Pilihan raya sentiasa berubah, kehendak rakyat kekal
Oleh Nazmi Yaakub -
Istilah the mother of elections atau ibu segala pilihan raya mula digunakan dalam wacana politik Malaysia untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai kerajaan Persekutuan, tetapi hilang undi popular, manakala Selangor yang jatuh kepada Pakatan Rakyat (PR) dianggotai PKR, PAS dan DAP dalam PRU12, tidak dapat dirampas, sekali gus seolah-olah menjadi kubu kuat pembangkang seperti Kelantan dan Pulau Pinang ketika itu.
Sejak itu, setiap kali negara menuju kepada penentuan di peti undi, setiap pilihan raya dianggap paling besar, paling getir dan menentukan masa depan tanah air. Malah, ia memang betul, PRU14 menyaksikan kerajaan BN tumbang selepas 61 tahun mentadbir (mengambil kira Perikatan sebelumnya), manakala pada PRU15 pula kita buat kali pertama berdepan situasi Parlimen tergantung yang membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 2022.
Ini bermakna satu demi satu pilihan raya terus menampilkan keputusan baharu yang menolak kebiasaan dan menandakan perubahan dalam denyut politik rakyat. BN yang pernah dilihat kukuh mula berdepan gelombang reformasi, munculnya gabungan baharu, penguasaan parti pembangkang di beberapa negeri, akhirnya pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018. Kejutan yang potensinya sebelum itu hanya dibayangkan dalam analisis akademik dan retorik jalanan, sudah menjadi realiti.
Pilihan raya di peringkat negeri juga begitu. Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih sinonim dengan politik Sarawak kerana kerajaan negeri biasanya lebih mengikuti tindakan di peringkat Persekutuan walaupun bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, dahulu pernah melontarkan kemungkinan tarikh berlainan, tetapi tidak pernah direalisasikan kerana pelbagai faktor terutama dari segi risiko politik terlalu besar.
Namun sejak pandemik COVID-19 dan Langkah Sheraton yang membawa kepada keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0, drama kemelut politik dan penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) antara BERSATU, PAS dan BN, pilihan raya di peringkat negeri juga tidak pernah lagi sama.
Meminjam konsep multiverse dunia Marvel yang menyaksikan setiap garis masa melahirkan versi alternatif, PRN juga begitu yang bermula dengan Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor antara September 2020 hingga Mac 2022, manakala PRN enam negeri, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dibuat berasingan daripada PRU15.
Semalam, kita kembali memulakan pusingan baharu PRN dengan 1.78 juta pengundi berdaftar di Sabah 'membuang undi' dengan mengharapkan tumbuhnya sebuah kerajaan. PRN17 di Sabah ini disifatkan seorang penganalisis boleh menghantar 'gegaran' ke Putrajaya dan Semenanjung walaupun kempen sepanjang dua minggu lebih bersifat lokal dan wilayah. Ia membawa makna PRN17 sekali lagi bukan pilihan raya biasa, boleh juga dijolok sebagai ibu segala PRN.
Rakyat mahu kerajaan bekerja
Namun di sebalik keputusan yang lahir sering dilihat pelik dan tidak menentu, malah sukar dibaca dengan formula lama, hakikatnya kehendak rakyat sebenarnya tetap sama, iaitu mereka mahukan kerajaan yang bekerja untuk mereka dan membawa pembangunan serta kemajuan dengan cara terbaik termasuk bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa, cekap dalam pentadbiran, sekali gus membina masa depan lebih baik untuk anak-anak mereka. Perbezaannya adalah pada cara rakyat menilai, kaedah maklumat disebarkan dan bagaimana politik dipersembahkan. Dunia teknologi menjadikan semua pihak waima parti, calon, jentera dan penyokong berlumba-lumba mencipta persepsi dan membentuk imej.
Tidak hairanlah apa yang kita saksikan sepanjang kempen PRN17 dan juga PRU sebelumnya adalah bagaimana mahu memasarkan produk politik, bukan bagaimana mahu membaiki mutu produk itu sendiri. Banyak parti ibarat syarikat menghabiskan lebih banyak peruntukan untuk iklan berbanding penyelidikan kerana politik kita semakin bergantung kepada cara menjual janji, bukan melaksanakan tanggungjawab. Dalam ekosistem digital, kehebatan poster dan infografik, kemahiran komunikasi media sosial dan kecepatan mencipta naratif mampu menenggelamkan persoalan pokok apakah dasar dan kerja yang benar-benar memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem.
Barangkali apa yang berlaku dalam politik kita ibarat fenomena alam pascaperubahan iklim. Ribut tropika Senyar yang 'melencong' ke Selat Melaka dan mengubah ramalan cuaca seluruh rantau. Kadang-kadang, perubahan arah pengundi begitu pantas dan mendadak hingga parti politik tidak sempat menyesuaikan layar dan menyediakan pelampung.
Namun di sebalik itu, dasar laut demokrasi sepatutnya sama, iaitu rakyat sebagai pemegang kuasa sebenar, parti sebagai pengurus amanah dan pilihan raya sebagai medan memperbaharui kontrak sosial antara kedua-duanya. Justeru, dalam hiruk-pikuk perebutan kuasa, parti politik tidak boleh lupa demokrasi bukan hanya kemenangan, sebaliknya mengenai kebertanggungjawaban terhadap pengundi.
Kita boleh lihat sejauh mana hal ini menjadi keutamaan dengan keputusan PRN17 dan bagaimana parti yang menang, membentuk kerajaan dan melaksanakan tanggungjawab, manakala parti yang kalah menjalankan tugas semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru, keputusan PRN17 boleh ditafsir sebagai isyarat baharu, ulangan pola lama atau mungkin hanya anjakan sementara dalam taufan lebih besar. Apa pun tafsirannya, termasuk berapa kali 'ibu segala pilihan raya' akan berlaku, semua parti politik perlu kembali kepada asas, iaitu demokrasi adalah perjanjian antara pemimpin dengan rakyat.
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.