Harus Mengintip & Menyerbu Bagi Mencegah Khalwat & Zina ?
Oleh Ust. Zaharuddin Abd Rahman
Baru-baru
ini timbul kehangatan dalam soal intipan dan serbuan yang dilakukan
oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam bagi mematahkan gejala zina,
khalwat dan yang berkaitan dengannya.
Hasil
tinjauan saya, agak banyak juga kritikan dari pelbagai pihak terhadap
kedua-dua pihak yang terlibat. Di ruangan peribadi saya ini, saya
tergerak untuk turut serta memberikan pandangan berdasarkan kafahaman
dan penilaian kepada pandangan, hujjah dan perdebatan yang diberikan
setelah diasak dengan puluhan soalan yang sama dari pelbagai pihak
kepada saya melalui SMS, web site peribadi, email dan yahoogroup saya.
Bagaimanapun saya tidak sesekali menganggap tulisan ini akan mampu
memuaskan hati kedua-dua belah pihak.
SYARAT AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Hal
ini saya tidak perlu mengutarakannya dengan panjang, kerana ramai sudah
‘kelihatan' jelas dengan syarat-syarat pelaksanaan ‘Amar Makruf Nahi
Mungkar'. Syarat-syarat ini disebut dengan amat jelas antaranya dari
sumber berikut :-
-
1) Ihya' Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazzali (5/34)
-
2) Min Fiqh Ad-Dawlah Fil Islam oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, ( hlm 121, cet Dar As-Syuruq)
-
3) At-Tasyri' Al-Jinaie al-Islami oleh Syeikh Abd Qadir Awdah ( 1/501, cet Muassasah Ar-Risalah)
-
4) Fiqh Ad-Dakwah Wal Irsyad oleh Syeikh Abd Rahman Hasan al-Habannakah. ( 2/ 242, cet Dar Al-Qalam)
Syarat-syarat
ini perlu dipenuhi demi membolehkan dilaksanakan perubahan (taghyir)
samada dengan tangan, lisan dan hati sebagaimana yang disebut oleh Nabi
SAW dalam hadith sohih yang cukup popular ( Riwayat Muslim dalam kitab
Iman). Tanpa syarat ini, tiada peruntukan dibenarkan oleh Islam untuk
melakukan ketiga-tiga tindakan pencegahan tadi. Kesemua syarat-syarat
dikeluarkan dari hadith Nabi SAW dan setelah dirujuk kelihatan kesemua
syarat yang dikeluarkan oleh para ulama Islam adalah hampir sama,
ringkasannya seperti berikut :-
1) Kejahatan (maksiat) itu mestilah dari jenis yang disepakati sebagai dosa dengan hukum haram secara qat'ie (putus)
berdasarkan dalil-dalil yang tepat, specifik dan jelas atau dengan
ijma'. Sebarang hukum yang bersifat ijtihadi terbuka untuk perbincangan
dengan hujjah yang kemas.
2) Maksiat itu sedang berlaku,
jika ia belum berlaku atau dijangkakan akan berlaku, tindakan yang
harus hanyalah dinasihati terlebih dahulu. Ini bermakna, sebelum
berlaku, tiga tindakan cegahan tadi belum menjadi harus, kerana itulah
amalan menasihati samada secara umum atau specifik dibenarkan. (
At-Tasyri' al-JInaie Al-Islami, 1/502)
3) Mempunyai kemampuan sebenar dari sudut ilmu, kuasa, suasana dan yang berkaitan untuk melakukan usaha mencegah ini.
4) Mestilah diyakini pencegahan itu tidak membawa kemudaratan yang lebih besar.
5) Maksiat itu mestilah terzohir (ternampak) dengan jelas tanpa perlu pengintipan samada dengan cara pendengaran, penglihatan dan sebagainya. Allah SWT menyebut :
ولا تجسسوا
Ertinya : Janganlah engkau mengintip-ngintip ( Al-Hujurat : 12
Perlu
difahami bahawa setiap rumah dan inidividu dijaga hak, kehormatan dan
maruahnya oleh Islam berdasarkan hadith yang banyak. Malah dosa peribadi
yang dilakukan di rumah adalah antara individu dengan Allah SWT.
Antaranya sebuah hadith sohih menyebut:
كل أمتي معافى إلا المجاهرين
Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali yang berterangan-terangan (melakukan maksiat tanpa malu dan takut)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda :
اجْتَنِبُوا
هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ
فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ
يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
Ertinya
: "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh
Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya
dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT.
Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami,
kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza
wa Jalla."[Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis
no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua
syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini
dipersetujui oleh al-Zahabi.]
Juga sebuah kisah yang popular berkenaan tindakan Sayyiidna Umar r.a iaitu :-
عبد
الرحمن ابن عوف أنه حرس ليلة مع عمر بن الخطاب, فبينا هم يمشون شب لهم
سراج في بيت, فانطلقوا يؤمونه حتى إذا دنوا منه إذا باب مجاف على قوم لهم
فيه أصوات مرتفعة ولغط. فقال عمر وأخذ بيد عبد الرحمن: أتدري بيت من هذا؟
قال: قلت: لا. قال: هو ربيعة بن أمية بن خلف وهم الآن شرب فما ترى؟ قال عبد
الرحمن: أرى قد أتينا ما نهانا الله عنه نهانا الله فقال: ((ولا تجسسوا))
فقد تجسسنا. فانصرف عنهم عمر وتركهم.
(Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu 'anh bahawasanya
beliau pernah berjaga malam bersama ‘Umar bin al-Khattab. Tatkala
mereka sedang mengelilingi kampung, mereka melihat sebuah lampu yang
sedang menyala dari rumah, maka mereka menghampiri rumah tersebut.
Ketika mereka menghampiri, mereka dapati pintu rumah tersebut terbuka
tanpa seorang pun di sana, sedangkan dari dalam rumah terdengar suara
yang sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan ‘Abd al-Rahman:
"Tahukah kamu rumah siapa ini?"
‘Abd
al-Rahman menjawab: "Tidak." ‘Umar berkata: "Ini adalah rumah Rubi‘ah
bin Umayyah bin Khalaf, saat ini mereka sedang minum arak, bagaimana
pendapat mu?"
‘Abdul
Rahman berkata: "Aku fikir, kita sekarang ini telah mengejar sesuatu
yang dilarang oleh Allah. Bukankah Allah telah berfirman: "...dan janganlah kamu mengintip ..."
dan kita telah mengintip mereka. Setelah mendengar perkataan beliau,
Umar pergi dan meninggalkan mereka. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq diteliti
oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 10/231, riwayat
no: 18943)
ADAKAH PENGECUALIAN DARI LARANGAN PEMERIKSAAN DAN PENGINTIPAN?
Persoalan
sekarang adalah; adakah mengintip, menyelidik serta menyerbu premis
peribadi dan bilik hotel harus dilakukan?. Jawab ringkasnya; walaupun
seseorang tidak dibenarkan mengintip kesalahan dan aurat orang lain,
tetapi jika ‘ghalib zhon' (besar kemungkinan) seseorang cuba
menyembunyikan sesuatu maksiat atau jenayah yang boleh memudaratkan
ramai orang (seperti yang melibatkan orang lain, seperti menculik,
cubaan membunuh dan sebagainya) tetapi dalam masa yang sama terzahir
juga tanda-tanda kejahatan dengan jelas atau berdasarkan laporan yang
boleh dipercayai benarnya, maka hukum larangan menyelidik, mengintai dan
menyerbu mungkin berubah dari haram kepada harus malah wajib dalam
keadaan tertentu berdasarkan tahap maslahat yang disasarkan (Fiqh
Ad-Dakwah Ila Allah, Syeikh Abd Rahman Hassan Al-Habannakah, 2/242
dengan pindaan dan tambahan). Antara bentuk yang boleh mengharuskannya
adalah seperti :-
a-
Terdengar suara orang menjerit meminta pertolongan dalam sebuah rumah
tertutup yang diyakini terdapat mangsa sedang bergelut dengan penjahat
di dalamnya.
b-
Terkeluar bauan arak yang amat kuat dari sebuah rumah orang Islam serta
ramai pula tetamunya (persis sebuah majlis arak dan seks beramai).
c-
Terlihat dengan jelas si lelaki membawa wanita yang diyakini bukan
isterinya berdua-duan, berpelukan dan berpegangan tangan dengan cara
yang diketahui bukan cara sang suami dengan isteri.
d-
Berdua-duaan lelaki dan wanita yang diyakini bukan mahram di tepi-tepi
tasik atau di dalam bilik kuliah di Universiti pada jam 2 pagi.
e- Melakukan maksiat secara bersembunyi di dalam kereta tetapi di lakukan tempat awam yang gelap.
