https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masa depan AI perlu kerjasama pakar


Oleh Shahrul Mizan Ismail

Masa depan kecerdasan buatan (AI) memerlukan lebih daripada modal, kemahiran teknikal dan kecanggihan aplikasi. Apabila sesuatu aplikasi merangkumi undang-undang, kesejahteraan dan syariah, setiap bidang membawa tuntutan ilmu serta tanggungjawab yang berbeza.

Pengasas perlu mendalami bidang sendiri dan bekerjasama dengan pakar lain. Dari sudut undang-undang, kerjasama itu juga perlu menjelaskan siapa yang menyemak hasil, menjaga maklumat pengguna dan bertanggungjawab apabila berlaku kesilapan.

Kajian Benjamin F Jones (2009) terhadap data pereka cipta menunjukkan peningkatan pengkhususan dan kerja berpasukan dari semasa ke semasa. Kedua-duanya lebih ketara dalam bidang yang memerlukan pengetahuan mendalam. Bagi pembangun AI, pengajarannya jelas: penguasaan teknologi perlu disertai penguasaan bidang penggunaannya.

Brynjolfsson, Rock dan Syverson (2021) turut menghuraikan pentingnya pelaburan dalam kemahiran pekerja, cara kerja dan pengetahuan organisasi untuk memanfaatkan teknologi seperti AI. Membeli teknologi belum mencukupi untuk menghasilkan perkhidmatan yang boleh dipercayai.

Dyer dan Singh (1998) pula menghujahkan kelebihan syarikat boleh lahir daripada perkongsian pengetahuan, kepakaran yang saling melengkapi dan pengurusan kerjasama yang berkesan.Kajian Powell, Koput dan Smith-Doerr (1996) terhadap syarikat bioteknologi sepanjang 1990 hingga 1994 menyokong kepentingan hubungan antara organisasi untuk memperoleh pengetahuan.

Bagi pembangunan AI, saya melihat asas untuk pendekatan yang sama. Pengasas boleh memperluas perkhidmatan melalui rakan yang mempunyai kepakaran berbeza. Semua kepakaran itu tidak semestinya perlu dihimpunkan dalam satu syarikat.

Sebuah platform AI undang-undang mungkin membantu penyelidikan dan penyediaan hujah. Jika platform itu mahu menawarkan sokongan kesejahteraan, pembangunnya perlu bekerjasama dengan pasukan AI yang mengkhusus dalam bidang tersebut serta mempunyai pakar yang berkelayakan. Jika fungsi melibatkan penilaian atau rawatan klinikal, pakar klinikal perlu menentukan skop dan kaedah penilaiannya.

Begitu juga dengan penyelidikan syariah. Mencari petikan kitab berbeza daripada menilai hujah atau memahami perbezaan pandangan mazhab. Sarjana syariah diperlukan untuk meneliti sumber dan memastikan sesuatu pendapat disandarkan dengan tepat.

Pemilik platform menyelaraskan pembangunan sistem. Pakar setiap bidang menilai kandungan serta kesesuaian penggunaannya. Penambahan fungsi perlu disertai kepakaran dan tanggungjawab yang jelas.

Dalam amalan guaman, penyelidikan menggunakan AI tetap memerlukan semakan profesional. Panduan Majlis Peguam melalui Pekeliling Bil 242/2025 menekankan pengesahan hasil AI terhadap sumber undang-undang yang berautoriti, pengawasan manusia dan perlindungan kerahsiaan klien. Panduan itu turut menasihatkan supaya AI generatif tidak digunakan untuk mengendalikan data peribadi dan maklumat sulit.

Sebagai rujukan perbandingan, dalam Ayinde [2025] EWHC 1383 (Admin), Mahkamah Tinggi England dan Wales menegaskan kewajipan peguam menyemak ketepatan penyelidikan yang menggunakan AI. Kewajipan itu meliputi keadaan apabila peguam bergantung pada kerja orang lain yang menggunakan AI. Penghakiman ini ialah autoriti asing, bukan keputusan yang mengikat mahkamah Malaysia.

