PRN17 cetus gegaran politik sehingga ke Semenanjung
Oleh Oleh M Ariff Asyrul Adnan -
Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) berlangsung di tengah-tengah gelombang politik tidak menentu, bukan sekadar medan perebutan kuasa Negeri di Bawah Bayu. Lebih daripada itu, ia titik seismik yang berupaya mencetuskan gegaran politik signifikan, memancar jauh merentasi Laut China Selatan dan memberi kesan langsung kepada dinamika serta kestabilan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.
Dengan penamaan calon menyaksikan 596 individu bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan calon Bebas paling ramai, ia suatu lonjakan calon drastik berbanding PRN sebelumnya dan Sabah sentiasa hadir dengan kejutan.
Pada masa sama, fenomena ini bukan hanya simbol perayaan demokrasi, bahkan mendedahkan perpecahan dan pemisahan undi yang menjadi ciri khas politik Sabah.
Demikian, PRN Sabah 2025 dilihat bakal menjadi penentu kesepaduan dan keteguhan Kerajaan Perpaduan, ujian komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kayu ukur sejauh mana sentimen rakyat Sabah terhadap isu pembangunan kritikal.
Inti pati utama mengaitkan PRN Sabah dengan politik Semenanjung adalah kedudukannya sebagai ujian praktikal terhadap kesepaduan Kerajaan Perpaduan. Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tunjang Kerajaan Persekutuan bersepakat untuk bekerjasama dalam PRN Sabah sebagai langkah mewujudkan kestabilan politik di negeri itu.
Bagaimanapun, kerjasama pada peringkat negeri ini berdepan cabaran pengagihan kerusi dan pertembungan naratif, terutama di kerusi marginal yang persaingan antara parti komponen sendiri tidak dapat dielakkan.
Berdasarkan simulasi dan unjuran penganalisis politik, pertentangan dan persaingan unggul antara dua parti sinonim dengan pemerintahan Sabah sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Parti Warisan (Warisan).
Namun, senario hung assembly atau tiada parti menang secara dominan dijangka bakal memicu pembentukan kerajaan gabungan pada peringkat negeri. BN-PH pastinya dijangka akan menjadi parti penentu atau king maker memastikan gabungan bakal dibentuk.
Tentu sekali, gabungan di negeri seharusnya memiliki hubungan lunak dengan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan.
Jika kerjasama diberikan kepada BN-PH berjalan lancar yang dalam hal ini GRS lebih memiliki kecenderungan mewujudkan kerjasama sekiranya menang, ia dilihat selari dengan Putrajaya dan bakal mengukuhkan kestabilan Persekutuan dan memberi keyakinan kepada pelabur serta rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sahaja stabil di Parlimen, bahkan di negeri.
Ini boleh meredakan sebarang spekulasi mengenai kegoyahan kerajaan pada peringkat nasional. Ia juga dilihat bakal menjadi langkah kondusif bagi merealisasikan pembangunan Sabah lebih inklusif dengan penyusunan dasar pembangunan terancang. Ini bagi memastikan penyelarasan dasar pembangunan antara negeri dengan Persekutuan berjalan lancar, terutama dalam isu infrastruktur asas dan tuntutan hak Sabah.
Namun, sekiranya berlaku pertembungan sesama sendiri teruk atau blok Warisan dan pembangkang berjaya membentuk kerajaan baharu, ini boleh mencetuskan ketegangan dalaman Kerajaan Perpaduan.
Ia akan memberi alasan kepada pembangkang di Semenanjung mempersoalkan kredibiliti dan kesepaduan gabungan itu, sekali gus meningkatkan suhu politik di Putrajaya, sesuatu yang secara konsisten dilakukan Perikatan Nasional (PN) dalam memberikan tekanan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berlumba tonjol komitmen lunas tuntutan MA63
Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan lagi hanya retorik politik di Sabah, sebaliknya agenda pembangunan utama dan referendum terhadap keikhlasan Putrajaya. Dalam PRN ini, setiap parti, termasuk BN dan PH dari Semenanjung, berlumba-lumba menonjolkan komitmen melunaskan tuntutan MA63.
