Sabah 'universiti' sepak terajang politik
Oleh Zulkifli Jalil
Sabah yang diberi julukan Negeri Di Bawah Bayu bukan kaleng-kaleng negeri.
Kisah politiknya penuh warna-warni. Debarannya tak kunjung padam.
Pilihan raya negeri (PRN)-nya sejak dulu lagi tak sunyi dari suluhan media. Penuh kontroversi, polemik dan provokatif - baik sebelum penamaan calon, hari pengundian dan selepasnya.
Demikianlah PRN terbaharu ke-17 ini pun politik Sabah bermula panas dengan tindakan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick meletak jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Ewon mendakwa, tindakannya itu atas prinsip seperti mana dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, andai kata Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan isu 40 peratus hasil Sabah dari 1974 hingga 2022 yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum itu, beliau akan meletak jawatan. Namun, apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju tidak merayu dan mahu memulakan rundingan dengan segera, Ewon berdolak dalik pula. Pening!
Lompat parti
Semua maklum politik Sabah penuh dengan pembabitan karektor-karektor 'luar biasa, sensasi dan kontroversi'. Mengimbas kisah PRN Sabah 1994, waktu itu Parti Bersatu Sabah (PBS) kembali membentuk kerajaan selepas meraih majoriti mudah 25 daripada 48 kerusi DUN. Baki 23 kerusi pula dikuasai BN.
Bagaimanapun, kerajaan PBS hanya bertahan dua minggu selepas sebahagian besar wakil rak- yatnya melompat menyertai Barisan Nasional (BN).
Selepas insiden lompat itu, PBS akhirnya hanya mempunyai tiga wakil rakyat, iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha. Ini sekali gus memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 17 Mac 1994.
Kisah 1994 tak habis di situ. Lebih dua dekad berlalu, drama mega lompat parti itu muncul kembali selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei 2018.
Pecahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masa itu adalah BN (29); Solidariti (2); PKR (2); DAP (6) dan WARISAN (21). Tan Sri Musa Aman (kini Tun) kemudian angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun kedudukannya tidak selamat.
Dua hari selepas Musa angkat sumpah, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN umum keluar parti. Mereka menyertai WARISAN dan bekerjasama dengan DAP serta PKR untuk membentuk kerajaan negeri baharu. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Musa.
Kuasa TYT
Di Sabah, episod politiknya turut libatkan kuasa Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri yang pembabitan peranannya meredakan kemelut politik negeri itu. Yang Dipertua Negeri adalah komponen Dewan Undangan Negeri (DUN). TYT mempunyai kuasa mengadakan perhimpunan atau pembubaran DUN. Persetujuan beliau diperlukan bagi meluluskan DUN.
TYT sebelum Musa, iaitu Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai 2020 tidak membenarkan rombongan Musa yang juga bekas Ketua Menteri untuk bertemu beliau tanpa sebarang penjelasan sah.
Musa sempat angkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018, selepas memperoleh majoriti mudah pada PRU14. Itupun bukan mudah. Musa diberikan jadual majlis angkat sumpah daripada 9 pagi 10 Mei, ke jam 3 petang, sebelum bertukar jam 8 malam n
amun, akhirnya dapat mengangkat sumpah pada jam 11.15 malam. Tetapi beliau hilang majoriti apabila beberapa ADUN daripada partinya (UMNO) serta parti komponen BN, iaitu UPKO lompat parti dan menyatakan sokongan terhadap Parti WARISAN diketuai Mohd Shafie.
Beberapa episod politik di Sabah membabitkan angkat sumpah pemimpin yang menang turut babitkan kuasa TYT selaras perlembagaan yang diperuntuk.
Kawan jadi lawan
Kembali ke 1985, Tun Datu Mustapha Datu Harun dilantik sebagai Ketua Menteri meskipun jumlah kerusinya, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sedikit berbanding bilangan kerusi Pairin menerusi PBS yang menang 25 kerusi daripada 48 dipertandingkan. Walaupun Datu Mustapha angkat sumpah Ketua Menteri, akhirnya terbatal kerana beliau tidak mempunyai sokongan majoriti mudah, selain tidak mengikut perlembagaan negeri yang menggariskan hanya parti mempunyai kerusi terbanyak berhak membentuk kerajaan negeri.
Politik Sabah sentiasa berbahang. Kepada pengamat, peramal, penganalisis dan peminat politik, inilah negeri yang boleh anda jadikan medan uji kaji untuk penyelidikan pelajaran politik.
Pendek kata, 'universiti' sepak terajang politik - di mana bersilih ganti kawan menjadi lawan dan lawan menjadi kawan. Penulis adalah Pengarang Kumpulan Berita Harian





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.