Implikasinya kepada kerjasama jelas. Pembangun menyediakan sistem, pakar membantu penyelidikan dan peguam yang menggunakan hasilnya menjalankan semakan profesional. Pembahagian tugas mesti memudahkan semakan serta pembetulan. Ia tidak boleh menyebabkan setiap pihak menganggap pihak lain sudah menyemak segala-galanya.

Bagi pemprosesan dalam transaksi komersial yang tertakluk pada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, maklumat kesihatan mental dan kepercayaan agama termasuk data peribadi sensitif. Seksyen 40 menetapkan syarat pemprosesannya, termasuk persetujuan nyata atau asas lain yang dibenarkan oleh akta.

Jika rakan bertindak sebagai pemproses data, subseksyen 5(1A) turut mewajibkannya mematuhi Prinsip Keselamatan di bawah seksyen 9. Seksyen 6(3) pula menghendaki data yang diproses berkaitan dengan tujuan yang sah dan tidak berlebihan.

Oleh itu, saya mencadangkan akses ditentukan mengikut tugas. Pasukan kesejahteraan tidak semestinya memerlukan seluruh fail guaman pengguna. Pasukan penyelidikan syariah juga tidak semestinya memerlukan rekod kesihatan mentalnya. Fungsi boleh dihubungkan tanpa membuka semua maklumat kepada setiap rakan.

Bagi komunikasi profesional peguam dengan klien, seksyen 126 Akta Keterangan 1950 mengehadkan pendedahan tanpa persetujuan nyata klien, tertakluk kepada syarat dan pengecualiannya. Perlindungan itu tidak wajar dianggap meliputi setiap perbualan dengan aplikasi AI secara automatik.

Berkongsi kepakaran tidak memberikan hak tanpa batas untuk berkongsi maklumat pengguna.

Cohen dan Levinthal (1990) menjelaskan pengetahuan sedia ada membantu organisasi memahami dan menggunakan pengetahuan daripada sumber luar.[9] Pengasas perlu memahami asas bidang kepakaran rakannya supaya dapat menilai sumbangan, mengemukakan soalan dan menyelesaikan perbezaan pandangan.

Pemahaman itu perlu diterjemahkan kepada perjanjian yang jelas. Perjanjian hendaklah menentukan skop tugas, semakan mutu, pembahagian pendapatan, penggunaan data dan tanggungjawab apabila kewajipan dilanggar. Cara membetulkan kesilapan serta menyelesaikan pertikaian juga perlu dipersetujui.

Hak terhadap perisian dan kandungan sedia ada perlu dibezakan daripada hak terhadap hasil pembangunan bersama. Bagi karya yang dilindungi hak cipta, seksyen 27(3) Akta Hak Cipta 1987 mensyaratkan penyerahhakan dan pemberian lesen dibuat secara bertulis.

Hak menggunakan bahan rakan tidak patut dibiarkan bergantung pada andaian.

Muafakat menjadi lebih kukuh apabila sumbangan dihargai, hak dihormati dan tanggungjawab dapat dikenal pasti.

Kerjasama boleh mempercepat pembangunan apabila rakan sudah mempunyai kepakaran, bahan rujukan dan kaedah penilaian yang diperlukan. Tugas dapat dilaksanakan serentak. Namun, penyelarasan kerja juga mengambil masa; pertindihan tugas dan kelewatan keputusan boleh menghilangkan manfaat tersebut.

Bilangan ahli sahaja tidak memadai sebagai ukuran. Eksperimen Dell’Acqua dan rakan-rakan (2026) yang melibatkan 791 profesional di Procter & Gamble mendapati mutu cadangan individu dengan AI setanding dengan mutu cadangan pasukan tanpa AI. Dapatan ini khusus kepada tugasan inovasi produk yang dikaji.

Rakan perlu dipilih kerana sumbangannya kepada ketepatan hasil, penjimatan masa dan manfaat pengguna. Dalam bidang profesional, ukuran itu perlu merangkumi pematuhan undang-undang serta kejelasan tanggungjawab.

Masa depan AI memerlukan pengasas yang mendalami bidang sendiri dan tahu bila kepakaran orang lain diperlukan. Kerjasama yang baik memperluas kemampuan, melindungi hak dan memastikan setiap pihak bertanggungjawab terhadap tugasnya.

Penulis ialah profesor madya di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.