https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahathir mula akui pentingnya faktor ‘budaya’

Oleh Dinsman

Sudah beberapa kali saya menulis dan berhujah menunjukkan bahawa Tun Dr Mahathir terlalu mementingkan dan mengutamakan faktor ekonomi dan kewangan dalam strategi dan pendekatannya membangun dan memajukan negara dan bangsa, dan beliau mengabaikan dan menafikan peranan budaya dan seni-budaya dalam usaha tersebut.

Dan saya juga telah membincangkan kegagalan formulanya itu berikutan berlakunya kegawatan kewangan pada tahun 1997 dan menunjukkan bukti kepadanya bahawa formulanya itu boleh digagalkan oleh faktor yang di luar kawalannya seperti kegawatan itu. Bacalah buku saya “Gawat: Gagalnya Formula Mahathir” (1998).

Berikutan kembalinya dia ke teraju kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia kali kedua pada 10 Mei, kita melihat betapa cepatnya dia melantik suatu panel penasihat bagi memulihkan negara yang telah dirosakkan oleh kerajaan kleptokrat Najib Razak itu, yang terdiri daripada lima orang tokoh ekonomi, kewangan dan perniagaan; dan tidak ada seorang pun tokoh yang di luar bidang itu.

Dan saya menunggu dan mengikuti langkah-langkah pentadbirannya selama lebih lima bulan dia memimpin usaha pemulihan negara, dan selama tempoh itu saya telah melihat beberapa perkembangan yang menggembirakan kerana terdapat beberapa tokoh kemasyarakatan yang mulai
mengangkat kepentingan faktor budaya dalam usaha membina dan membangun bangsa dan negara.

Dan tiba-tiba pada petang Isnin 22 Oktober apabila Kumpulan Karangkraf dan akhbar Sinar Harian mengadakan wawancara khas dengannya, dalam program Bicara Minda, Dr Mahathir telah menyebutkan perkara yang saya tunggu-tunggu sekian lama itu. Pentingnya budaya dalam usaha membangunkan bangsa.

“Sesuatu bangsa itu dikenali sebagai bangsa itu bukan kerana warna kulit, bahasa ataupun iklim, tetapi kerana budaya. Budaya di sini bermaksud nilai hidup yang dipegang dan diamal. Kalau dia langsung tidak sensitif terhadap ketidakadilan yang berlaku, bangsa itu tidak akan maju. Jadi kita perlu ada nilai-nilai yang mulia, yang kita amal dan kita pertahankan.

“Kalau kita tengok sesuatu itu salah, kita mesti kata ia salah walaupun diri kita terancam sedikit. Ini saya ingat bangsa yang semacam itu, tetap akan berjaya. Soal warna kulit, fizik, semua itu tak menyebabkan kita gagal. Kita sama dengan orang lain.”

Barangkali maksud Dr Mahathir apabila dia menyebut perkataan ‘budaya’ itu tidak sama dengan yang kita maksudkan, atau yang saya dan PAKSI maksudkan apabila kami berkempen untuk “Tekad Budaya” misalnya. Tidak mengapa. Yang pentingnya Dr Mahathir sudah menyebutnya dan mengakui akan pentingnya faktor budaya itu.

Kata Dr Mahathir, “Sesuatu bangsa itu dikenali sebagai bangsa itu bukan kerana warna kulit, bahasa ataupun iklim, tetapi kerana budaya. Budaya di sini bermaksud nilai hidup yang dipegang dan diamal.”

Satu perkara yang jelas bahawa maksud perkataan ‘budaya’ Mahathir itu tidak sama dengan maksud yang difahami kebanyakan kita ialah apabila dia kata: “bukan kerana warna kulit, bahasa ataupun iklim, tetapi kerana budaya.”

Bagi Mahathir ‘bahasa’ itu bukan sebahagian daripada budaya sesuatu bangsa. Nampak tak – mengapa selama ini Mahathir bukan sahaja tidak menunjukkan kecintaannya kepada bahasa Melayu, tetapi dia sangup meminggirkan dan mengetepikan bahasa Melayu, dan dia begitu sekali menyanjung dan mengangkat bahasa Inggeris!

Sebab apa? Sebab bagi Mahathir bahasa itu bukan sebahagian daripada budaya. Sedangkan bagi kebanyakan kita bahasa adalah bahagian terpenting sesuatu budaya, dan kita tidak melihat bahasa itu hanya semata-mata bahasa tetapi ia mengandungi dan menyimpan khazanah nilai, pemikiran, kepercayaan dan adat warisan sesuatu bangsa

Namun apa pun, saya melihat perkara ini dari sudut yang positifnya. Bahawa hampir keseluruhan yang dimaksudkan oleh Mahathir apabila dia menjelaskan maksud kata budayanya itu adalah menepati maksud ‘Tekad Budaya’ oleh PAKSI.

Ertinya apa yang diperjuangkana oleh PAKSI melalui gagasan Tekad Budaya itu tidaklah begitu jauh berbeza dengan kandungan kepimpinan yang dibawa oleh Dr Mahathir.

Tetapi kadang-kadang sesuatu yang nampaknya kecil dan remeh itu apabila dihuraikan dan dilaksanakan ia menjadi besar.

Faktor bahasa yang tidak dianggap Mahathir sebagai bahagian penting suatu budaya itu, misalnya, di sini ia mempunyai implikasi yang sangat besar. Saya akan bincangkan hal ini di kesempatan yang lain, kerana ia memerlukan ruang yang besar.

Apa yang penting hendak saya nyatakan di sini ialah pengakuan Dr Mahathir akan pentingnya faktor ‘budaya’ dalam usaha memajukan sesuatu bangsa, dan bahawa yang dimaksudkan Mahathir dengan budaya itu tidaklah jauh bezanya dengan ‘Tekad Budaya’ yang diperjuangkan oleh PAKSI.

Dengan pengakuan yang dibuat oleh Mahathir itu nampaknya satu perbezaan besar antara Mahathir dengan pejuang-pejuang bahasa dan budaya Melayu kini ialah soal pemahaman maksud istilah ‘budaya’ dan kepentingan bahasa di dalam sesuatu budaya. Itu sahaja.

Maksudnya permasalahan besar dalam hal PPSMI dan DLP dan yang berkaitan itu kini bolehlah difokuskan kepada soal penting atau tidaknya bahasa dalam sesuatu budaya.

Dan kalau Mahathir tidak menganggap bahasa sebagai faktor yang penting, mengapakah dia menganggap bahasa Inggeris itu pula begitu penting sekali untuk memajukan orang Melayu?

Dan selain itu, apabila Mahathir mengakui pentingnya peranan budaya dalam memajukan orang Melayu, apakah yang dibuat oleh beliau selama lima bulan lebih mentadbir Malaysia baharu ini, dalam hal pentingnya peranan budaya yang dimaksudkannya itu? Saya belum nampak apa-apa yang dibuatnya.

Apakah Mahathir juga menolak faktor kesenian atau seni-budaya dalam maksud budayanya itu?
Atau bolehkah kita menganggap bahawa pengakuan Mahathir akan pentingnya ‘budaya’ itu adalah suatu permulaan yang baru dalam strategi pentadbirannya?

Maksudnya kita bolehlah mengharapkan sesuatu yang lebih besar dan bermakna akan dilakukan kepada ‘budaya’ kita tidak lama lagi?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.