https://critoxium.com/shop/

Terkini

Albert Tei: Wira, kambing hitam atau pelakon politik?


Oleh Amin Ishak

Nama Albert Tei mula dikenali sekitar November 2024 namun bukanlah cara dimahukan mana-mana individu. Video dirakamnya sendiri menunjukkannya membincangkan soal rasuah diberikannya kepada beberapa Adun yang bagaimanapun dianggap sebagai penerima rasuah politik.

Bagi penulis perbuatan itu amat menghairankan. Apakah rancangan Tei sehingga boleh mengakui secara terbuka perbuatan memberi rasuah yang melanggar undang-undang? Tambahan pula, pendedahannya tidak boleh dibanggakan malah menimbulkan persoalan:

“Mengapa mahu beri rasuah jika mahu berniaga dengan betul? Apakah beliau tidak yakin dengan syarikatnya sendiri sehingga sanggup beri rasuah?

Tei mendakwa tindakan itu dibuat kerana tekanan, namun timbul persoalan dia enggan melaporkan lebih awal kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya dicarinya ketika terdesak dan mahu menjadi pemberi maklumat.

Namun, rancangan Tei untuk diberi pengiktirafan sebagai pemberi maklumat ditolak bulat-bulat oleh SPRM.

Sebaliknya, siasatan SPRM membawa kepada pendakwaan ahli perniagaan itu di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Adun – Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin) – bagi mempengaruhi permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah.

Bermula dari situ, Tei cuba menggelarkan dirinya kambing hitam.

“Ikan bilis didakwa, jerung berjalan bebas,” katanya sebaik sahaja dihadapkan ke mahkamah. Tetapi bolehkah pemberi rasuah menggelarkan dirinya sekadar ikan bilis?

Kemudian, ahli perniagaan itu dilihat singgah dari satu platform media sosial ke platform lain untuk menjaja ‘cerita sebenar’ berkait rundingan proses pelesenan mineral di Sabah.

Malah di satu peringkat, Tei yang berasal dari Semenanjung mendakwa dirinya mahu menjadi wira. Kononnya tindakan itu untuk memperbetulkan sistem pentadbiran Sabah. Sebagai anak negeri ini, saya merasakan lebih ramai layak diangkat bukan individu itu. Lagipun, tidak masuk akal bahawa sesuatu boleh diperbetulkan sesuatu dengan perbuatan salah.

Apa pun, cita-citanya Tei diselar Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, yang menegaskan Tei tidak layak digelar tokoh antirasuah kerana kalau bukan pemberi maklumat, wira atau kambing hitam, siapa pula Tei?

Jika sebelum itu hanya berselindung di sebalik temu bual dan hantaran di media sosial, dia berani berhimpun secara terbuka dengan aktivis pro Perikatan Nasional (PN) dan ahli PAS di hadapan Ibu Pejabat SPRM, 14 Nov lalu.

Terbaru, di kehangatan kempen PRN Sabah, Tei juga menunggang isu itu. Kali ini, dia bertemu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan memberitahu pihak mengarahkannya membuat rakaman video terbabit.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang berkongsi gambar Tei dan Mahathir turut menambah perisa cerita.

Memetik ‘sumber boleh dipercayai, Fadhli berkata dia dimaklumkan Tei mengadu kepada Mahathir tentang kumpulan telah mengarahkannya merakam video melibatkan beberapa ahli politik Sabah.

Betulkah Tei itu sebenarnya watak politik?

Mengimbas kronologi dakwaan Tei, tindakannya bermula pada 2023, yang secara kebetulan berlaku ketika kestabilan politik Sabah diuji dengan ‘Langkah Kinabalu’, didakwa dicatur Umno dan Warisan untuk menjatuhkan pentadbiran Hajiji Noor.

Namun ia gagal apabila ada wakil rakyat Umno menolaknya sebaliknya menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor. Pentadbiran itu bertambah kukuh dengan sokongan Pakatan Harapan (PH).

Bermula November tahun lalu, setahun sebelum PRN Sabah, Tei meneruskan momentum serangan kepada pentadbiran GRS-PH dan menimbulkan kritikan walaupun hakikatnya permohonan lesen prospek dibatalkan kerana terlalu banyak.

Setahun kemudian, sesetengah pemerhati melihat langkah Tei bertemu Mahathir menimbulkan pelbagai spekulasi. Adakah semata-mata hendak memastikan tumbangnya Hajiji dan GRS? Siapa pihak berkepentingan mendapat keuntungan politik?

Dalam keadaan itu, persoalan besar masih belum terjawab: Adakah Albert Tei pelakon dalam percaturan politik lebih rumit sedang dimainkan menjelang pilihan raya Sabtu ini?

Soal lain, mengapa Tei bertemu Mahathir?

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.