Realiti politik bagi Amanah dan PH
Oleh Zin Mahmud
Pada Isnin lalu, 10 November 2025, Pakatan Harapan (PH) kehilangan satu lagi parti komponennya iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjelang pilihan raya negeri Sabah.
Maka PH tinggal kembali pada tiga komponen mereka iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara. Ketiga-tiga parti ini menubuhkan PH pada tahun 2015 ekoran pembubaran Pakatan Rakyat apabila PAS bertindak keluar. Pada tahun 2017, Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyertai dan mengetuai PH.
Dalam pilihan raya umum tahun 2018, Parti Warisan Sabah turut menjadi sekutu PH walaupun tidak menyertainya. Ekoran PRU itu, PH berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan. Ia juga menubuhkan tujuh kerajaan negeri. Bersatu menjadi menteri besar di Kedah, Perak dan Johor. PKR jadi menteri besar di Selangor dan Negeri Sembilan, DAP jadi ketua menteri di Pulau Pinang dan Amanah di Melaka.
Pada tahun itu juga Warisan dapat jadi ketua menteri Sabah. Upko pula menyertai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dengan presidennya dapat jadi timbalan ketua menteri. Upko juga menyertai PH. Maka keahlian pakatan itu menjadi lima. Ia merupakan satu-satunya parti PH di luar Semenanjung.
Pada tahun 2020, kerajaan PH itu tumbang apabila Bersatu keluar dari pakatan itu. Begitu juga dengan kerajaan negeri di Kedah, Perak, Melaka dan Sabah. Bersatu kehilangan Kedah dan Perak kepada Umno. Begitu juga Amanah kehilangan jawatan ketua menteri Melaka kepada Umno. Warisan yang membawa PRN gagal mempertahankan kerajaannya. Maka Upko terkeluar daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
Sungguhpun begitu, Upko tetap berada dalam PH. Dalam poster rasmi PH, diletakkan keempat-empat logo parti komponen iaitu PKR, DAP, Amanah dan Upko. Dalam PRU tahun 2022, PH dapat menubuhkan kerajaan persekutuan dengan sokongan BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS). Upko memperoleh satu jawatan kabinet persekutuan.
Tetapi menjelang PRN Sabah pada 25 November ini sentimen rakyat negeri itu adalah negatif terhadap “Malaya” dan parti-parti yang ada kaitan dengan Semenanjung. Hampir pasti para pengundi akan menyokong hanya parti-parti yang berasal dan berasas dari Sabah. Dengan itu, BN, PH dan Perikatan Nasional akan ditolak. Secara khusus, pengundi Sabah akan tolak parti Umno, Bersatu, PAS, PKR dan DAP.
Dalam suasana itu, isu bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menetapkan bahawa kerajaan persekutuan mesti memberikan 40 peratus daripada pendapatan negeri yang diperoleh negeri menjadi bahan kempen utama. Mahkamah Tinggi Sabah telah pun memutuskan supaya kerajaan persekutuan mematuhi kehendak perjanjian itu. Prosiding itu difailkan oleh Persatuan Undang-undang Sabah (Sabah Law Society).
Maka tentulah, rakyat Sabah menyokong keputusan mahkamah itu. Dalam pada itu, kerajaan persekutuan boleh membuat rayuan. Tetapi tindakan rayuan ini pasti tidak dapat diterima oleh rakyat Sabah.
Pada Selasa lalu, 11 November, kabinet bermesyuarat untuk membuat keputusan sama ada untuk membuat rayuan itu. Dalam kabinet terdapat menteri-menteri dari Sabah. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah pun mengumumkan pada Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan membuat pembayaran selepas kerajaan baru ditubuhkan.
Berdepan dengan keadaan ini, Upko selaku anggora PH pasti berasa tertekan. Maka, Presiden Upko, Ewon Benedict yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi meletak jawatan pada Sabtu lalu. Keesokannya, Upko mengumumkan keluar dari PH setelah mesyuarat majkis tertinggi mereka
Tetapi menurut kenyataan rasmi mereka, keluarnya Upko dari PH bukan saja mengenai hak 40 peratus pendapatan Sabah tetapi juga dua perkara lain iaitu tuntutan satu pertiga kerusi parlimen bagi Sarawak dan Sabah serta kuasa autonomi bagi Upko dalam PH.
Pada hari Isnin lalu juga, Anwar yang juga merupakan Pengerusi PH dan Presiden PKR berada di Kota Kinabalu telah mengumumkan calon-calon PKR yang akan bertanding. PKR akan bertanding 17 kerusi. DAP sudah pun isytihar akan bertanding lapan kerusi dan Amanah satu.
Melihat rekod, PH tidak mempunyai tempat di Sabah. Dalam PRN lalu, PKR hanya mempunyai dua kerusi, DAP enam kerusi dan Upko hanya ada satu kerisi. Amanah langsung tidak mempunyai sebarang kerusi.
Pada Sabtu dan Ahad lalu, Amanah mengadakan konvensyen tahunannya. Konvensyen ini amat bererti bagi Amanah kerana ia menyambut ulang tahunnya yang ke-10. Oleh kerana Amanah juga yang mengasaskan PH, maka pakatan ini juga berusia 10 tahun. Tetapi PH hanya dapat didaftarkan pada tahun 2018 setelah ia berkuasa.
Jika Amanah tidak ditubuhkan, maka pakatan ini tidak wujud. Apa yang ada ialah pakatan dua parti iaitu PKR-DAP yang akan bertambah sukar untuk mendapat sokongan orang Melayu. Tanpa PAS, PKR-DAP tiada peluang untuk menggugat BN.
