Shamsul lapor polis dakwaan PM bagi Tei 'lampu hijau' buat rakaman
Bekas pegawai kanan Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei.
Ini katanya susulan dakwaan yang mengaitkan perdana menteri memberi ‘lampu hijau’ untuk merakam secara rahsia beberapa ahli politik Sabah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung skandal perlombongan di negeri itu.
Menurut Shamsul, tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah disifatkan sebagai satu “konspirasi jahat” yang bertujuan mencemarkan imej perdana menteri serta menggugat kestabilan kerajaan melalui cara yang tidak demokratik, lebih-lebih lagi di tengah kempen pilihan raya negeri Sabah.
“Di sela-sela kempen PRU DUN Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
“Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej YAB PM dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihanraya Sabah.
“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri,” katanya pada satu hantaran di media sosialnya.
Shamsul menegaskan laporan polis diambil bagi memastikan dakwaan tanpa asas itu tidak terus menular dan menjejaskan keyakinan awam, terutama ketika suasana politik negeri menjelang hari pengundian.
Sementara itu, ketua PKR Melaka itu turut menyatakan keyakinannya bahawa polis akan segera memulakan siasatan terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya juga sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM,” kata Shamsul lagi.
Kontroversi itu tercetus kelmarin apabila sebuah video rakaman kamera tersembunyi tular, menunjukkan perbualan antara Albert Tei dan seorang wanita yang didakwa proksi Shamsul.
Dalam video tersebut, wanita berkenaan mendakwa Anwar telah memberikan restunya kepada Shamsul untuk membenarkan Tei merakam perbualannya secara rahsia dengan ahli politik Sabah, yang didakwa membincangkan sogokan bagi memperoleh lesen perlombongan.
Kemunculan video itu berlaku hanya beberapa jam selepas pendedahan berasingan yang mendakwa Tei telah membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul.
Tei mendakwa ini selepas dia diyakinkan bahawa bekas pembantu politik perdana menteri itu boleh mendapatkan semula wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Tei turut memberikan Malaysiakini tangkap layar perbualan WhatsApp dari Disember 2023, yang didakwa menunjukkan Shamsul meminta wang semasa melancong ke luar negara.
Shamsul kemudian mengumumkan dia meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar, tidak lama selepas Malaysiakini menghubunginya untuk mendapatkan respons mengenai tuduhan Tei itu.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.