Shamsul perlu saman Albert
Oleh Yiswaree Palansamy
Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, menyarankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Shamsul Iskandar Md Akin, untuk menyaman ahli perniagaan Albert Tei.
Ini susulan dakwaan bahawa Shamsul menerima wang daripada Tei, dan video di mana Anwar didakwa terlibat dalam skandal video rasuah Sabah.
Rafizi berkata ia hanya dakwaan dan khabar angin buat masa ini dan harus dijelaskan di mahkamah.
"(Dalam kes Anwar) Akan sangat sukar bagi Tei untuk membuktikan dakwaannya melangkaui sangkaan yang dibuat dalam video itu, melainkan dia mempunyai rakaman pertemuan dengan perdana menteri yang jelas merakam arahan sedemikian.
"Selain itu, perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah," katanya.
Semalam, satu video rakaman kamera tersembunyi muncul memaparkan perbualan Tei dengan seorang wanita - yang dikatakan proksi Shamsul.
Dalam video itu, wanita berkenaan mendakwa bahawa Anwar dikatakan telah memberikan restunya kepada Shamsul, untuk membenarkan Tei merakam perbualannya secara rahsia dengan ahli politik Sabah, yang didakwa membincangkan sogokan untuk mendapatkan lesen perlombongan.
Video itu muncul beberapa jam selepas pendedahan berasingan dengan mendakwa telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul selepas didakwa diyakinkan bahawa bekas pembantu politik perdana menteri itu boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Tei juga memberikan Malaysiakini tangkap layar perbualan WhatsApp dari Disember 2023 dengan Shamsul didakwa meminta wang semasa melancong ke luar negara
Shamsul mengumumkan bahawa dia telah meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar tidak lama selepas Malaysiakini menghubunginya mengenai dakwaan Tei.
Mengulas dakwaan terhadap Shamsul, Rafizi berkata adalah lebih baik jika Anwar memecat bekas pembantunya minggu lalu apabila skandal berhubung surat sokongan yang ditandatangani oleh Shamsul muncul semula.
"Tidak kira apa yang berlaku di mahkamah - dan terutamanya jika tiada tindakan diambil - pendedahan Tei telah memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan kredibiliti Anwar.
"Sekiranya Anwar mengambil tindakan tegas dengan memecat Shamsul ketika kontroversi mengenai surat sokongannya muncul minggu lalu, perdana menteri sepatutnya dapat menjauhkan diri daripada pendedahan ini.
"Pada ketika ini, saya tidak dapat memikirkan cara cepat untuk perdana menteri mengurangkan kerosakan kredibilitinya," kata Rafizi.
Pada Mei tahun lalu, Shamsul telah menulis surat sokongan untuk enam kontraktor yang ingin menyertai projek hospital.
Surat itu telah dibangkitkan di Parlimen sekali lagi minggu lalu, dengan Anwar mendedahkan bahawa dia telah menegur Shamsul.
Walau bagaimanapun, Anwar menolak desakan memecat Shamsul, dengan mengatakan teguran sudah memadai.
Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Ambil perhatian isu pelantikan Ahmad Terrirudin
Dalam perkara berasingan, Rafizi juga menyeru Anwar untuk mengambil perhatian kebimbangan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengenai bantahan baru-baru ini yang dibangkitkan terhadap pelantikan Ahmad Terrirudin Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Tuanku Mukhriz bertitah bahawa perlu ada respons yang munasabah terhadap bantahan itu.
"Komen awam Kebawah Duli Yang Maha Mulia tidak boleh dipandang ringan, dan walaupun Anwar mungkin ingin isu ini pudar, ia menyentuh segmen penting masyarakat - terutamanya dalam Pakatan Harapan dan PKR.
"Mereka yang sangat mengambil berat tentang kebebasan kehakiman adalah penyokong teras PH-PKR, terutamanya dalam kalangan kelas menengah. Lagipun, ahli perundangan adalah antara penyokong reformasi terawal, tepatnya kerana kebimbangan mereka tentang tingkah laku pihak berkuasa dan mahkamah pada masa itu," katanya.
Anwar telah melantik Terrirudin ke JAC di bawah kuota lima calon eksekutif kepada suruhanjaya itu.
Terrirudin menghadapi dakwaan campur tangan kehakiman yang belum selesai, berpunca daripada dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC pada bulan Julai.
Rafizi sebelum ini telah meminta agar sebuah suruhanjaya siasatan diraja dibentuk untuk meneliti dakwaan tersebut.
"Kebimbangan terbesar saya ialah dakwaan yang terkandung dalam minit JAC yang bocor masih belum disiasat sehingga hari ini.
"Ini mewujudkan bahaya berganda bagi kerajaan.
"Bukan sahaja persoalan tentang kredibiliti beliau (Anwar) berlarutan, tetapi dengan pelantikan ke JAC ini, ia memberi gambaran bahawa perdana menteri bertekad untuk meneruskan walaupun terdapat dakwaan yang belum selesai," kata Ahli Parlimen Pandan itu.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.