Cina, DAP dan PKR
Oleh Lim Hong Siang
“Paling buruk Cina tidak keluar mengundi. Mereka tidak tergamak untuk mengundi MCA-Barisan Nasional, apatah lagi Gerakan-Perikatan Nasional.”
Jelas, teori bahawa pengundi Cina tetap tidak akan mengalih sokongannya daripada DAP-Pakatan Harapan, akhirnya meleset, sebagaimana yang disaksikan dalam PRN Johor baru-baru ini.
Ralat ini berpunca daripada andaian bahawa pengundi Cina adalah penyokong tegar DAP, sehingga pernah mencurahkan 95 peratus sokongan kepada DAP pada kemuncaknya. Namun, seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina tidak bersifat monolitik. Jalur politiknya berbeza, malah mereka memiliki kepentingan yang berlainan, bergantung kepada kelas sosial ekonomi di mana mereka berada.
Cuma undi mereka terpusat kepada DAP-Pakatan Harapan kerana tidak memiliki pilihan seperti komuniti Melayu. Pengundi Melayu yang menolak Umno boleh memilih PAS jikalau cenderung kepada Islamis, atau Bersatu jikalau ingin kekal nasionalis, malah PKR jikalau lebih terbuka kepada kepelbagaian dari segi politik identiti. Cina yang menolak Umno, PAS mahupun Bersatu, hanya memiliki satu pilihan, iaitu DAP.
Sentimen Cina
Secara umum, rata-rata warga berketurunan Cina terkesan dengan impak Dasar Ekonomi Baru, sama ada ketika bersaing dalam kerangka kuota untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam, mahupun ketika berkecimpung dalam dunia ekonomi.
Sama ada “kesan” ini terpahat mahupun terpadam sepanjang hidupnya, bergantung kepada pengalaman dan sikap masing-masing.
Ringkasnya, bahasa, budaya, pendidikan dan ekonomi menjadi kata kunci dalam politik Cina, selain agama yang menyaksikan perdebatan sejauh mana kebebasan gaya hidup non-muslim diberi ruang di tempat awam. Bagi komuniti Cina yang lebih tinggi kesedaran siviknya, hak asasi, kebebasan, ketelusan, tatakelola dan integriti juga dijadikan keutamaan untuk dipertimbangkan ketika mengundi.
Jikalau sebelum PRU 2018, MCA dan Gerakan dipersalahkan DAP kerana tunduk kepada Umno, sama ada gagal memperjuangkan hak dan identiti etnik Cina, mahupun tidak berani menegur ketika Umno menyalahgunakan kuasa untuk mempertahankan kedudukannya.
Kini, naratif yang sama memakan tuannya. DAP dituduh tunduk kepada Anwar Ibrahim apabila dasar kerajaan persekutuan kelihatan semakin cenderung untuk menarik sokongan kelompok sayap kanan Melayu-muslim, juga apabila isu integriti seperti Azam Baki dan mafia korporat tidak ditangani sebaik-baiknya.
Cina yang suka dan benci Nga Kor Ming
Justeru itu, kita harus lebih berhati-hati ketika menelaah sentimen dalam kalangan masyarakat Cina, terutamanya mereka yang ingin menuai undi protes terhadap DAP.
Umpama kesenjangan ekonomi, polarisasi tidak berlaku hanya antara kaum, tetapi juga sesama kaum.
Ambil contoh Nga Kor Ming, kebanyakan Melayu membenci keceluparannya yang tidak peka dengan sensitiviti kelompok muslim. Untuk memperbaiki imej negatifnya dalam kalangan Melayu, Nga bertindak balas dengan kenyataan yang difikirkan boleh menyedapkan hati muslim, misalnya memetik ayat al-Quran, tanpa sedar bahawa ia mengundang ketidakselesaan, jikalau bukan kemarahan dalam kalangan muslim.
Bagaimana pula persepsi komuniti Cina terhadap Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP ini?
Nga agak popular dalam kalangan Cina di luar bandar, kelas menengah bawah, dan mereka yang mengagumi gaya dan kepetahan pidatonya. Dengan bahasa yang berpijak di bumi, Nga mampu menggarap sentimen akar umbi, menjadi penceramah yang dikatakan memiliki daya tarikan massa.
Cuma populariti Nga dalam kalangan peminatnya juga semakin terhakis baru-baru ini, apabila prestasi Kerajaan Madani dihujani kritikan “lebih indah khabar dari rupanya”. Ini masalahnya apabila politikus terlajak ketika berjanji. Ambil contoh tragedi kematian Teoh Beng Hock, berapi-api ucapannya untuk menegakkan keadilan bagi keluarga Teoh ketika Nga masih pembangkang, tetapi mengelak soalan wartawan hanya dengan sepatah “Thank you very much” ketika diminta mengulas tentang perkembangan kes ini setelah berkuasa.
Maka terbentuklah persepsi bahawa Nga dan rakan seperjuangan DAP-nya mengeksploit isu Beng Hock semata-mata untuk meraih undi. Dan isu Beng Hock hanyalah salah satu contoh daripada banyak isu yang melambak. UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) misalnya, sentimen Cina dikerah dari bawah untuk menentang DAP, kerana apa yang dilaksanakan Kerajaan Madani bukan pengiktirafan sepenuhnya sebagaimana yang dijanjikan DAP sebelum ini.
