40 MP Umno lompat parti gugat peralihan kuasa?
Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Gosip 40 ahli Parlimen Umno mungkin sertai Pakatan Harapan melalui Bersatu langsung tidak mengejutkan saya.
Khabar ini tidak boleh diremehkan memandangkan sumbernya adalah wartawan veteran yang ulung dan rapat dengan serambi kuasa.
Namun, yang lebih memeranjatkan, selepas hampir enam bulan Umno-BN bercerai-tanggal dengan kuasa, hanya tujuh daripada 54 keluar parti. Masih ramai yang bertahan, atau sedang membuat perkiraan langkah politik seterusnya.
Saya menjangka lebih ramai wakil rakyat Umno akan mencari tempat bergantung yang lebih selamat dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
Apabila bekas presiden, Najib Razak diheret ke mahkamah, ia dianggap perkara biasa, tetapi selepas penggantinya, Zahid Hamidi juga menghadapi tuduhan korupsi yang serius, membabitkan RM114 juta, sudah dapat diduga masa depan Umno.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula membayangkan lebih ramai bekas pemimpin regim lama menunggu senarai untuk ditangkap sebaik kes “jerung-jerung besar” diuruskan terlebih dahulu.
Siapa makan cili, tentu terasa pedas menggigit, terutama di musim panas ini. Sejak lama, terutama dalam dasawarsa terakhir, amalan korupsi dan salahguna kuasa dilakukan secara berjamaah, dari lapisan paling atas merebak ke peringkat akar umbi.
Apakah mengisytihar keluar Umno dan mohon sertai mana-mana komponen PH merupakan jalan keluar untuk mengelak daripada tersenarai untuk diheret ke muka pengadilan?
Mengenali profil kebanyakan wakil rakyat Umno, adalah tidak sukar untuk diduga pilihan terhad yang ada kepada mereka. Daya tahan terutama meredah tempoh sukar ini amat nipis sekali.
Keadaannya lebih serius dan keliru daripada anak-anak ayam kehilangan ibu. Diburukkan lagi dengan kualiti kepimpinan Zahid yang bukan saja tidak stabil, tetapi jauh daripada meyakinkan.
Lihat ketika dia mempermainkan isu keturunan Mahathir sewaktu majlis perasmian Umno bahagian dan reaksinya kepada pertanyaan media ekoran desakan Pemuda agar bercuti sementara kes korupsinya berjalan.
Pembabitan isteri Zahid, anak perempuan dan juga cucu kecilnya (secara tidak sengaja), untuk membersihkan nama ketua pembangkang itu seperti langsung tidak dipedulikan orang ramai.
Menjadi lebih lucu apabila kes Zahid mahu disamakan dengan insiden yang pernah menimpa Anwar Ibrahim, 20 tahun lalu. Tidak dapat dipastikan sejauh mana sambutan jelajah Zahid ke seluruh negara bagi membersihkan imejnya yang terpalit teruk itu.
Bukan susah pun untuk menafikan bahawa dakwaan terhadap Zahid bermotif politik atau berunsur balas dendam. Label yang dilafazkan Mahathir semasa kempen pilihan raya lalu, “pencuri, penyangak dan perompak”, bukan hanya melekat kepada batang tubuh Najib, tetapi juga menteri-menteri tertentu – malah pegawai kanan kerajaan termasuk Zahid.
Zahid yang menang agak mudah dalam pemilihan parti juga gagal menggariskan haluan dan gagasan besar Umno berdepan masa sukar ini.
BN terbarai luluh, berbaki tiga daripada asal 13 parti; MCA komponen utama dan yang masih nyawa-nyawa ikan pun berani mengugut. Umno sendiri retak seribu menanti belah. Zahid menunggu untuk direhatkan.
Dalam situasi caca-marba tersebut, pastinya Bersatu, antara parti terkecil dalam PH, akan memanfaatkannya untuk survival masa depan. Dari segi jatidiri, Bersatu juga dilihat paling dekat dan mirip dengan Umno. Dalam PRU14, dipercayai ia mampu menarik ramai penyokong Umno untuk mengundi PH.
Meskipun hanya mempunyai 13 kerusi Parlimen (ditambah satu lagi oleh Mustapha Mohamad, Jeli), lebih dua berbanding AMANAH, namun Bersatu memiliki jawatan perdana menteri. Dan faktor aura Mahathir, yang diakui penentu utama kemenangan PH, ada padanya.
Bagaimanapun, Mahathir sering membangkitkan, antara cabaran terbesar dihadapinya berbanding era pertama sebagai perdana menteri dahulu adalah, beliau tidak mengetuai parti yang besar dalam PH, bukan seperti Umno dalam BN.
Justeru segalanya harus dibincangkan secara mendalam dan teliti, terdedah kepada bantahan dan rombakan sebelum sebelum mencapai kata muafakat.
Tiada abang besar dalam PH yang mesti diaminkan semua titah perintahnya. Sebenarnya ini suatu tradisi yang sihat matang, apabila sebarang idea atau proposal hanya diterima berasaskan hujah, fakta dan arugumen, bukannya kerana majoriti yang menentukan
Dan di sinilah letak kekuatan dan keistimewaan PH, tambahan pula keempat-empat komponen dilayan secara “equal partner”. Mahathir juga selalu mengulangi, hakikat kemenangan tidak terduga PH difaktorkan oleh gelombang kebangkitan rakyat, bukan berpunca daripada kekuatan mana-mana parti.
