SPRM minta wanita dikaitkan klip video Albert Tei hadir beri keterangan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta seorang wanita yang dikaitkan dalam satu klip video perbualan bersama ahli perniagaan, Albert Tei, yang tersebar di media sosial hadir ke Pejabat SPRM bagi memberi keterangan.
SPRM berkata, kehadiran wanita ini amat penting bagi membantu siasatan kes yang membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
"SPRM kini sedang berusaha mengesan wanita berkenaan dan meminta individu ini dapat hadir ke pejabat SPRM pada 1 Disember ini.
"Selain itu, SPRM juga sudah menghubungi Albert Tei dan meminta individu ini hadir ke Pejabat SPRM pada tarikh yang sama," kata SPRM dalam kenyataan.
SPRM ingin mengingatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh.
Media semalam melaporkan, SPRM akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemberian rasuah ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil Albert Tei serta Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
Semalam, Shamsul Iskandar mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul dalam kenyataan di platform X berkata, terdapat percubaan untuk menyerang dirinya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.