Maka
dalam keadaan di atas, adalah HARUS untuk meninjau dan memeriksa,
sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak
sehingga berlakunya maksiat atau jenayah. Malah HARUS
juga untuk MENGETUK, memeriksa rumah dan bilik hotel seseorang jika
terdapat laporan yang boleh dipercayai tentang ia melakukan jenayah atau
maksiat di dalamnya terutamanya apabila terzahir sehingga keluar bunyi
jeritan minta tolong, bauan arak yang haram dan sepertinya (Rujuk
Al-Ahkam Al-Sultaniyah, hlm 218 ; At-Tasryi' Al-Jina'ie, 1/504 dengan
sedikit tambahan dan pindaan ; Asna Al-Matalib, 4/180 ; Ihya Ulumiddin,
5/36)
TATACARA YANG PERLU DIPERBETUL
Apa
yang diperlukan kini adalah ketertiban adab dan tatacara si penyelidik
atau penyerbu. Bagi kes serbuan bilik hotel sebagai contoh, terdapat
kemungkinan penghuni bilik itu adalah suami isteri. Terdapat kemungkinan
besar pula mereka tidak membawa sijil nikah bersama. Justeru, pegawai
penguatkuasa perlu berhati-hati agar mereka tidak bertindak dengan nafsu
seronok hingga boleh mengaibkan orang serta menjaga adab sebagai wakil
kepada Jabatan dan penguatkuasa agama. Untuk itu, perlu bertanya
terlebih dahulu, memberi ruang kepada wanita di dalam bilik tersebut
untuk berpakaian lengkap sebelum mengajukan pelbagai soalan.
Kerana
itu, adalah penting bertindak berdasarkan laporan dan tidak sewajarnya
di'serang' semua bilik hotel setiap kali serbuan dibuat. Dalam kes
serbuan bilik hotel, antara contoh adab dan tertib yang terlintas di
fikiran saya, yang perlu dipastikan oleh Jabatan Agama dan penguatkuasa
serbuan dan tangkapan adalah seperti berikut :-
1) Memastikan semua pegawai yang dihantar adalah terlatih
dan berilmu dalam tugasan yang ingin dilaksanakan. Termasuklah pegawai
sukarelawan, ini kerana ia membawa imej sesebuah jabatan agama itu.
2) Mestilah bertindak menyerbu dengan laporan sahaja jika dalam keadaan biasa,
kecuali jika statistik dan data yang tinggi menunjukkan sesebuah hotel
itu adalah sarang pelacuran dan maksiat. Maka serbuan walau tanpa
laporan dilakukan sekali sekala demi mengganggu hasrat ahli maksiat. Pun
begitu WAJIB menjaga adab serbuan.
3) Jangan mengintai dan sengaja menunggu hingga dapat melihat sesuatu yang tidak harus baginya untuk melihat,
tetapi perlulah terus memaklumkan dengan lantang akan kehadiran mereka
sebagai Jabatan Agama. Samada dengan terus mengetuk pintu. Perlu
difahami bahawa ia masih diikat dengan hadith :
Hadis Sahl bin Saad As-Saa'idiy r.a:
"Sesungguhnya seorang lelaki telah mengintip pada lubang pintu rumah Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah s.a.w membawa sikat yang baginda guna untuk menggaru kepala. Manakala Rasulullah s.a.w melihat orang itu, baginda bersabda: Seandainya aku tahu engkau memandangku, tentu aku masukkan sikat ini ke dalam matamu. Rasulullah s.a.w juga bersabda: Sesungguhnya meminta izin itu telah disyariatkan hanyalah kerana alasan penglihatan."
4) Jangan terus memasuki bilik hotel yang diserbu,
sebaliknya meminta si lelaki membuka pintu terlebih dahulu. Pegawai
bertugas tidak perlu bertungkus lumus berlari di setiap sudut bilik
hotel bagi mencari suspek wanita atau lelaki.
5) Jangan terus membuka semua pintu bilik air dan menarik selimut
sebaliknya mengarahkan si lelaki (atau wanita) berkenaan untuk
memanggilnya keluar atau jika dinyatakan bahawa ia adalah isterinya.
Pihak Jabatan perlulah bersangka baik dan memberi ruang agar si isteri
menutup aurat dengan sempurna dan kemudian barulah mereka kembali
memastikan status wanita itu. Ini kerana dibimbangi ia adalah isteri
sebenar bagi si lelaki.
