https://critoxium.com/shop/

Terkini

Reformasi Parlimen, tugas wakil rakyat

Oleh Mohd Jamizal Zainol

KEMASUKAN semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat membuka lembaran baharu dalam sejarah Parlimen Malaysia. Pertama, peralihan kepemimpinan jelas untuk negara bahawa beliau akan memimpin Malaysia selepas ini sebagai Perdana Menteri ke-8.

Kedua dan yang lebih penting, ialah komitmen beliau untuk melakukan reformasi Parlimen kerana institusi itu sebelum ini hanya dianggap sebagai rubber stamp dan tidak berfungsi sepenuhnya sebagai institusi demokrasi terpenting dalam negara kita.

Bagi memastikan reformasi Parlimen berjaya, ia perlu dibentuk berdasarkan semangat Perlembagaan Persekutuan. Banyak negara yang melakukan perubahan kerajaan tetapi selepas itu gagal melakukan reformasi yang meyakinkan rakyat. Sebagai kerajaan, tugas reformasi ini sudah tentu lebih mencabar dengan era digital yang membuka semua ‘dinding’ di antara ahli politik dan rakyat.
Semak dan imbang


Ahli politik harus jujur bahawa era digital baik untuk demokrasi sebagai elemen semak dan imbang. Setiap gerak langkah kerajaan akan dipantau oleh rakyat. Perkara yang perlu diutamakan terlebih dahulu ialah membersihkan kerajaan daripada rasuah kerana kita dapat menjimatkan berbilion ringgit.

Selepas pembasmian rasuah ialah reformasi Parlimen. Parlimen ialah institusi demokrasi yang paling ampuh untuk mengawal ketamakan ahli politik seperti ungkapan indah daripada Mahatma Gandhi: “Dunia ini cukup untuk keperluan semua orang, tetapi tidak cukup bagi mereka yang tamak.”

Kebanyakan negara di dunia hari ini mengamalkan demokrasi berparlimen. Prasyarat utama ialah demokrasi berparlimen akan lebih berkesan jika kita boleh mengukuhkan fungsinya dan memastikan kita memilih Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan alam yang benar. Tugas utama Ahli Parlimen ialah menggubal undang-undang yang baik dan sebagai elemen semak dan imbang kepada cabang eksekutif.

Salah guna

Selama 60 tahun, Parlimen Malaysia telah berfungsi dengan agak memuaskan sehingga kita sedar bahawa skandal 1MDB telah menggagalkan kita semua. Jentera kerajaan dan Parlimen telah disalahgunakan untuk melindungi pelaku rasuah.

Sebelum ini Ahli Parlimen dinafikan peluang untuk berdebat mengenai skandal 1MDB dengan alasan subjudis. Ada juga Ahli Parlimen yang ‘tersingkir’ kerana bertanya soalan dan hanya kerana menuntut jawapan daripada Kerajaan Pusat.

Semua ini berlaku kerana Ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat terpaksa akur kepada kehendak pemimpin parti mereka. Sesungguhnya, skandal 1MDB telah membuka mata kita bagaimana seluruh sistem demokrasi kita gagal dan rosak.

Salah satu langkah paling awal yang dikemukakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk mewujudkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC).

GIACC diberi kuasa yang luas oleh Perdana Menteri untuk memberi pendedahan mengenai pelbagai aspek yang berhubung dengan rasuah dan langkah pencegahan untuk Ahli Parlimen, ahli politik dan pegawai kerajaan baharu.

Terima hadiah

Baru-baru ini, ahli pentadbiran kerajaan baharu diberi taklimat mengenai pengisytiharan harta, penerimaan hadiah, pengurusan dan pentadbiran peruntukan untuk Ahli Parlimen dan juga kesalahan berkaitan di bawah undang-undang Malaysia.

Satu kajian juga dibuat untuk menubuhkan jawatankuasa khas mengenai pelantikan penting seperti Peguam Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneliti calon yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Ini penting supaya calon yang ditapis oleh jawatankuasa itu mempunyai kebolehan dan berintegriti. Kita juga percaya, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen juga akan diperkukuhkan untuk meneliti perbelanjaan kerajaan.

Bidang kuasa perlu diperluaskan untuk merangkumi semua institusi yang menerima dana awam, termasuk badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan. PAC mesti dibantu oleh pakar dan diberi kuasa untuk mengadakan pendengaran awam. PAC perlu diberi keistimewaan untuk memaksa menteri dan penjawat awam untuk hadir di depan jawatankuasa.

Belum pernah terjadi sebelumnya apabila Pengerusi PAC dilantik daripada parti pembangkang. Ini menunjukkan betapa seriusnya kita untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul.
Saya juga mencadangkan supaya semua laporan audit yang dibentangkan di Parlimen tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Fahami Perlembagaan

Selain daripada reformasi institusi Parlimen, Ahli Parlimen juga perlu celik Perlembagaan. Ini kerana ada yang kurang kefahaman terhadap asas Perlembagaan yang menyebabkan segelintir Ahli Parlimen membuat kenyataan dan menyokong kumpulan tertentu yang menyuarakan pendapat bertentangan dengan Perlembagaan.

Justeru, sistem pendidikan kita perlu menekankan pengajaran Perlembagaan Persekutuan dan memupuk pengetahuan kewarganegaraan dalam konteks Perlembagaan.

Setiap negara mempunyai perlembagaan yang khusus berdasarkan budaya dan faham sosial mereka. Semua keunikan ini perlu dipelajari dan diketengahkan kepada anak muda kita dengan harapan bahawa mereka faham Perlembagaan yang menyatukan setiap warganegara.

Duri dalam daging

Mutakhir ini juga, terdapat perdebatan untuk mengkategorikan rasuah sebagai ‘jenayah serius’ yang mewajarkan tindakan sebat. Pada masa yang sama, ada gerakan pada peringkat antarabangsa untuk memansuhkan hukuman sebat kerana ia dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Penulis berharap kerajaan mengkaji untuk mengenakan hukuman sebat terhadap pesalah rasuah kerana rasuah sudah menjadi duri dalam daging dalam pembangunan negara dan insan.

Mari kita berfikir sejenak sama ada kita berada di landasan yang betul untuk memerangi rasuah. Adakah kita telah mengenal pasti punca dan cara untuk mengatasinya?

Sesungguhnya budaya, kepercayaan dan asuhan kita akan mempengaruhi persepsi kita terhadap rasuah. Ini bermula dengan Ahli Parlimen. Mereka mesti memahami tugas, fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen.

Tugas sebagai Ahli Parlimen adalah khidmat kepada rakyat dan bukan kerjaya untuk mengayakan diri sendiri.

Penulis adalah Pengasas Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Peace)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.