Azmin atau Rafizi ‘gigit jari’?
“Kau kena realistik, berpijak di
bumi nyatalah sebab parti itu kini tonggak kerajaan Malaysia Baharu,”
katanya lagi, menyebabkan Tumpang lalu tersenyum - secara profesional
mengakuinya.
Kalau tengok website PKR dan portal
Malaysiakini yang senaraikan pendahulu dalam pemilihan itu setakat malam
Ahad 21 Oktober, untuk Naib Presiden yang menawarkan empat kekosongan,
tiga adalah daripada team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Di
peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPT) yang perlu diisi 20 orang,
kesemua 15 yang mendahului dari nombor 1 hingga 15, datang dari kem
Azmin. Baki yang lima sahaja dari team Rafizi Ramli. Itu pun beza undi
dengan lima orang terakhir itu dengan kedudukan ke-21 hingga 25 begitu
tipis (lima ini juga orang Azmin).
Barangkali lima yang akhir ini akan terkeluar dari senarai 20 pemenang selepas pengundian berakhir di Sarawak 10 November depan.
Untuk
kerusi Naib Presiden, Nurul Izzah setakat ini meninggalkan terlalu jauh
tujuh pesaingnya. Setakat ini, anak sulung Anwar itu dipisahkan dengan
perbezaan antara 12,000 hingga 14,000 undi dengan mereka di kedudukan
ketiga, empat dan lima (Dr. A. Xavier Jayakumar, Tian Chua dan Datuk
Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin). Di tangga kedua adalah Zuraida
Kamaruddin, dengan beza 4,000 undi dari Xavier. Seorang lagi calon dari
kem Rafizi, Datuk Johari Abdul di kedudukan ketujuh.
Begitupun,
dari sumber yang dipercayai, keputusan kelak boleh berubah, mengambil
kira penentuan undi di Melaka dan Negeri Sembilan yang menyudahkan
pemilihannya Sabtu lalu tetapi keputusannya terpaksa ditangguhkan. Di
Melaka, sejumlah 2,000 undi dilaporkan ‘hilang’ membabitkan lima
daripada enam cabang PKR negeri itu.
Semua
calon bertanding termasuk Azmin dan Rafizi masih berpeluang menang. Di
Sabah dan Sarawak, mencatat jumlah pengundi tertinggi. Sabah sahaja
memiliki 130,000 pengundi. Katakanlah diambil majoriti di setiap cabang
(kesemuanya 56 cabang di Sabah dan Sarawak) sebanyak 300 undi.
Dikalikan
56 dengan 300, menjadikan 15,000 undi kesemuanya. Jadi, yang
ketinggalan usah gusar, masih ada harapan. Boleh potonglah.
Pemilihan
selanjutnya pula di Kedah pada Jumaat 26 Oktober, sebelum keesokannya,
27 Oktober sekali lagi di Kedah dan Peraks serta diikuti Ahad, 28
Oktober menyelesaikan baki pengundian cabang di Selangor (fasa III).
Ada
bertanya kepada Tumpang lalu, mengapa di Kedah sampai dua hari dibuat
pemilihan? Ahlinya tidaklah ramai pun. Kalau Sabah pada 4 dan 5 November
dan Selangor berbaloilah sebab ahli PKR banyak di dua negeri itu.
Adakah kerana Kedah kubu kuat Rafizi, selain itu kawasan Johari, sekali
gus lebih ramai nanti digesa keluar membantu Rafizi? Wallahu a’lam.
Diimbas pemilihan PKR 2014, persaingan Timbalan Presiden waktu itu
membabitkan tiga penjuru antara Azmin, Tan Sri Khalid Ibrahim dan
Saifuddin Nasution Ismail. Sudah jadi rahsia umum, Anwar ketika itu pada
awalnya memberi sokongan kepada Khalid yang juga Menteri Besar
Selangor, tetapi kemudian menghala ke Saifuddin, tetapi kedua-duanya
kalah. Yang menang adalah Azmin.