SEBAB-SEBAB YANG MENJADIKAN INTIPAN, SELIDIKAN BERUBAH HUKUM KEPADA HARUS
Antara sebab yang menjadikan selidikan, serbuan dan intipan ringan bertukar dari haram kepada hukum bersyarat adalah :-
1) Apabila Terdapat Bukti dan Laporan Berwibawa
Berkenaan keharusan tinjauan, serbuan dan selidikan, kita boleh melihat dari hadith yang disebut sebelum ini, iaitu :-
مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ
Ertinya : "Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami.."
Lafaz
‘menampakkan' dalam hadith ini mempunyai pelbagai bentuk dan cara,
antaranya dengan cara (At-Tasyri' Al-Jinaie Al-Islami, 1/504-505 dengan
tambahan) :-
-
Pertama : Pendengaran, seperti terdengar percakapan dua lelaki tentang hasrat mereka untuk melakukan pembunuhan dan penculikan; maka di ketika itu adalah harus mengintipnya dan menelitinya. Demikian juga, percakapan wanita dan lelaki untuk menyewa hotel untuk melakukan maksiat mereka.
-
Kedua : iaitu dengan bauan dan hiduan tertentu, seperti pembawa dadah di dalam beg. Pihak kastam menggunakan anjing pengesan untuk menghidunya sedangkan ianya adalah tersembunyi dan disembunyikan, hasilnya adalah harus menahan mana-mana orang yang begnya dikesan oleh anjing pengesan sebagai berpotensi mempunyai dadah.
-
Ketiga: Pengelihatan mata, saya kira ia adalah amat jelas.
-
Keempat: melalui sentuhan, sebagai contoh sentuhan tidak diundang si lelaki terhadap seorang wanita dijadikan dalil dan bukti terhadap niat jahat si lelaki yang tersembunyi.
Apabila
terdapat tanda-tanda seperti ini dalam kes khalwat di hotel dan
lainnya, serbuan dan penyelidikan adalah HARUS dilaksanakan, tetapi
sebagaimana yang disebut tadi, ianya mestilah dilaksanakan dengan HEMAH
DAN ADAB. Untuk itu, Jabatan Agama perlulah menyediakan ‘guideline' dan
kursus bagi penguatkuasa ini agar mereka lebih berilmu.
Saya
pernah membaca beberapa kali di akhbar, penguatkuasa sukarela
penangkapan khalwat yang menyeleweng sehingga ada yang mencabul
kehormatan wanita yang ditangkapnya. Inilah akibat apabila operasi ini
tidak ditangani dengan terancang.
2) Dilakukan Atas Dasar Siyasah Syari'yyah oleh Pemerintah
Imam
As-Syafie r.h berkata : " Tiada Siyasah kecuali yang bertepatan dengan
kehendak Shariah" ( Turuq Hukmiyah, Ibn Qayyim, hlm 41, cet Al Maktab
al-Islami). Kita perlu memahami bahawa di dalam memahami dalil-dalil
al-Quran dan hadith berkenaan larangan intipan, hak dan harta peribadi
seseorang masih boleh dicerobohi oleh pemerintah Muslim apabila
disasarkan tindakan itu kepada satu maslahat yang lebih umum dan luas.
Bagaimanapun, sebagaimana di sebut tadi, ia mestilah dilakukan dengan
adab menurut garis panduan tertentu.
Dalam
hal menyerbu bilik-bilik hotel, saya berpandangan ianya HARUS dilakukan
terutamanya apabila mendapat LAPORAN yang diyakini benarnya. Manakala
DI KETIKA tiada terdapat laporan, serbuan juga boleh menjadi HARUS untuk
dilakukan demi mencapai salah satu di antara Maqasid Shariah, iaitu
menjaga keturunan dan menjaga maruah umat Islam. Antara objektif Shariah
dalam mengharamkan perbuatan zina adalah kerana ianya boleh mencarik
silsilah keturunan umat manusia, menyebabkan hubungan keturunan
terancam, selain itu zina dan khalwat boleh menyebabkan maruah tercarik,
berlakunya tuduhan zina tanpa saksi yang cukup dan sebagianya. Untuk
itu, menjadi satu tujuan yang sohih untuk mencari jalan agar seluruh
kemungkinan yang boleh membawa kepada zina di tutup sekadar kemampuan
yang ada. Ia dinamakan ‘Sadd Zari'ati az-Zina' (menutup peluang zina) di
bilik hotel yang urufnya sarang maksiat. Ia berbeza dengan serbuan di
RUMAH yang tidak sepatutnya dilakukan kecuali apabila terdapat LAPORAN
yang benar-benar dipercayai. Perlu difahami akan bezanya intipan di
rumah dan intipan di hotel dan tasik di malam hari.
