https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bila Ahli Pas bersuara...

Oleh Iqbal Syarie.

Sebagai penyokong dan pengundi PAS, saya ada pandangan 'tidak popular' untuk dikongsikan khas kepada rakan-rakan penyokong dan pemimpin PAS.

Saya rasa, antara bentuk kematangan akal fikiran adalah apabila kita berupaya menerima hakikat dan realiti, serta mampu menilai sesuatu isu dengan adil, tidak prejudis, dan bijaksana.

Agak mengecewakan apabila rakan-rakan turut dipermainkan oleh emosi, hingga hilang kawalan kepada lidah dan jemari tangan.

Rasanya tak perlulah sinis dan mentertawakan isu, seperti isu harga barang naik dan harga minyak kekal. Sejujurnya, saya merasakan kenaikan harga barangan tersebut adalah suatu yang dijangka, kerana kerajaan baharu ini, mewarisi  sebuah pentadbiran yang bermasalah. Harga yang meningkat ini memanglah perit, tetapi ini cuma cubitan kecil yang tidak sepatutnya kita mengaduh pun, berbanding skandal, rampasan, dan penemuan daripada kerajaan kleptokrasi lepas.

Jika ditakdirkan Allah, PAS menang besar dalam PRU lepas pun, rasanya PAS akan menghadapi masalah yang serupa. PAS tetap memerlukan masa dan peluang untuk bekerja, sebagaimana kerajaan sekarang pun memerlukannya.

Akhirnya, dari blok kerajaan mahupun pembangkang, setiap manfaat yang ada, akan kita kongsikan bersama, dan setiap keburukan yang ada, kita akan derita dan warisi bersama juga. Lalu, daripada menambahkan keruh dan masalah, adalah lebih baik jika kita menjadi golongan manusia yang membantu memulihkan imej dan ekonomi negara. Bukankah manusia yang paling baik, adalah manusia yang paling bermanfaat. Paling kurang, tidak menambah beban dan masalah yang sedia ada.

Kita juga perlu berhenti membina tembok Islamophobia kita sendiri. Berhentilah bermain isu 'rambut'. Jika dahulu, kita menyerang Datin Rosmah tapi kini yang diserang adalah Tun Siti Hasmah. Bezakan mana satu dakwah, mana satu 'lebih sudu dari kuah'.

Begitu juga dengan isu Menteri Pertahanan bersalaman dengan wanita. Itu cuma hama, yang telah pun diselesaikan oleh para asatizah kita. Hukumannya telah dijelaskan, tanpa perlu kita mensensasikannya. Bezakan di antara dosa peribadi dengan dosa kepada rakyat.

Bagi pemimpin-pemimpin PAS pula, berhentilah mengeluarkan kenyataan yang sombong, angkuh, dan meremeh pihak lain. Berhenti juga memberi label dan menyamakan sesiapa sahaja seperti binatang, sekalipun ia 'singa tua'. Janganlah kita dirasuk 'semangat' hingga hilang tsiqah dan kewibawaan.

Kita perlu ingat, sejak dahulu lagi kita memang sentiasa tidak diberikan keadilan. Pihak media memang suka 'spin' kenyataan para pemimipin PAS. Tetapi ahli tahu, dan ahli PAS boleh 'tabayyun'. Tapi, mengapa dalam isu yang melibatkan 'musuh', ahli PAS tidak boleh tabayyun juga?

Akhlak orang PAS banyak membuka mata masyarakat. Keikhlasan mereka bekerja, terutamanya Unit Amal, adalah suatu yang sangat dibanggakan dan disebut-sebut. Maka usahlah mengotorkan nama baik parti, kerana mahu membela diri. Selama ini, kita jarang membela diri. Sebaliknya, semua tuduhan dan tohmahan, Allah S.W.T yang membalasnya. Jadi mengapa kali ini perlu berbeza?

PAS tidak menang besar. Bahkan, tiada undi daripada orang cina dan india pun (terlalu sedikit). Jadi tak perlulah mendabik, kononnya kita telah diterima. Kita cuma mengambil untung daripada perpecahan dalaman orang UMNO, yang membuang undi kepada kita.

Rasanya kita perlu berhenti menjadi macai, atau berperangai seperti macai. Hentikan melabel orang, membunuh karakter (ad hominen), dan membangkitkan isu-isu serpih yang membuatkan orang makin menyampah dengan PAS.

Kita nak bawa Islam, bukan semata-mata supaya Islam itu paling tinggi, tetapi supaya Islam dikenali, dicintai, dihormati, dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.