Semeptara itu, politik sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada spekulasi, persepsi, gosip dan unjuran masa depan. Pertama, persoalan proses peralihan kuasa perdana menteri. Kedua, persaingan sesama sendiri untuk muncul sebagai parti terkuat dalam PH.
Muafakat telah termeterai dalam Konvensyen PH, Januari 2018. Anwar pengganti Mahathir sebagai PM ke-8. Cuma faktor masa yang sering diperdebatkan. Ramai menerima tempoh yang dipersetujui adalah selepas dua tahun. Ada pula yang mengharapkan khidmat Mahathir sehingga tamat satu penggal. Majlis Presiden PH diharap dapat memutuskannya dengan baik agar proses transisi ini licin dan lancar.
Sebenarnya kedudukan Majlis Presiden dapat menggambarkan prinsip parti menguasai kerajaan, bukan sebaliknya. Meskipun ia nampak jauh lebih baik daripada fungsi majlis sama dalam kerajaan BN dahulu, namun Majlis Presiden PH masih banyak ruang untuk diperbaiki. Tidak semua isu dan masalah dapat-sesuai dibangkitkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet.
Timbul pertikaian tentang pendirian rasmi gabungan itu terhadap permohonan pimpinan atau wakil rakyat Umno untuk menyertai mana-mana parti PH. Apakah ia tidak dilayan atau perlu menyaringnya berdasarkan kriteria tertentu?
Kes bekas menteri kanan, Mustapha Mohamad pastinya menjadi rujukan. Isytihar keluar Umno, jadi MP Bebas, dan sebulan kemudian diterima masuk Bersatu. Apakah proses yang sama terpakai untuk MP yang lain? Bagaimana dengan mekanisme untuk sertai Warisan di Sabah, juga parti dalam kerajaan PH?
Tidak ramai yang mempersoal integriti Tok Pa, tetapi bagaimana sosok 40 MP Umno yang dikhabarkan mahu lompat parti itu?
Mahathir pernah mengakui rakyat pasti tidak senang jika pimpinan Umno secara beramai-ramai menyeberang dan ini boleh mempengaruhi dasar serta persepsi terhadap kerajaan baharu.
PH akan dilihat bagaikan BN 2.0, yang menampung ramai opurtunis dan “pahlawan kesiangan”. Majoriti pengundi bukan sahaja menolak Najib tetapi sepakat menumbangkan regim lama kleptokrat dan korup.
Tanggapan awam menjadi lebih buruk apabila mereka merasakan ahli Parlimen Umno berkenaan mungkin terbabit dalam jenayah rasuah dan amalan salahguna kuasa.
Rakyat mahukan iklim juga realiti politik yang lebih segar, telus, adil, bebas dan berteraskan pembaharuan serta reformasi. Rakyat mungkin boleh bersabar dengan janji manifesto yang belum tertunai, namun amarah mereka sukar dilunakkan jika idea-idea asas kenegaraan yang baik tidak dihiraukan pemerintah.
Majlis Presiden PH harus mengambil ketetapan segera bagi membendung keresahan yang mula menjalar ini, terutama dalam konteks proses peralihan kuasa. Usah semarakkan lagi sentimen curiga-mencurigai atau syak-wasangka sesama sekutu. Orang politik selalu meneropong dengan lensa kepentingan masing-masing.
Memang kita perlukan kerajaan yang kuat dan mantap, sekali gus meraih majoriti dua pertiga untuk memudahkan pindaan Perlembagaan bagi menyempurnakan proses reformasi struktural, namun ada sensitiviti yang mesti diuruskan dengan bijaksana.
Ada proses pembaharuan yang perlu menunggu masa sesuai untuk dilaksanakan. Mungkin sahaja terpaksa menunggu sehingga bermula penggal kedua nanti. Ya, tidak semua janji dapat dibereskan dalam 100 hari, malah lima tahun sekalipun.
Semuanya harus dicermati, sementara kita meraikan kebebasan dan hak asasi memilih parti. Dinamika politik tidak melupakan kita dengan nilai moral dan etika yang memandu.
Dihujah bagaimana sekalipun, orang politik tetap mahu mengaitkan keributan lompat parti ini dengan perkembangan dalaman PH. Memang situasi antara parti ini satu eksperimen baharu yang menuntut sikap bertoleransi, berlapang dada dan hormat-menghormati yang tinggi.
Mungkin cadangan agar segera melantik Anwar sebagai TPM kepada Mahathir boleh dianggap pilihan yang meredakan. Terlalu ghairah dengan sifir dan teka-teki politik tentulah memenatkan serta tidak produktif. Apa lagi jika ia dapat mempengaruhi persepsi awam tentang terbantutnya agenda reformasi.
Ingat, rakyat mahu Malaysia yang baharu, bukan Malaysia lama yang sudah dilipat sejarah. Mereka bangkit melalui Revolusi Tanpa-Darah yang bersejarah, usah sia-siakan!

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.