https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengenali Hadi Awang, Pas dari dekat

Oleh

PARTI Islam SeMalaysia atau Pas ditubuhkan sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam pada tahun 1951 selepas Hizbul Muslimin diharamkan pada tahun 1948. Walaupun Hizbul Muslimin telah diharamkan tetapi parti ini dianggap sebagai permulaan kepada penubuhan parti politik Islam. Kewujudan Pas pada peringkat awal adalah untuk mengimbangi perjuangan nasionalisme Umno.
Namun begitu, Pas akhirnya telah membawa haluan sendiri dalam memperjuangkan matlamat dan ideologinya sebagai sebuah parti Islam. Semenjak penubuhannya, Pas telah melalui dan menempuhi berbagai perkembangan dan cabaran politik.

Pas kemudiannya menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran Pas-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan BN pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan Pas sendiri telah berjaya menguasai Kelantan

Semasa berlaku krisis politik di Kelantan pada tahun 1977, Pas telah bertindak keluar daripada BN kerana menganggap Umno telah mengkhianati mereka. Kemelut tersebut mengakibatkan Pas mengalami perpecahan dalaman yang teruk dengan terbentuknya parti-parti serpihan, Berjasa dan Hamim. Bukan itu sahaja, Pas juga kelihangan Kelantan.

Pas berpakat dengan Semangat 46

Ekoran peristiwa itu, pemimin-pemimpin Pas seperti Yusof Rawa, Datuk Fadzil Nor, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terpaksa berhempas-pulas dan mengambil masa yang agak lama untuk menyusun kembali parti mereka. Pemimpin-pemimpin ini bukan sahaja kelihatan begitu serik dengan permainan politik Umno tetapi juga nampak amat sukar untuk memaaf atau menerima Umno kembali.
Pada tahun 1990, Pas berpakat dengan Semangat 46 yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Umno, Tengku Razaleigh Hamzah untuk membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan berjaya menyapu bersih 13 kerusi Parlimen dan 39 Dun Kelantan.

Pas bersama Pakatan Rakyat

Semasa PRU12 dan PRU13, Pas yang diterajui Nik Abdul Aziz telah bergabung dengan PKR dan DAP di bawah gagasan Pakatan Rakyat untuk menandingi Umno dan BN. Pencapaian Pas semasa dua PRU itu amat memberangsangkan dengan kejayaan di pantai timur dan pantai barat.

Tidak lama selepas PRU13, beberapa pemimpin atasan Pas yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden mula mengorak langkah untuk berbaik dan berjinak-jinak dengan Datuk Seri Najib Razak, Umno dan BN. Semasa hayat Nik Abdul Aziz, usaha Pas untuk berkerjasama dengan Umno tak dapat dilangsungkan secara terbuka kerana ditentang keras oleh Allahyarham.

Kata Nik Abdul Aziz, "Selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama Pas dan Umno dilakukan.”

Umum mengetahui bahawa Nik Abdul Aziz tidak boleh menerima Umno kerana kerajaan di bawah Umno/BN terpalit dengan berbagai kemungkaran besar-besaran seperti rasuah, pecah amanah, kepimpinan dan urustadbir negara yang tidak telus dan tulus, nepotisme, kronisme, kerakusan terhadap pihak pembangkang dan lain-lain lagi.

Tahaluf Siyasi

Nik Abdul Aziz juga tidak mahu Pas 'digigit oleh ular yang sama dua kali' selepas pengalaman pahit pada lewat tahun 70-an apabila disingkirkan dari BN oleh Umno.

Selepas ketiadaan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi lebih berani untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno, mengikut apa yang mereka katakan sejajar dengan prinsip tahaluf siyasi. Bermula sebagai 'kekasih gelap', hubungan tersebut makin jelas, terbuka dan menyerlah sejurus sebelum dan selepas PRU14.

Maka tidak hairanlah semasa PRU14, Pas mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan gabungan baru pembangkang, Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun M. Pendekatan yang diambil oleh Pas sekali lagi mengundang perpecahan dalaman setelah beberapa pemimpin atasan mereka seperti Ustaz Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Dr Zulkefly Ahmad, Datuk Husam Musa dan lain-lain lagi membuat keputusan untuk meninggalkan Pas, lalu menubuhkan Parti Amanah Negara. Amanah kemudian menyertai Pakatan Harapan.

