Prinsip ideologi Mamdani ketepikan naratif politik lama AS
Oleh Muhammad Afifi Abdul Razak -
Pada 24 Jun lalu, Zohran Mamdani, seorang sosialis demokratik berusia 33 tahun, memenangi pencalonan Demokrat untuk jawatan Datuk Bandar New York City dengan 56.4 peratus undi dalam pusingan akhir sistem undian memilih bertahap.
Ia menandakan satu titik perubahan penting dalam politik Amerika Syarikat (AS). Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan politik tempatan, tetapi membawa implikasi mendalam terhadap tiga aspek kritikal.
Ia menyentuh soal transformasi politik domestik AS, perubahan dinamik pengaruh Israel dalam sistem politik AS dan kebangkitan komuniti Muslim sebagai kuasa politik semakin berpengaruh.
Mamdani dilahirkan di Uganda kepada ibu bapa berketurunan India Muslim dan berpindah ke AS pada usia tujuh tahun, memasuki pilihan raya sebagai calon kurang dikenali.
Bagaimanapun, kempennya yang menumpukan isu kemampuan hidup di ibu kota New York seperti bas percuma, kedai runcit, penjagaan kanak-kanak percuma dan berkaitan sewa, pantas mendapat momentum dan mengubah persaingan menjadi pertandingan satu lawan satu.
Yang lebih signifikan, beliau berjaya mengalahkan Andrew Cuomo, bekas Gabenor New York yang mendapat sokongan kukuh daripada pendukung Demokrat dan berulang kali menyerang rekod Mamdani mengenai Israel sebagai tumpuan utama kempennya.
Kegagalan serangan ini menunjukkan perubahan mendalam sikap pengundi Demokrat, terutama dalam kalangan generasi muda yang membentuk blok pengundi terbesar pada pilihan raya Datuk Bandar.
Secara lebih luas, kemenangan Mamdani mencerminkan kebangkitan pergerakan progresif mencabar pendukung Demokrat tradisional.
Dalam konteks lebih luas, kemenangan beliau berlaku di tengah-tengah perubahan dramatik sikap AS terhadap Israel. Menurut kajian Pew Research Center pada Mac 2025, terdapat sentimen negatif semakin meningkat terhadap Israel merentasi hampir semua kumpulan umur
Dalam kalangan penyokong Demokrat, 59 peratus menyatakan simpati lebih besar kepada Palestin berbanding hanya 21 peratus memihak Israel.
Mamdani turut mengasaskan cawangan Mahasiswa untuk Keadilan di Palestin di Kolej Bowdoin dan seorang penyokong lantang gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS), berulang kali menggelar operasi ketenteraan Israel di Gaza sebagai 'genosid' dan enggan menaja resolusi di Dewan Negeri memperingati Holocaust.
Paling kontroversi, beliau enggan mengecam frasa globalize the intifada dan mengumumkan akan mengarahkan Jabatan Polis New York (NYPD) menangkap Perdana Menteri Netanyahu berdasarkan waran Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) jika pemimpin itu melawat bandar itu.
Namun, Presiden Donald Trump dan pegawai Republikan menggunakan kemenangan Mamdani untuk cuba menggambarkan seluruh Parti Demokrat sebagai anti-Israel dan ekstremis.
Bahkan Trump melabel Mamdani sebagai 'gila komunis' dan mempersoalkan kewarganegaraannya, manakala Ahli Kongres Andy Ogles merujuknya sebagai little Muhammad sambil menyeru supaya diusir, retorik Islamofobia.
Pada masa sama, kemenangan Mamdani sangat signifikan untuk komuniti Muslim AS kerana beliau antara calon Muslim paling berprofil tinggi memenangi pencalonan utama di bandar terbesar negara itu.
Transformasi politik dramatik
Sejak serangan 11 September 2001, komuniti Muslim AS mengalami transformasi politik dramatik. Sebelum 11 September, orang Islam di sana secara amnya cenderung berpihak kepada Parti Republikan kerana perkongsian nilai sosial konservatif.
Akan tetapi tindak balas terhadap 11 September termasuk Perang Afghanistan dan Iraq, Akta Patriot dan peningkatan ketara dalam pengawasan kerajaan serta diskriminasi masyarakat terhadap orang Islam mendorong sebahagian besar komuniti Muslim AS beralih ke Parti Demokrat.
Walaupun pada masa ini terdapat hanya sekitar 200 pegawai Muslim terpilih di seluruh AS pada 2023, kemenangan Mamdani menunjukkan potensi peningkatan perwakilan politik Muslim signifikan, terutama populasi Muslim AS dijangka berkembang daripada kira-kira 3.45 juta pada 2017 kepada 8.1 juta menjelang 2050 menurut unjuran Pew Research Center.
Selain itu, kemenangan Mamdani menunjukkan potensi pembentukan gabungan lebih luas antara orang Islam di AS dan gerakan progresif.
Beliau menerima sokongan daripada tokoh progresif nasional seperti Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez.
Ini menunjukkan pemimpin progresif melihat orang Islam AS sebagai sekutu semula jadi dalam perjuangan untuk keadilan ekonomi, hak sivil dan tindakan terhadap perubahan iklim.
Konflik Israel-Palestin menjadi isu sangat penting secara peribadi dan politik untuk ramai Muslim AS terutama selepas Perang Israel-Hamas bermula pada Oktober 2023.
Ia mencetuskan gelombang protes besar di seluruh AS terutama di kampus universiti. Kedudukan tegas Zohran mengenai Palestin berkemungkinan besar membantu menyatukan pengundi Muslim dan pengundi progresif lain yang berkongsi pandangan serupa.
Apabila beliau dilantik sebagai Datuk Bandar New York, Mamdani dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda progresifnya iaitu pengangkutan awam percuma, perumahan mampu milik dan perkhidmatan sosial diperluaskan.
Orang ramai menjangkakan beliau akan menghadapi tentangan sengit daripada pihak ahli perniagaan dan Republikan negeri. Kedudukannya mengenai Israel berkemungkinan akan terus menjadi sumber kontroversi, terutama jika beliau cuba melaksanakan dasar seperti larangan kontrak bandar raya itu dengan syarikat terbabit dengan Israel atau memberikan sokongan terbuka untuk resolusi pro-Palestin.
Hubungannya dengan komuniti Yahudi New York yang menguasai sebahagian besar penduduk bandar akan menjadi ujian kritikal kepadanya untuk mengurus perbezaan ideologi sambil mengekalkan gabungan membawanya kepada kemenangan.
Pada masa sama, beliau dijangka menjadi simbol penting untuk generasi baharu pemimpin progresif dan Muslim di seluruh negara. Kejayaan atau kegagalannya berpotensi membentuk hala tuju pergerakan progresif dan perwakilan Muslim dalam politik AS untuk tahun akan datang.
Jika beliau boleh membuktikan model kepemimpinan progresif, pelbagai budaya dan berani secara ideologi dalam politik arus perdana AS, ia akan membuka jalan untuk lebih banyak calon serupa naik di bandar utama lain seperti Detroit, Chicago dan Los Angeles.
Penulis adalah Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.