PRK Port Dickson 'ibu segala PRK'
Oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki
PUSAT Penyelidikan PAS
(PPP) melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai 'Ibu Segala
PRK', berasaskan kedudukannya yang bakal menentukan pimpinan utama
negara. Berdasarkan hakikat tersebut, tidak tepat untuk membandingkan
PRK Port Dickson ini dengan PRK-PRK yang berlangsung sebelum ini,
seperti Seri Setia dan Sungai Kandis.
Selain daripada berbeza dari segi
dampaknya terhadap lanskap politik negara, PRK Port Dickson ini diadakan
di luar Selangor dan di luar kawasan bandar. Berbanding dengan PRK-PRK
sebelum ini, berlaku di kawasan kuat Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR,
PRK kali ini berlangsung di kawasan campuran bukan sahaja dari segi
kaum tetapi juga dari segi kekuatan parti.
PRK Port Dickson dilihat bakal mencorak
politik Malaysia sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-15, iaitu sama ada
Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri atau Dr Mahathir Mohamad akan
terus menerajui negara sehingga PRU ke-15. Pertembungan antara dua kem
ini dalam PH, sudah tidak dapat dibendung malah sudah mulai menjadi
sesuatu yang bukan rahsia lagi.
PPP menjangkakan, faktor kaum bukan lagi
menjadi penentu kemenangan seseorang calon, meskipun Anwar Ibrahim
dilihat terlalu bergantung kepada pengundi Cina. Sebaliknya, faktor yang
bakal mencorakkan pengundian di Port Dickson ini ialah rasionaliti
pengundi sama ada menerima pengosongan kerusi ini atau memprotes
'Langkah Port Dickson' tersebut.
Sekiranya pengundi menerima pengosongan
kerusi ini dengan harapan bakal Perdana Menteri mewakili kawasan mereka,
maka peratusan pengundi keluar dijangka tinggi dan Anwar mungkin
berpeluang cerah. Sekiranya pengundi memprotes, berkemungkinan mereka
tidak keluar mengundi atau mengundi pembangkang, menyebabkan peluang
Anwar rendah.
Selain daripada isu kewajaran kerusi itu
dikosongkan, PPP juga mengunjurkan isu peribadi Anwar dan sejarah
hitamnya akan dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Melihat kepada
jangkaan itu, PPP merasakan kehangatan PRK kali ini akan lebih berbahang
selain mendapat perhatian meluas oleh banyak pihak di dalam dan di luar
negara.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.