Tuntutan ikonik seperti pengembalian 40 peratus hasil bersih Sabah, penyerahan autonomi kawal selia gas dan elektrik serta pengurusan isu kesihatan dan pendidikan tempatan, menjadi tumpuan utama rakyat.
Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan menunjukkan komitmen dengan menyelesaikan sebahagian tuntutan ini, termasuk penyerahan kuasa kawal selia Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan penubuhan jawatankuasa khas memperincikan mekanisme pelaksanaan hak 40 peratus hasil negeri.
Bagi penulis, keputusan PRN akan dinilai penduduk Sabah berdasarkan dua perspektif. Pertama, rekod prestasi sejauh mana kerajaan negeri diperintah GRS, Warisan atau gabungan lain benar-benar konsisten dengan keilitizaman politik untuk memperjuangkan MA63.
Kedua, kelebihan Putrajaya memiliki keupayaan parti, jentera lebih besar serta pengaruh Anwar mempunyai perkaitan kuat dengan dominasi BH-PH sebagai Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan dan melicinkan proses memenuhi tu
ntutan MA63. Jika pengundi Sabah memilih parti dilihat mesra kepada Persekutuan, ia akan memberikan faktor pendorong kepada Anwar melaksanakan agenda MA63. Sebaliknya, jika parti tempatan dengan naratif autonomi kuat (seperti Warisan atau GRS) menang secara dominan, ia boleh mengubah nada perbincangan MA63 pada peringkat Persekutuan menjadi lebih berkonfrontasi dan kurang berkompromi, yang mungkin mewujudkan ketegangan antara Kerajaan Negeri dengan Pusat.
PRN17 juga menyaksikan peningkatan mendadak calon, termasuk parti tempatan kecil dan calon Bebas bergabung di bawah gerakan Gelombang Hitam, mencerminkan tahap ketidakpuasan hati terhadap parti politik sedia ada, baik tempatan mahupun Semenanjung. Sentimen Sabah for Sabahan terus dilaungkan secara dominan, parti tempatan berusaha memancing undi dengan monopolis naratif menolak 'dominasi Semenanjung'.
Dalam konteks ini, ia membabitkan soal isu pembangunan pengundi Sabah, terutama orang muda (pengundi 18 tahun ke atas yang kali pertama mengundi), lebih fokus kepada isu realiti hidup seperti kos sara hidup, bekalan air, elektrik terganggu dan pembangunan infrastruktur asas daif, yang sering dikaitkan dengan kegagalan tadbir urus Persekutuan dan negeri terdahulu.
Kedua, dari segi pola pengundian. Pemerhati secara majoriti melihat pengundi Sabah, terutama di DUN yang sifatnya marginal, lebih cenderung memilih berdasarkan faktor calon berkredibiliti dan rekod perkhidmatan, berbanding terikat kepada lambang parti besar.
Budaya politik penaungan masih berakar kuat di Sabah, tentu sekali yang mampu menjadi penaung akan dominan sebagai wakil rakyat di Sabah.
Parti dari Semenanjung (BN dan PH) perlu menguruskan sentimen ini dengan berhati-hati. Pucuk pimpinannya perlu menunjukkan mereka membawa pembangunan dan kestabilan tanpa mengorbankan autonomi negeri.
Sekiranya sentimen anti-Semenanjung diterjemahkan melalui kekalahan BN dan PH, ini berpotensi menambah tekanan politik di Semenanjung untuk merombak strategi kerjasama dan mengurangkan pendedahan kepada politik berasaskan Semenanjung di Borneo.
Justeru, PRN Sabah 2025 adalah cerminan betapa kompleksnya politik Malaysia masa kini. PRN kali ini bukan sahaja penentu kepada tampuk pimpinan di Sabah, tetapi medan tempur ujian kesepaduan politik bagi Kerajaan Perpaduan. Keputusan pilihan raya ini akan menentukan sama ada kerjasama BN-PH mampu diperkukuh di peringkat negeri, sejauh mana komitmen terhadap MA63 dapat dijayakan, dan bagaimana sentimen tempatan akan membentuk landskap politik negara secara keseluruhan.
Penulis adalah Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.