Umum
mengetahui bahawa hotel kerap kali dijadikan tempat maksiat oleh
pasangan muda mudi, juga tidak terkecuali golongan tua. Disokong pula
dengan statistik kekerapan berlakunya maksiat di hotel, bolehlah
dikatakan ia sebagai satu tempat yang amat strategik dan kondusif untuk
melakukan maksiat. Ini menyebabkan kumpulan ilmuan Islam perlu menilai
hukum serbuan di hotel berbanding rumah persendirian dalam konteks
semasa.
Selain
itu, ia juga berobjektif untuk menyusah dan menimbulkan rasa takut
serta bimbang pelaku maksiat untuk bersenang-senang ke hotel bagi
melakukan perzinaan, khalwat, culik dan lain-lain aktiviti maksiat atau
jenayah.
Bagaimanapun,
kekerapan serbuan tanpa laporan ini perlulah rasional dan dipantau agar
tidak keterlaluan. Ini bermakna, serbuan beradab tanpa laporan dibuat
atas dasar Siyasah Syar'iyyah.
KEFAHAMAN TERHADAP DALIL LARANGAN INTIPAN
Saya
faham bahawa memang jelas dan terang terdapat pelbagai dalil
terutamanya dari hadith Nabi SAW yang mengisyaratkan dengan jelas
perihal kejinya perbuatan mencari-cari kesalahan dan mengintip.
Bagaimanapun, ia masih lagi terbuka kepada ijtihad berubahnya hukum itu
dalam keadaan suasana dan zaman tertentu. Kes Sayyidina Umar al-Khattab
yang meninjau di dalam rumah Rubi‘ah bin Umayyah adalah dalam situasi
yang mungkin berbeza dengan hotel awam di zaman ini. Malah Kefahaman
hadith dengan sohih juga mestilah ditinjau dari jenis hadith. Ini kerana
berapa banyak jenis hadith yang ‘direct' menyebut sesuatu hukum tetapi
ia berbeza aplikasi hukumnya kerana ada di antaranya :-
a- Dibina di atas uruf dan adat di ketika itu, dan boleh berubah menurut keadaan. Sebagaimana hadith laknat Allah SWT atas tindakan "menyambung rambut untuk kecantikKan serta mengubah ciptaan Allah " ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1853 , no 4604).
Dalam
hal hadith ini terdapat ulama seperti Ibn ‘Asyur yang berijtihad
mengatakan : "menurut pandanganku, larangan ini adalah terkesan kepada
keadaan (uruf) di zaman Arab silam" (Maqasid As-Shariah al-Islamiyah,
hlm 228 ). Dr. Muhammad Abu Laith pula menyatakan " Terdapat benarnya
kata-kata Ibn ‘Asyur dalam hal ini , kerana ulama tidak mengambil hadith
tadi dalam bentuk umumnya sehingga berkatalah Ulama Syafie dan Hanbali :
HARUS bagi wanita berkahwin untuk menyambung rambut dengan rambut yang
bersih bukan kepunyaan manusia apabila mendapat izin suaminya" ( ‘Ulum
al-Hadith, Dr Md Laith, hlm 366 ; Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 1/312
naqal dari Laith)
b- Terikat dengan zaman tertentu yang berubah menurut zaman juga.
Sebagai contoh hadith yang menyebut tentang timbangan adalah menurut
timbangan ahli Mekah dan ‘mikyal' adalah menurut kiraan ahli Madinah.
