https://critoxium.com/shop/

Terkini

Betulkan Pemikiran Songsang


Antara modal sebahagian pimpinan PAS untuk mengajak masyarakat Islam mendokong perjuangannya ialah melabelkan hanya PAS "jamaah Islam" yang disebut dalam Hadis. Ini dipegang oleh ramai ustaz-ustaz lepasan Jordan dan Mesir kerana disebut dalam usrah dan tamrin.

Ini adalah penyelewengan terhadap maksud Hadis Rasulillah (saw) yang mesti diperbetulkan. Perkara ini telah ditegur oleh ramai tokoh-tokoh ulama gerakan Islam termasuk Sai'id Hawa, Dr Muhammad Abu Faris dan Dr Yusof Qaradawi apabila melibatkan keanggotaan dalam Ikhwan Muslimin. Kata Said Hawa

ولم يخطر لي على بال أن الإسلام منحصر بالإخوان المسلمين، فأكبر شيوخي الذين أعتبرهم الغاية في العلم والمعرفة لم يكونوا منتظمين في الإخوان المسلمين "tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa Islam hanya terhad dengan Ikhwan Muslimin. Tokoh-tokoh besar guruku yang ku anggap sebagai kemuncak pada ilmu dan pengetahuan mereka tidak menganggotai Ikhwan Muslimin"

Dr Yusof Qaradawi sendiri keluar daripada Ikhwan dan sentiasa menegur kesilapan Ikhwan dan mempertahankan apa yang baik dibawa oleh Ikhwan. Syeikh Muhammad Ghazali juga terkeluar daripada Ikhwan Muslimin.

Jamaah Muslimin merujuk kepada seluruh umat Islam yang dipimpin oleh seorang ketua bagi sebuah negara. Dalam konteks Malaysia ia dipimpin oleh YDP Agong. Adapun kumpulan-kumpulan Islam sama ada parti seperti PAS, Amanah, UMNO dan Berjasa atau NGO seperti Abim, Ikram, Isma, Haluan, Tabligh adalah satu kumpulan kecil atau satu jamaah kecil daripada "jamaah Muslimin".

Jangan pula disangka PAS itulah "jamaah muslimin" lalu dilabelkan orang yang keluar daripada PAS sebagai keluar daripada "jamaah Islam". Inilah adalah pemikiran yang sesat dan salah yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Hadis yang mesti dibetulkan walau dianuti oleh pimpinan besar PAS bergelar ulama sekalipun. Dalam usrah-usrah yang saya pimpin ketika di Jordan dulu selalu saya perbetulkan perkara ini.

Dari situ lahir pemikiran melihat orang di luar PAS sebagai kurang Islamnya walau jauh lebih berilmu dan beramal serta lebih bertaqwa berbanding sebahagian pimpinan PAS. Orang di luar PAS dilabel sebagai menentang Islam, tidak memperjuangkan Islam, tidak istiqamah walau sentiasa istiqamah dengan gerak kerja dakwah Islam.

Mereka boleh maki hamun ulama di luar PAS kerana bagi mereka hanya PAS memiliki ulama walaupun tidak sedikit yang dilabel ulama oleh mereka hanya orang biasa yang di"ustaz"kan atau ustaz-ustaz biasa yang tidak tahu bahasa Arab dan tidak boleh membaca kitab-kitab rujukan besar dalam bahasa Arab.

Kesimpulannya, setiap orang Islam boleh menganggotai semua atau mana-mana parti dan pertubuhan yang membawa wadah dakwah dan kebajikan Islam sebagai memenuhi perintah Allah:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ "Hendaklah ada kalangan kamu satu umah yang menyeru kepada kebaikan (Islam), dan menyuruh melakukan yang makruf dan mencegah mungkar". (Surah Ali Imran: 104)

Sekian

Datuk Wira Dr Khairuddin Takiri
25 November 2025

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.