Umum sudah mengetahui kejayaan luar jangka yang dicapai oleh PH pada PRU14. Pas pula hanya berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu, namun ditolak dengan teruknya di pantai barat, Sabah dan Sarawak.

Pas dan Umno terkapai-kapai dan terpaksa menggigit jari sebagai parti pembangkang di peringkat Pusat dan terpaksa mencari hala tuju baru untuk terus kekal relevan dalam kancah politik negara.

Pas pasca PRU14

Hala tuju yang dipilih oleh Abdul Hadi ialah untuk berkerjasama secara lebih terbuka dengan Umno sepertimana yang dilakukan semasa PRK di Sungai Kandis, Balakong dan Sri Setia. Tetapi kerjasama tersebut tidak berjaya atau mendatang apa-apa hasil yang bermakna apabila mereka tewas di ketiga-tiga PRK tersebut.

Pada muktamar Pas yang berlangsung baru-baru ini, barisan pemimpin atasan Umno ikut hadir di majlis untuk memberi petanda sokongan dan mereka untuk terus bekerjasama dengan rasminya dengan Pas. Sementara itu di Perhimpunan Agung Umno yang baharu saja selesai, beberapa pemimpin atasan Pas juga ikut hadir sebagai tindakan balas sokongan kepada Umno.

Namun hakikatnya di peringkat akar umbi, belum jelas dan terbukti kesediaan ahli dan penyokong untuk menerima kerjasama ini. Kepimpinan dalam parti itu juga nampak tidak mencapai konsensus dalam hal ini apabila beberapa pemimpin tertinggi mereka dan lain-lain telah menyuarakan rasa tidak senang mereka tentang kerjasama ini
.
Bagi ahli dan penyokong kedua-dua pihak, kiranya masih segar dalam ingatan mereka tentang Amanat Hadi yang mengkafirkan Umno. Bukan senang untuk ahli Pas di akar umbi yang diasuh dan dibentuk untuk membenci dan memerangi Umno untuk sekian lama, tiba-tiba diminta untuk membuka hati dan jiwa menerima Umno sebagai rakan seperjuangan.

Mengikut satu laporan, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata semakin ramai ahli akar umbi Pas yang tidak suka kepimpinan parti dekat dengan Umno.

Khalid Samad, bekas pemimpin Pas dan sekarang menjawat jawatan Menteri Wilayah juga menyebut bahawa kedudukan Abdul Hadi dalam Pas semakin kukuh dengan terkeluar atau tersingkirnya barisan pemimpin yang menentangnya. Tetapi kekuatannya mungkin diguna untuk mengejar impian politiknya yang mungkin membawa padah dan kehancuran kepada Pas akhirnya.

Khalid Samad menyebut: “Sebab itu, beliau boleh mengubah pendekatan Pas dan pemimpin Pas yang lain boleh menyerang dan melabel kami tanpa sekatan pada muktamar yang lalu.”

Hakikat geopolitik dan realpolitik Pas hari ini ialah mereka berdepan dengan cabaran yang amat getir sekali untuk kembali sebagai parti yang relevan dan berwibawa di persada politik perdana setelah mereka membuat keputusan untuk meminggirkan PH dan memilih untuk bersendirian semasa PRU14.

Pun begitu, dengan keadaan Umno yang makin goyah dan tenat sekarang, suara pembankang dan peranan semak dan imbang perlulah dipikul dan dimainkan oleh Pas.

Malah tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa tentangan kepada kerajaan dan gagasan PH dari sekarang hingga ke PRU15 nanti akan datang dari pakatan pembangkang yang akan dikepalai oleh Pas. Maka perkembangan politik Pas seterusnya bukan sahaja perlu diikuti dan dipantau oleh ahli dan penyokong mereka sahaja, malah juga oleh PH amnya.

Sama ada Pas mampu untuk bangkit semula sebagai sebuah parti yang gah dan kredibel seperti dulu melalui pendekatan politik matang mereka dan hala tuju yang ditempa oleh Abdul Hadi, kita ikuti sambungan rencana di Bahagian II seterusnya.

* Wan Haron Wan Hassan, Penulis Kanan Sinar Harian

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.