Isu teksi: Biarlah ‘menang-menang’
Oleh USTAZ IDRIS AHMAD
ISU teksi dan Grab
semakin panas. Pemandu teksi merasakan mereka ditipu oleh janji manis PH
sebelum PRU14. Saya sering menggunakan kedua-dua perkhidmatan ini
selain LRT, ETS baik semasa menjadi MP hingga sekarang.
Perbualan saya dengan pemandu teksi dan
pengalaman menerima memo pemandu teksi sewaktu di hadapan bangunan
parlimen dan banyak mendengar rungutan. Isu ini dibangkit di dalam
parlimen supaya suasana menang-menang.
Memang pemandu teksi tertekan dengan
sistem yang ada. Mereka terpaksa membayar sewa antara RM40-RM50. Ertinya
mereka wajib mendapat RM120-RM150 sehari baru mereka mendapat gaji.
Ada
yang saya temui tengah malam masih berada di jalan raya, kerana tidak
dapat lagi untuk membayar sewa. Belum kira kemalangan lagi, semua
ditanggung sendiri.
Saya dimaklumkan syarikat ambil insurans
third party. Ertinya apabila berlaku sesuatu pemandu yang kena
tanggung. Banyak dari kalangan mereka pinjam dengan along untuk baiki
teksi apabila berlaku kemalangan atau teksi rosak. Tidak hairanlah
kepada kita kadang-kadang teksi mereka tidak terurus dan terlalu uzur.
Bukan mereka tidak mahu mencantikkan kenderaan tetapi mereka hendak
pastikan perut mereka dan anak isteri berisi dahulu. Inilah realiti
sebenarnya.
Permit dimiliki oleh syarikat kroni yang
hanya goyang kaki. Kalau RM40 sehari, satu bulan RM1,200. Bayar kepada
bank RM600. Ertinya RM600 bersih untuk sebuah teksi. Kalau syarikat ini
ada 100 buah, sudah dapat mengumpul RM60,000 sebulan. Pemandu teksi
makan air embun dan air mata.
Mereka menuntut supaya peraturan yang
diguna pakai kepada teksi perlu juga dikenakan kepada Grab seperti
insurans, pemeriksaan Puspakom, etika pakaian dan sebagainya.
Hentikanlah pemberian permit kepada syarikat dan berikan permit individu
kepada pemandu. Selesaikan dengan cara yang terbaik. Biarlah suasana
‘menang-menang’. Kedua-dua ini memberi sumbangan dan kemudahan kepada
pengguna.
Naib Presiden PAS
23 November 2018




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.