Pemilihan
kali ini menarik untuk dianalisis, sama ada kesungguhan Rafizi untuk
memperlihatkan dirinya calon pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh
berjaya atau tidak. Sehingga Ahad, Rafizi dikatakan ketinggalan hampir
1,200 undi daripada Azmin.
Adakah hint
yang ditunjukkan dalam persaingan Timbalan Presiden dan Naib Presiden
yang kelihatan tidak solid menyokong Anwar, membuatkan Anwar sendiri
‘dalam dilema’?
Ada kalangan pemimpin PKR
yang ditemui Tumpang lalu ketika kami sembang santai dalam kafetaria
ahli Parlimen minggu lepas beranggapan Anwar seorang ahli politik yang
hebat, matang dan demokrat. Anwar diyakini tidak lagi campur tangan
dalam urusan pemilihan parti. Ditambah lagi beliau bakal Perdana Menteri
kelapan.
Ini terbukti sewaktu kempen
pilihan raya kecil di Port Dickson tempoh hari, dengan semua
kepemimpinan PKR, baik Azmin, Rafizi mahupun Tian Chua dan Shamsul
Iskandar, turun padang bersungguh-sungguh untuk memenangkan Anwar.
Sebab
itu, ramai dalam PKR tidak yakin Anwar mengambil jalan berpihak kepada
kem tertentu. Sebaliknya, Presiden PKR yang juga Ketua Umum PH itu
kelihatan meraikan kepelbagaian.
Adakah
mungkin Rafizi merasakan dirinya ‘dekat’ dengan Anwar sehingga dia boleh
‘mempergunakan’ Anwar? Mengenali perwatakan Anwar, Tumpang lalu tidak
fikir Rafizi satu-satunya pemimpin yang menjadi sandaran Anwar.
Rafizi
barangkali perlukan sedikit masa untuk matang dan dewasa. Apabila
tempoh hari Rafizi mengatakan Dr. Mahathir bukanlah faktor utama Pakatan
Harapan memenangi PRU-14 dengan mengambil kira prestasi buruk pakatan
itu di Kedah, rakan-rakan sekutu mempersoalkan mengapa perlu Rafizi
‘menyerang’ Dr. Mahathir selepas memperoleh mandat rakyat untuk
berkuasa?
Bila mereka beralih kepada
Azmin pula, ramai melihatnya tampak positif. Kalau dilihat Azmin,
kejayaan terbesarnya hari ini adalah Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang
disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (julung kali portfolio itu
diwujudkan) yang diketuainya dan kemudian dibentangkan oleh Perdana
Menteri minggu lalu.
Malah, boleh
dilihat Azmin dari segi ketangkasan kepimpinan. Kesetiaannya kepada
parti di kala sukar di era reformasi 20 tahun lepas sukar dicari hari
ini. Pada awal 1999 lagi selepas Anwar dipecat dari UMNO dan kerajaan,
Azmin sebenarnya mempunyai pilihan untuk meninggalkan Anwar. Tapi beliau
tidak mengambil ‘peluang keemasan’ itu.
Dari
aspek kepimpinan, Azmin menunjukkan wibawanya selepas menyandang
jawatan Menteri Besar Selangor. Dan masih ingat tak lagi bagaimana
‘Langkah Kajang’ yang digarap oleh Rafizi untuk menaikkan seseorang
menjadi menteri besar, tapi akhirnya gagal. Adakah percaturan tidak
menjadi Rafizi itu boleh dikaitkan dengan soal kepimpinan juga?
Apa pun, Azmin membuktikan beliau tahan lasak diuji. Hasil PRU-14,
UMNO-BN Selangor dimalukan lebih teruk lagi 9 Mei lepas, dengan cuma
terdaya meraih empat kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56, sementara
dua kerusi Parlimen sahaja diperoleh daripada keseluruhan 22.
Demikianlah
‘penangan’ Azmin. Dan sehingga ke tahap ada juga yang tidak menidakkan
kemunculan gandingan ‘AA’ - Anwar-Azmin kelak.
l Mohamed Azmin Ali 34,383 undi (50.93%)
l Rafizi Ramli
33,122 undi (49.07%)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.