https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah Albert Tei pelakon dalam percaturan politik dan mengapa bertemu Mahathir ?


Oleh Fathi Aris Omar

Semasa bertugas sebagai editor Malaysiakini lebih 10 tahun dahulu, ada seorang ahli perniagaan jumpa saya. Beliau minta jangan laporkan skandal.

Katanya, beliau sudah berbelanja RM10 juta untuk jayakan projek tersebut. Laporan kacau-bilau projek ini menimbulkan masalah lagi kepadanya.

Waktu itu kontrak belum disahkan akibat berita yang semakin panas. Jadi dana RM10 juta itu seperti tergantung, tidak menjana hasil.

Saya beritahunya, berita itu datang daripada sumber bersama dokumen yang sahih. "Sepatutnya you pergi jumpa sumber itu biar dia tidak bercakap," cadang saya kepada ahli perniagaan ini.

Saya dimaklumkan sumber itu mendedahkan kepada seorang pemimpin politik. Akibat pergolakan dalam syarikat, sumber itu bocorkan kepada pemimpin tersebut. Lalu berita itu sampai kepada wartawan Malaysiakini.

Ahli perniagaan ini terperangkap apabila sumber itu bergaduh dalam syarikatnya yang bakal dapat kontrak tersebut. Kes itu gamaknya tidak selesai. Perang dalam syarikat itu akhirnya jadi kes saman.

Tidak mengapalah, syarikat itu dapat kontrak juga. Projek awam itu akhirnya berjaya disiapkan. Apa jadi pada saman sesama sendiri itu, saya tidak pasti. Lama sudah ia berlalu.

Kita kembali kepada berita sensasi hari ini, Albert Tei. Saya suka ulasan di FMT petang semalam. Tulisan ini yang paling munasabah dan kritikal melihat isu ini, tidak mudah-mudah sebut "rasuah".

Ramai orang suka melihat selapis. Mereka mudah termakan dengan kata-kata daripada sumber, ayat dalam berita dan tidak mampu bertanya lagi. Artikel portal FMT ini berbeza. Ia bertanya isu lebih luas.

Saya tidak minat ulas siapa Albert Tei. Saya mahu tanya persoalan lebih asasi, apa itu rasuah? Kita faham rasuah itu berlaku apabila ada kontrak sudah diperolehi. Tetapi rasanya beliau belum dapat.

Jadi wang, atau apa-apa suapan, yang bertukar tangan ini untuk apa? Untuk dapat lesen melombong, tentunya. Tetapi lesen itu tidak diberi. (Atau, sudah dibatalkan?)

Jika tiada kerugian atau pilih kasih yang menimbulkan kerugian kepada dana/aset awam, bagaimana ia boleh dianggap rasuah yang tercela?

Konsep asas ini yang kita kena faham. Bahawa rasuah itu satu langkah/proses yang menguntungkan pihak luar (penyedia khidmat) dalam keadaan merugikan negara.

Dengan kata lain, rasuah itu menjadikan pegawai kerajaan tidak objektif dalam menilai sekumpulan penyedia khidmat. Ada penyedia khidmat yang lebih baik (competitive bidder) tidak dipilih akibat ada rasuah. Ada pilih kasih di sini. Jadi negara rugi.

(Konsep yang saya sebut ini bukan seperti kes Albert Tei. Kes ini tidak libatkan beberapa penyedia khidmat seperti lazim tender biasa)

Dalam kes Albert Tei itu, kenapa wang itu diberi? Kenapa rakaman dibuat? Untuk apa rakaman disebar? Untuk apa seorang ahli perniagaan muncul sebagai whistleblower?

Sebab selalunya ahli perniagaan di negara kita (ulang: negara kita) tidak akan muncul seperti itu.

Selalunya mereka bermain di balik tabir, cuma menyelesaikan pelbagai isu. Misalnya gaya ahli perniagaan yang berjumpa dengan saya. Beliau tidak mahu diberitakan. Saya juga pernah jumpa ahli perniagaan yang mahu bongkar kontrak RM10 bilion apabila mengetahui syarikatnya tidak dapat.

Jadi gelagat Albert Tei ini pelik sedikit. Apakah beliau begitu terdesak? Macam-macam orang beliau hulur dan macam-macam video dirakam.

Saya petik beberapa ayat daripada portal FMT:

Bagi penulis perbuatan itu amat menghairankan. Apakah rancangan Tei sehingga boleh mengakui secara terbuka perbuatan memberi rasuah yang melanggar undang-undang?

Tambahan pula, pendedahannya tidak boleh dibanggakan malah menimbulkan persoalan: “Mengapa mahu beri rasuah jika mahu berniaga dengan betul? Apakah beliau tidak yakin dengan syarikatnya sendiri sehingga sanggup beri rasuah?"

Tei mendakwa tindakan itu dibuat kerana tekanan, namun timbul persoalan dia enggan melaporkan lebih awal kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya dicarinya ketika terdesak dan mahu menjadi pemberi maklumat [.....]

Setahun kemudian, sesetengah pemerhati melihat langkah [Albert] Tei bertemu [Tun Dr] Mahathir [Mohamad] menimbulkan pelbagai spekulasi. Adakah semata-mata hendak memastikan tumbangnya Hajiji dan GRS? Siapa pihak berkepentingan mendapat keuntungan politik?

Dalam keadaan itu, persoalan besar masih belum terjawab: Adakah Albert Tei pelakon dalam percaturan politik lebih rumit sedang dimainkan menjelang pilihan raya Sabtu ini? Soal lain, mengapa Tei bertemu Mahathir?

Boleh baca lebih panjang di portal FMT 👇👇👇

Albert Tei: Wira, kambing hitam atau pelakon politik?

Apapun perbahasan kita, kes ini cukup menarik. Ia menzahirkan permainan di belakang tabir bagaimana ahli perniagaan cuba pengaruhi orang politik. Ia menzahirkan prasangka kita selama ini.

Ada buku menarik yang mendedahkan macam- macam kontroversi dan skandal dari 1979 hingga 2023 termasuk di Johor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

Tajuknya Misgovernance: Grand Corruption in Malaysia karya profesor Edmund Terence Gomez. Cuba cari buku terbitan 2024 ini 👆 memang bagus sebab ia kaji rasuah orang politik dan syarikat GLC.

Kita tidak perlu pertahan sesiapa. Jadi buku ini wajar disemak sebab selongkar isu urus tadbir di banyak negeri termasuk DAP, PKR dan juga PAS.

Tetapi perlu ingat, isu rasuah dan dakwaan seleweng ini tidaklah straight forward. Yakni kita boleh lontar tuduhan sesuka hati dan harap ada siasatan dan kemudian diheret ke mahkamah.

Tidak begitu mudah. Isu apa-apa rasuah dan dakwaan apa-apa skandal terbahagi kepada tiga:

1. Politik - sebarang serangan atau tohmahan tetapi tidak melibatkan kategori 2 dan 3 di bawah ini.

2. Moral - lantik menantu MB ke jawatan GLC atau kerajaan beri projek kepada syarikat anak ketua menteri tetapi beliau tidak pengerusi mesyuarat itu

3. Undang-undang - beri saham kepada menantu menteri dalam mesyuarat yang dipengerusinya.

Jadi kena ingat. Isu rasuah dan dakwaan seleweng ini tidaklah straight forward. Yakni kita boleh lontar tuduhan sesuka hati dan harap ada siasatan dan kemudian diheret ke mahkamah.

Sumber FB Fathi Aris Omar

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.