(Riwayat Abu Daud, 3/246 ; Sohih ). Dr Yusof Al-Qaradawi dan Syeikh
Mustafa Az-Zarqa dengan terang dan jelas menyebut bahawa hadith ini
terikat dengan zaman dan kelebihan kepada timbangan dan kiraan ahli
Mekah dan Madinah itu tidak bersifat tetap sehingga hari kiamat tetapi
telah berubah kepada kiraan moden yang lebih mudah. (Kayfa Nata'amal
Ma'a As-Sunnah, hlm 147 ; Fatawa Az-Zarqa )
c- Dibina atas dasar menutup peluang dosa atau kerburukan dari berlaku;
sebagai contoh, hadith larangan Nabi SAW dari menjatuh hukuman bunuh ke
atas pelaku sihir yang mensihir Nabi SAW bernama Lubaid Al-‘Asom. Imam
Ibn Hajar menyebutkan bahawa Imam Al-Qurtubi berpendapat bahawa
pelepasan dari hukuman itu dibuat kerana bimbang jika dijatuhkan hukuman
bunuh kepadanya, maka akan menjauhkan orang ramai dari memasuki Islam. (
Fath al-Bari, 1/231 ; rujuk pelbagai contoh lain dalam Ulum AL-Hadith
oleh Dr. Md Abu Laith, hlm 373)
d- Dibina atas dasar maslahat tertentu yang berubah menurut zaman ;
Sebagai contoh adalah larangan Nabi SAW dari melaksanakan hukuman
poting tangan pencuri ketika musim peperangan. ( Riwayat at-Tirmidzi, no
1450 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ). Cuba lihat sedangkan dalil jelas dari
Al-Quran mengarahkan hukuman ini dilakukan, tetapi di ‘adjust' waktu
pelaksanaannya menurut maslahat. Demikian juga kisah Sayyidina Umar
al-Khattab yang mengubah cara Nabi yang biasanya membahagikan hasil
kemenangan Islam di Khaybar kepada para pejuang. Dimana Umar al-Khattab
di zaman pemerintahannya tidak mengagihkan tanah Sham, Iraq dan mesir
kepada para pejuang, sebaliknya mengekalkannya di tangan tuan tanah dan
hanya mengenakan cukai tanah (Kharraj) sahaja. ( Rujuk al-Mughni, 4/189)
Banyak
lagi bentuk hadith yang jelas hukumnya tetapi terdapat aplikasi dan
tindakan pengecualian dalam keadaan tertentu, samalah seperti hal
mengintip ini, masih terdapat ruang ijtihad untuk membolehkannya di
laksanakan oleh pemerintah Muslim di zaman fasadnya umat, wujudnya
peluang selesa maksiat di hotel dan lain-lain.
TINDAKAN SIYASAH SYARIYYAH BOLEH MELAMPAUI HAK PERIBADI
Bukti
bahawa beberapa hal yang haram atas individu boleh menjadi harus oleh
pemerintah Muslim YANG ADIL dalam keadaan tertentu. Hal ini seperti
berikut (Rujuk At-Turuq al-Hukmiyah, Ibn Qayyim al-Jawziyah, hlm 43) :-
a) Tindakan Nabi SAW yang memerintahkan wanita yang mencaci dan melaknat untanya, agar melepaskannya.
(Riwayat Muslim ; no 2595). Kita dapat melihat bahawa unta tersebut
adalah harta milik si wanita dan Nabi SAW pernah menyebut di dalam
sebuah hadith sohih bahawa "diri kamu, darah kamu, harta kamu dan maruah
kamu sesame kamu adalah haram (untuk dicerobohi)" oleh orang lain tanpa
hak. Maka dalam hal ini, hak harta peribadi si wanita yang sepatutnya
haram diganggu oleh orang lain, telah dilupuskan statusnya oleh
pemerintah Islam apabila diperintahkan ia melepaskannya. Inilah namanya
tindakan Siyasah Syar'iyyah, bagaimanapun, kemudaratan yang timbul
kepada awam mestilah diminimakan sedaya upaya. Agar mampu mencapai
maksud yang disasarkan.
b) Memerintahkan agar dihukum bunuh bagi peminum arak bagi kali ke 4, hukum ini dinasakhkan selepas itu. (Riwayat Abu Daud ; no 4482 , At-Tirmidzi ; no 1444)
c) Merampas harta individu yang tidak mahu mengeluarkan zakat. (Riwayat Abu Daud ; no 1575 )
d) Nabi SAW pernah mencabut cincin emas seorang sahabat tanpa banyak soal, lalu dilemparkan cincin emas itu sedangkan ia adalah harta peribadi yang dijaga kehormatannya oleh Islam.
e) Mempergandakan nilai denda ke atas pencuri yang tidak cukup nilai curian (untuk dilakasanakan dipotong tangan),
selain ditambah pula dengan dilaksanakan hukuman sebat sebagai
pengajaran. (Riwayat Abu Daud ; no 4390 dan At-Tirmidzi ; no 1289).