Penubuhan Amanah dirintis dengan penyingkiran 18 orang PAS yang gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Jawatankuasa PAS Pusat dalam pemilihan parti semasa Muktamar Tahunan parti itu di Kuala Selangor pada tahun 2015.
Mereka yang dilabel sebagai profesional (bermaksud bukan ulama), Erdogan dan Anwarinas dianggap sebagai penghalang bagi PAS untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Ini kerana sebahagian pemimpin PAS mahu parti itu putus hubungan dengan PKR serta DAP dan sebaliknya bermesra dengan Umno.
Apabila setelah kalah dalam pemilihan, mereka hanya menerima keadaan politik. Bagi menandakan pengakhiran episod perjuangan politik, maka penyokong-penyokong mereka mengadakan satu majlis mengenang budi atau acara perpisahan di Johor. Namun ternyata majlis itu menandakan bukan saja silaturahim dan solidariti di kalangan mereka, tetapi terdapat semangat untuk meneruskan perjuangan dalam wadah baru.
Namun idea untuk menubuhkan sebuah parti politik baru tercetus dalam satu pertemuan kalangan di rumah salah seorang daripada mereka iaitu Kamaruddin Jaafar. Apabila Amanah ditubuhkan, Kamarudin tidak menyertainya, sebaliknya menyertai PKR. Tetapi beliau kemudian mengikut Azmin Ali dan menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton.
Bagi meneruskan kerjasama antara PKR, DAP dan kumpulan bekas PAS itu, sebuah NGO ditubuhkan yang bernama Gerakan Harapan Baru (GHB).
Anuar Tahir diberikan tanggungjawab sebagai setiausaha jawatan kuasa pengasas bagi penubuhan parti baru untuk menguruskannya dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Beliau juga yang pernah menguruskan penubuhan Parti Keadilan Nasional dengan ROS pada tahun 1998.
Pada mulanya nama yang dicadangkan ialah Parti Islam Progresif tetapi ROS menolaknya. Untuk mendaftar parti politik baru amat sukar pada tahun 2015. Adalah lebih mudah menggunakan parti yang sedia ada seperti semasa penubuhan Keadilan.
Maka pada hari pertemuan di sebuah restoran mamak di Bangsar, ada seorang mencadangkan pada Anuar supaya bertanyakan pada Parti Pekerja-pekerja Malaysia. Ternyata parti ini bersedia untuk digunakan bagi penubuhan Ananah.
Sebagai pengganti kepada Pakatan Rakyat, maka ditubuhkan Pakatan Harapan. Nama Pakatan Harapan dicadangkan oleh Lim Kit Siang. Sedangkan nama Pakatan Rakyat diberikan oleh Anwar Ibrahim. Ketika Amanah dan PH ditubuhkan, Anwar di dalam penjara.
Sebenarnya PH tidak ada harapan untuk melawan BN pada tahun 2015. Ananah adalah parti baru dan amat kecil berbanding PAS, lantaran itu, PH juga amat kecil berbanding Pakatan Rakyat.
Tetapi nasib Amanah dan PH adalah baik apabila berlaku perpecahan dalam Umno yang melahirkan Bersatu pada tahun 2016. Di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, Bersatu menyertai PH dan membawa gabungan itu kepada kemenangan dan menubuhkan kerajaan pertama PH pada tahun 2018. Dalam hanya masa tiga tahun, pemimpin-pemimpin Amanah dapat menjadi menteri, sesuatu yang mereka tidak dapat merasai ketika dalam PAS. Oleh itu tidak hairanlah berlaku kejutan kuasa pada parti Amanah.
Namun malang bagi Amanah dan PH, kerajaan Dr Mahathir itu hanya bertahan 22 bulan. PKR berpecah dan Bersatu keluar PH. Maka Amanah dan PH kembali menjadi pembangkang. Cumanya kali ini ada Anwar Ibrahim.
PH hanya mampu menjadi kerajaan dalam PRU tahun 2022 dengan sokongan BN. Amanah dan PH bernasib baik sekali lagi. Adalah jelas bahawa Amanah sukar untuk menang kawasan-kawasannya jika bertanding secara bersendirian.
Satu lagi cabaran pada Amanah ialah penggantian generasi. Pemimpin-pemimpin yang ada kebanyakannya datang dari generasi yang sama dan pernah berjuang dalam PAS sejak tahum 1980-an. Maka pelapisnya tidak besar.
Adalah jelas tonggak PH masih tetap PKR dan DAP. Peranan Amanah yang sepatutnya mampu berdepan dengan PAS di negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung tidak menunjukkan harapan. Kekuatan mereka tetap bergantung pada kawasan-kawasan Pantai Barat bersama dengan PKR dan DAP.
Sementara parti teras PH iaitu PKR juga tidak menampakkan harapan tinggi. Pengganti Anwar Ibrahim juga tidak kelihatan meyakinkan. Buat masa ini adalah sukar untuk melihat Nurul Izzah dapat membawa PKR dan PH mengalahkan Perikatan Nasional dan PAS dalam politik negara akan datang. Apatah lagi untuk memimpin Malaysia.
Apa yang berkekalan hidup ialah idea supaya negara ini berubah untuk keadaan yang lebih baik. Idea yang pernah diperjuangkan oleh generasi tahun 1970-an dan 1980-an baik melalui pergerakan pelajar dan belia, kumpulan Islam serta parti pembangkang waktu itu termasuk Parti Rakyat dan PAS. Begitu juga apabila Reformasi dilancarkan pada tahun 1998. Realiti politik menuntut kompromi dan pengubahsuaian. Tetapi idea perubahan tetap berkekalan.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.