https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Manifesto HARAPAN tak janji harga petrol RM1.50'

Kerajaan tiada rancangan untuk menurunkan harga petroleum sehingga ke paras RM1.50 seliter, kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras berkenaan.

Ini kerana kata, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi PRU14 tidak menyenaraikan perkara itu sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.

"Saya mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku HARAPAN, tetapi tidak ada. Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen menjanjikan perkara itu," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto HARAPAN.

Amiruddin berkata jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667 bilion.

Katanya, pada masa ini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter walaupun harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada harga yang dikekalkan.

Beliau berkata mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan sistem subsidi petroleum secara bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan setelah ia dimuktamadkan.

Menerusi sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar yang sesuai setiap bulan dan mengikut satu kuota yang ditetapkan kepada golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

"Subsidi ini diberi kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah," katanya.
- Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.