Sedangkan menyakiti orang lain adalah haram menurut hukum asalnya, tapi
dalam hal ini, tindakan pemerintah yang melakukannya adalah harus bagi
mensasarkan ia sebagai pengajaran.
f) Tindakan Nabi SAW yang bersungguh-sungguh mengecam untuk membakar rumah mereka yang tidak bersolat jemaah. (Riwayat Muslim ; no 652)
G) Tindakan Sayyidina Umar al-Khattab
yang membotakkan kepala Nadhar bin Hajjaj serta menghalaunya kelaur
dari Madinah hanya semata-mata wajahnya yang terlampau kacak menyebabkan
wanita berangan-angan dan berhasrat untuk melakukan maksiat dengannya.
Bukankah wajah yang tampan itu bukan ikhtiyar (pilihan) Nadhar, tetapi
kita dapat melihat Siyasah Syariyyah menjadikan Umar bertindak demikian
demi maslahat umum. Demikian juga menurut pandangan saya berkenaan
serbuan sekali sekala oleh Jabatan Agama walaupun tanpa laporan, iaitu
demi maslahat yang lebih umum. ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)
H) Umar juga pernah bertindak mengetuk kepala Sabi' bin Asal at-Tamimi
kerana bertanya perkara yang tidak berkenaan dengannya. Bukankah
terdapat pelbagai dalil melarang kita menyakiti orang lain.? Tetapi Umar
memukulnya sebagai tindakan pengajaran kepada yang lain.
'Wajah
ad-dalalah' ATAU KEFAHAMAN DARI DALIL-DALIL DARI semua item di atas
adalah bagaimana hak peribadi dan milik seseorang HARUS di'CEROBOHI'kan
menurut kadar yang sepatutnya oleh pemerintah muslim (dalam hal ini
Jabatan-jabatan Agama lain) apabila ia diyakini boleh membawa kepada
kebaikan awam yang lebih besar, tetapi ia tidaklah begitu terbuka dan
masih mempunyai syarat-syarat seperti cuba meminimakan mudarat individu
itu, dibuat secara beradab dan rasional dan sebagainya.
KESIMPULAN
Demikian,
secara sederhana saya utarakan pandangan ketiga dalam hal ini. Ini
bermakna, saya bersetuju dengan saranan sebahagian ilmuan dan mufti yang
menyarankan WAJIB diperkemas tindakan serbuan, tetapi saya TIDAK
sependapat dengan beliau dalam hal melarang dan mengharamkan intipan
secara umum yang boleh menyebabkan terbantutnya seluruh operasi ops
maksiat yang telah sedia ada. Saya juga bersetuju dengan JAKIM dan
lain-lain Jabatan Agama yang ingin meneruskan usaha ini, pada masa yang
sama saya tidak bersetuju jika tindakan Penguatkuasa Jabatan Agama yang
menjadikannya sebagai rutin harian dan menyerbu tanpa adab dan tertib.
Akhirnya,
banyak suara yang menyebut, KEUTAMAAN juga patut diberikan untuk
mencegah maksiat yang dilakukan secara terang-terangan, saya bersetuju
dengan kenyataan ini, tetapi saya kurang bersetuju untuk menidakkan
usaha Siyasah Syariyyah ke arah pembanterasan gejala khalwat dan potensi
zina di hotel, tepi tasik, bilik kuliah Universiti, di dalam kereta di
dalam gelap dan lain-lain tempat strategik maksiat. Sebagaimana tidak
perlu kita menidakkan usaha solatnya seorang kaki judi, tidak perlu juga
menyuruh orang yang ponteng solat untuk agar meninggalkan puasa mereka
atau mengkrtik mereka apabila mereka melakukan solat sunat dhuha.
Biarlah, jika itu sahaja yang mampu dilaksanakan ketika ini demi
meluaskan ketaatan kepada Allah. Maka lakukanlah, cuma tambahilah ilmu
dalam pelaksanaannya. Ibn Qayyim menyebut : "Barangsiapa berijtihad
dalam hal mendapatkan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya (dalam hal
muamalat dan adat) maka ia berada di lingkungan satu ganjaran atau dua"
( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 50)
Bagaimanapun, saya tidak dapat menjamin kemampuan melayan semua komentar kerana masa yang amat terhad.
Wallahu ‘alam.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.