Di sebalik Nga: Cina DAP dan Cina PKR
Situasi ini meletakkan DAP dan PH dalam dilema, sama ada Nga harus direhatkan daripada berkempen di PRN Negeri Sembilan, lebih-lebih lagi “keterlanjuran Nga” sememangnya ditunggu-tunggu BN dan PN untuk menyerang PH dalam kalangan Melayu.
Cuma, andainya Nga direhatkan, siapa pula yang boleh disandarkan untuk “menghangatkan” suasana ceramah politik, khususnya di peringkat akar umbi komuniti Cina?
Apa pun, Nga sekadar manifestasi kepada persoalan dasar yang lebih mencabar.
Sebagaimana yang dijelaskan di atas, kebanyakan Cina kurang berpuas hati dengan status quo, tetapi bukan semua Cina menganggap jalan penyelesaiannya adalah “perpaduan Cina”.
Pemusatan 95 peratus undi Cina kepada PH sebelum ini berlaku kerana MCA dan Gerakan gagal membuktikan diri mereka pilihan yang lebih baik berbanding DAP, atau BN dan PN gagal meyakinkan Cina bahawa mereka lebih terbuka untuk merangkumi kaum minoriti berbanding PH.
Sungguhpun bukan majoriti, namun tetap ada Cina yang tidak merestui naratif memperbesar-besarkan kesan “gelombang hijau”, semata-mata untuk memomokkan bahawa kiamat menanti seandainya PAS dan Umno menawan Putrajaya.
Sememangnya majoriti Cina mahu mengekalkan identiti etniknya, tetapi ada juga Cina yang menganggap budaya itu dinamik, tidak kaku dan terbuka untuk diadun dalam kerangka masyarakat Malaysia. Sudah tentu ramai Cina yang suka Bak Kut Teh dan Tiger Beer, tetapi pada masa yang sama, mereka tidak bersetuju untuk mempersendakan agama Islam.
Saya kurang pasti sama ada pimpinan Melayu PKR perasan perbezaan antara Cina yang ada dalam partinya, dengan Cina yang ada dalam DAP. Atau sekurang-kurangnya mereka bertanya kepada rakan seperjuangan partinya yang berketurunan Cina, mengapa anda memilih PKR dan bukan DAP ketika memasuki gelanggang politik?
‘Outsource’ pengundi Cina kepada DAP
Sebagai parti yang diasaskan pada tahun 1966, DAP mewarisi legasi 60 tahun, yang boleh juga jadi beban di sebalik kegemilangan. Umpama PAS, DAP juga berdepan dengan tuduhan “berganjak dari prinsip” seandainya cuba menyesuaikan perjuangan parti sejajar dengan peredaran zaman. Mana-mana parti yang bersejarah akan menyaksikan tarik tali antara puak yang mahu mempertahankan prinsip perjuangan asal, dengan puak yang menuntut perubahan dalam parti.
Hakikatnya, Cina yang menyertai PKR, kebanyakannya mendukung satu idealisme di mana kepentingan sesuatu kaum tidak semestinya diwakili pemimpin kaumnya. Pemimpin Melayu juga boleh mempertahankan hak Cina untuk menternak babi, misalnya, selagi tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Pemimpin Cina PKR nampak tuntutan dan keperluan komuniti Cina, tetapi mengambil pendekatan untuk mencari persefahaman bersama komuniti etnik yang lain, agar konflik tidak meruncing lantaran manipulasi politikus demi keuntungan politik peribadi. Malah pendekatan muafakat ini lebih sesuai untuk jangka panjang, kerana keputusan yang tercapai disepakati semua kaum, bukannya dipersepsikan sebagai “ugutan” kaum tertentu.
Malangnya “model politik” yang diidamkan ini tidak menjadi kenyataan, lebih-lebih lagi dalam pakatan politik. Pimpinan tertinggi PKR seolah-olah mengambil jalan singkat untuk “outsource” pengundi Cina kepada DAP. Maka pimpinan DAP menjadi jurucakap masyarakat Cina, dan dipertanggungjawabkan sepenuhnya segala yang ada kaitan dengan Cina.
Pemimpin berketurunan Cina dalam PKR, sebaliknya kurang ditonjolkan. Jikalau sekolah Cina memerlukan peruntukan, maka pintu DAP diketuk. Pengaruh pemimpin Cina PKR kurang menyerlah, lantas jalur politik, juga naratifnya sukar berkembang dalam komuniti Cina. Apabila dijadikan sasaran serangan dalam politik, maka komuniti Cina terpaksa kembali menaruh harapan kepada “penyelamat”, kerana tiada alternatif yang meyakinkan ditawar kepadanya.
Ia berakhir dengan kesenjangan antara etnik dalam sebuah masyarakat majmuk. Barulah kita sedar bahawa jalan yang singkat, rupa-rupanya buntu di depan. Itu pun jikalau sempat sedar.
LIM HONG SIANG ialah bekas wartawan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.