Pembangunan semula Kampung Sungai Baru dijangka siap 4 tahun lagi
KUALA LUMPUR: Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi selepas hampir 10 tahun melalui pelbagai cabaran untuk menjadikan kawasan itu lebih teratur, moden dan terkehadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya akan memantau pembangunan itu termasuk semua agensi dan persatuan penduduk supaya pembinaannya berjalan dengan lancar.
Katanya, apabila ia dapat diselesaikan dengan segera, beliau menjangkakan pembangunan akan menjadi pemangkin bukan saja kepada Kampung Sungai Baru, bahkan kepada Kampung Baru secara keseluruhannya.
"Ada pihak yang cuba meniup sentimen bahawa Kampung Sungai Baru akan kehilangan identiti asalnya, tetapi saya tegaskan walaupun sudah banyak kali diulang di Parlimen, saya bersama pasukan akan pastikan identiti Kampung Sungai Baru itu kekal dan tidak akan lenyap.
"Dalam urusan ini, saya sudah minta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) untuk lihat dengan teliti kesemua aspek untuk memastikan identiti asal, bukan saja identiti Melayu, tetapi adat resam di Kampung Sungai Baru ini kekal terpelihara.
"Ini bukan pengakhiran kepada Kampung Sungai Baru, malah ini adalah permulaan baru kepada Kampung Sungai Baru," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, Pengarah Kl City Gateaway Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus.
Zaliha berkata, bagi memastikan projek ini terus mampan, beliau meminta pihak pemaju untuk menimbangkan beberapa perkara untuk memastikan penduduk mendapat pulangan yang lebih baik lagi.
"Jadi pihak pemaju sudah pun bersetuju beberapa perkara iaitu caj penyelenggaraan diberikan secara percuma bagi tahun pertama selesainya pembangunan semula ini dan kemudian menanggungnya dengan dana penampan sebanyak 70 peratus bagi tahun kedua hingga tahun ke-10.
"Komitmen ini bernilai sehingga RM4 juta. Selain itu, pemaju juga bersetuju untuk menyediakan kelengkapan tambahan rumah berbentuk pendingin udara, hud dan dapur masak bernilai keseluruhan sehingga RM2 juta.
"Pemaju turut bersetuju menanggung kos pembinaan berjumlah RM15 juta untuk menghubungkan Kampung Baru amnya dan Kampung Sungai Baru khasnya dengan akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)," katanya.
Katanya, beliau difahamkam dalam tempoh dua bulan akan datang, cabutan unit akan dibuka kepada penduduk yang layak secara adil dan tidak boleh memilih.
"Unit yang disediakan begitu selesa berbanding dengan yang dulu, di mana keluasan rumah itu adalah 900 kaki persegi ke atas sehingga 1,200 kaki persegi yang meliputi tiga bilik dan tiga bilik air.
"Jadi saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penduduk serta pemaju kerana akhirnya kita berjaya menyelesaikan satu legasi isu yang begitu lama dinantikan oleh penduduk.
"Walaupun ada antara mereka yang sudah pun meninggal dunia dan tidak sempat menikmati hak mereka," katanya.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.