonton yang menyaksikan hukuman
tersebut pula perlu didisiplinkan dengan tertib beradab. Mereka dilarang
sama sekali mengejek atau menunjuk sebarang reaksi menghina.
Proses pendidikan inilah yang cukup
dikhuatirkan oleh segelintir golongan. Antaranya dari penganut-penganut
Liberal. Barangkali mereka bimbang masyarakat insaf, maka gagallah
agenda mereka merosakkan masyarakat selama ini.
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
5 September 2018 - H
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.