Jentera kempen BN dan PH bersemangat, PN kurang memberangsangkan
Oleh Dr Sharmin Kutty Sivaraman
Kawasan tumpuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini ialah tujuh kerusi panas yang dimenangi penyandang dengan majoriti bawah 1,000 undi, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Bukit Pasir, Parit Yaani, Tangkak, Serom, Bukit Kepong, Jementah, Tiram Endau dan Puteri Wangsa.
Semua kerusi berkenaan berada dalam situasi 'rapuh' untuk berisiko untuk berpindah tangan.
Barisan Nasional (BN)
BN Johor mempunyai dinamik tersendiri dibawa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Namun, situasi kali ini agak berlainan dengan keadaan PRN 2022 kerana retorik politik.
Ketibaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan sokongan kepada Onn Hafiz di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam dengan laungan BN juga membawa resipi kekuatan kepada jentera parti dengan laungan 'Maju Johor, Semangat Biru'.
Kita dapat saksikan kemeriahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning yang menghadapi persaingan lima penjuru untuk merebut kerusi yang sebelum ini dimenangi UMNO dengan majoriti 1,535 undi.
Begitu juga vibe pertembungan juga menarik di kerusi DUN Puteri Wangsa yang akan menjadi tumpuan untuk kepada BN untuk merampas kerusi sebelum ini dimenangi oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz, apatah lagi turut berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Pakatan Harapan (PH)
Perarakan PH penuh gah dengan laungan 'Johor Undi Pakatan Harapan' ke pusat penamaan calon DUN Permas diiringi Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu, manakala Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di DUN Senggarang bersama ratusan penyokong PH berpakaian serba merah menunjukkan jentera gabungan itu berjaya membina momentum.
Ada beberapa kerusi bakal menyaksikan persaingan sengit antara PH dengan BN seperti DUN Buluh Kasop apabila calon mereka, Noraziah Mohd Razit akan berdepan penyandangnya, Datuk Zahari Sarip (BN). DUN Betayan akan menyaksikan pertembungan antara Ng Yak Howe (PH) dengan Chua Lee Huat (BN). PH juga berdepan cabaran memastikan strategi kempen efektif yang mengikut kehendak rakyat untuk mampu menawan pengundi.
Perikatan Nasional (PN)
Kita menyaksikan situasi penamaan calon PN sedikit hambar kerana krisis politik dalaman yang memberikan 'isyarat' tidak memberangsangkan. Bagaimanapun perlu diakui, laungan slogan 'BERSATU Demi Johor' menunjukkan jentera mungkin melupakannya sementara demi menumpukan kempen pada PRN ini.
Namun, harus diingat langkah meletakkan calon hanya di 23 daripada 56 kerusi sebenarnya memberikan kelebihan kepada BN. Ketiadaan PN di kawasan tertentu membuka ruang kepada PH dan BN untuk bertanding satu lawan satu, malah dapat mengubah struktur politik berbanding pada PRN 2022. Namun, tidak semestinya ia memberi kelebihan kepada BN sahaja, kerana PH juga meraih manfaat kerana tidak bertanding di kerusi tradisi gabungan itu, Tangkak, Bentayan, Penggaram, Skudai, Bukit Batu, Senai, Perling dan Johor Jaya.
Parti lain
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) bertanding di 15 kerusi; MUDA (empat kerusi) dan Bebas (enam kerusi) serta masing-masing satu daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASAL) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BERSAMA mempunyai retorik perjuangan tersendiri namun sejauh manakah persepsi rakyat dan penerimaan masih menjadi persoalan besar kerana parti tradisi lain sudah lama mencipta rekod dan sejarah.
Bagaimanapun, jika pengundi muda memberikan undi kepada parti politik baharu ini, ia berpotensi menyebabkan undi segmen pengundi itu pecah.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan & Pengajian Liberal Universiti Antarabangsa INTI




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.