Teksi: Berubah atau tersadai menjadi sejarah buruk
Oleh
ADA
sedikit rasa simpati apabila mendengar rintihan pemandu-pemandu teksi
yang semakin kehilangan pelanggan berikutan kemunculan Grab.
Bagaimanapun rasa simpati ini hanya kepada para pemandu teksi yang jujur
dan ikhlas dalam mencari rezeki. Bukannya kepada pemandu teksi jahat,
berlagak ala samseng, enggan menggunakan meter dan mengenakan tambang
sesuka hati.
Mereka mendakwa perkhidmatan teksi
sudah tidak laku sejak munculnya e-hailing. Mereka sudah tidak boleh
mencari makan lagi sejak Grab mula berlegar di jalan raya beberapa tahun
lalu. Memang betul orang ramai sudah tidak berminat dengan teksi.
Perkhidmatan itu dipandang dengan penuh negatif. Terlalu banyak cerita
buruk menyelubungi perkhidmatan ini walaupun masih terdapat dalam
kalangan mereka pemandu yang baik, berdedikasi, suka membantu dan jujur
dalam mencari rezeki.
Pemandu teksi (walaupun bukan semua) pada mata
pelanggan adalah orang yang tidak jujur, cekik darah dan samseng.
Persepsi ini menyebabkan para pemandu teksi yang baik dan berkhidmat
dengan jujur turut terkena tempias tidak elok ini. Oleh kerana terlalu
banyak cerita dan insiden tidak enak berlaku ke atas pelanggan, pada
satu tahap dianggap meloyakan.
Rakyat
Malaysia khususnya yang tinggal di ibu kota dan bandar-bandar besar
sudah tidak boleh bertolak ansur lagi dengan sikap buruk segelintir
pemandu teksi yang enggan menggunakan meter, mengenakan tambang yang
tidak masuk akal, berlagak samseng dan memilih pelanggan. Ini belum
diambil kira lagi keadaan teksi itu sendiri yang uzur, kotor dan tidak
terurus. Perkara ini menjadikan orang ramai ‘benci’ kepada perkhidmatan
teksi.
Apabila perkhidmatan e-hailing
seperti Grab, Uber dan beberapa lagi muncul di Malaysia, orang ramai
yang menjadikan teksi sebagai pengangkutan harian merasa sangat lega.
Mereka sudah ada pilihan lebih baik. Mereka tidak perlu lagi berhadapan
dengan perangai buruk pemandu teksi.
Dengan
aplikasi elektronik mudah hanya di hujung jari dan tambang yang jauh
berpatutan, orang ramai sudah semakin selesa dengan teksi e-hailing.
Tidak ada lagi sesi tawar menawar harga, berhenti tetapi enggan
mengambil penumpang serta disembelih dari segi tambang!
Percayalah
orang ramai terutama golongan muda tidak akan memilih lagi teksi
sebagai pengangkutan awam mereka sampai bila-bila. Teksi akan menjadi
bahan sejarah buruk dalam sistem pengangkutan awam negara. Warga kota
akan lebih mengenang budi kehebatan bas mini sebagai medium pengangkutan
yang lagi banyak berjasa berbanding teksi.
Para
pemandu teksi yang tergolong di dalam kumpulan tersebut perlu menerima
hakikat ini dan kena berubah. Sebahagiannya sudah sedar dan beralih
menjadi pemandu teksi e-hailing. Lebih menarik sikap buruk sebahagian
pemandu teksi hilang apabila menyertai e-hailing.
Kemunculan
perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber ini adalah satu fenomena
global. Pemandu-pemandu teksi tradisional di seluruh dunia juga
berhadapan dengan masalah yang sama seperti di Malaysia. Bagi menangani
perkembangan tersebut banyak syarikat teksi mengambil keputusan menyahut
perubahan ini. Mereka membuat pelaburan dalam sektor ini.
Syarikat-syarikat
teksi tempatan sepatutnya juga tidak terkecuali menyertai perubahan di
seluruh dunia ini. Model perniagaan yang diperkenalkan oleh e-hailing
juga berdaya maju dan menguntungkan para pemandunya. Syarikat-syarikat
teksi dan para pemandu perlu bersedia untuk bersaing dengan sihat dan
bukan berterusan menyalahkan perkhidmatan e-hailing.
Tindakan
tidak habis-habis menyalahkan pihak berkuasa atau kerajaan juga tidak
wajar. Mengugut untuk mengadakan demonstrasi bagi melumpuhkan
perkhidmatan itu juga bukan jalan penyelesaian malah dilihat tidak ke
manapun. Ketika ramai dalam kalangan pemandu teksi sudah menjadi pemandu
Grab, perbuatan itu adalah tindakan sia-sia.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.