https://critoxium.com/shop/

Terkini

Belanjawan merawat ekonomi negara

Oleh A Kadir Jasin

TIDAK kira sebaik atau seburuk mana pun kesan Belanjawan 2019 ke atas setiap orang daripada kita, suatu hal  perlu diakui ialah ia tetap istimewa dan bersejarah.

Inilah belanjawan kerajaan Pusat yang pertama sejak kita merdeka selama 61 tahun yang tidak disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia dibentangkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) dalam suasana ekonomi negara dan dunia yang sangat mencabar.

Dalam negara kita berdepan dengan kewangan kerajaan yang sangat terbeban yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokrasi Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Di persada dunia pula ekonomi dan perdagangan menjadi semakin tidak menentu akibat perang dagang China-Amerika Syarikat.

BN tinggalkan kepada kita sebuah kerajaan yang dibebani hutang kronik. Seperti diulang sebut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam ucapan belanjawannya, beban hutang kerajaan pada penghujung Jun 2018 berjumlah RM1.065 trilion iaitu RM350 bilion lebih tinggi daripada dinyatakan oleh kerajaan lama.

Jumlah itu kalau ditulis sepenuhnya jadi macam ini - RM1,065,000,000,000 atau RM33,281.25 bagi setiap penduduk Malaysia.

Tidak syak lagi, Belanjawan 2019 yang berslogankan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” akan menjadi ujian besar kepada kerajaan PH khususnya dan rakyat jelata amnya.
Tidak kira sama ada kita memilih PH atau tidak dalam PRU 9 Mei lalu, belanjawan sulung PH ini akan memberi kesan kepada kita semua.

Seperti mana-mana juga peraturan kewangan yang merangkumi peruntukan dan perbelanjaan tentulah ada orang atau pihak dikenakan cukai dan ada yang dikecualikan tetapi semua orang akan merasa faedahnya sama ada kecil atau besar.

Elok disebutkan di sini bahawa cukai menjadi semakin sejagat sebagai kaedah pembiayaan dan pembahagian kekayaan. Hatta negara yang kaya dengan hasil minyak dan pada masa lampau tidak mengenakan cukai ke atas rakyat jelata seperti Arab Saudi pun, telah mula memungut cukai. Cukai pendapatan diperkenalkan di negara itu Jun tahun lalu.

Salah satu ciri penting Belanjawan 2019 ialah menyasarkan bantuan kewangan dan pembahagian kekayaan secara lebih terperinci agar tidak berlaku ketidakadilan dan pembaziran.

Beban hutang yang berat mengehadkan kemampuan kerajaan berbelanja dengan lebih besar. Namun, seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media selepas pembentangan, kerajaan tetap membelanjakan secukupnya bagi menjana ekonomi dan membantu rakyat jelata.

Dalam kaitan inilah kita melihat kerajaan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tetapi dengan nama baharu iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH) yang ditujukan kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terkebawah (B40). Kaedah kiraan diperbaiki dan diperkemas supaya lebih adil sambil memastikan hanya yang berhak sahaja menikmatinya.

Kalau dulu kadar tertinggi BR1M adalah RM1,200 setahun, di bawah BSH kadar maksimum naik sehingga RM1,480 bergantung kepada saiz keluarga dan umur anak-anak.

Setiap isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah diberikan RM1,000 campur RM120 bagi setiap orang anak berusia 18 tahun ke bawah sehingga maksimum empat orang. Ini bermakna tambahan sebanyak RM480 menjadikan jumlah besar RM1,480.

Isi rumah berpendapatan sehingga RM3,000 akan menerima RM750 manakala yang berpendapatan hingga RM4,000 akan menerima RM500. Sebanyak RM5 bilion akan diagihkan tahun hadapan untuk tujuan ini.

Selain bantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah, jumlah yang besar ini akan beri kesan positif kepada ekonomi apabila dibelanjakan atau dilabur.

Walaupun saya sendiri akan memikul beban lebih berat akibat pelaksanaan subsidi petrol bersasar, namun saya menyokong langkah itu kerana ia lebih saksama.

Untuk sekian lama saya membantah sistem sedia ada kerana memberi bantuan jauh lebih besar kepada pemilik kenderaan berkuasa tinggi berbanding rakyat biasa.

Selepas ini hanya pemilik kereta berenjin 1,500cc ke bawah dan motosikal 125cc ke bawah akan diberikan subsidi RON95 sehingga 100 liter untuk kereta dan 40 liter untuk motosikal. Setiap penerima akan dihadkan kepada sebuah kenderaan milik sendiri sahaja.

Begitu juga dengan subsidi elektrik. Sekarang ini isi rumah yang menggunakan elektrik sebanyak RM20 atau kurang sebulan dikecualikan daripada tarif. Dengan menjadikan skim ini lebih tersasar, jumlahnya naik kepada RM40 sebulan.

Serentak itu penjanaan akan dirasionalisasikan bagi meringankan beban Tenaga Nasional Berhad dan mengurangkan ancaman kenaikan tarif. Alhamdulillah kerajaan telah mengambil keputusan membatalkan pelaksanaan beberapa projek penjana elektrik bebas (IPP) yang belum dimulakan pembinaannya.

TNB kini menanggung beban bekalan berlebihan yang jauh mengatasi tahap keselamatan bekalan akibat pemberian lesen IPP yang tidak rasional di bawah kerajaan lama. TNB membayar jumlah yang besar untuk tenaga yang tidak diperlukan.

Selain bantuan terus dalam bentuk subsidi tersasar, Belanjawan 2019 juga memberikan perhatian terperinci kepada penjanaan ekonomi di peringkat makro dan mikro.

Saya menyokong dasar mengutamakan pembahagian peluang ekonomi dan kekayaan negara secara yang lebih menyeluruh. Pada pendapat saya, cara terbaik dan terpantas adalah dengan memulihkan pasaran pekerjaan.

Dengan begitu ramai lulusan institusi pengajian tinggi kini menganggur atau melakukan kerja sementara yang tidak setanding dengan kelulusan, saya menyokong penuh program perantisan dan program menambah baik kemahiran graduan supaya mereka lebih mudah mendapat kerja.

Kesimpulannya, Belanjawan 2019 bukanlah untuk menabur wang ala “cash is king” (duit itu raja) sebaliknya bertujuan menjadi pemula kepada usaha tegas menyelamatkan kewangan kerajaan, melestarikan ekonomi negara dan menyejahterakan hidup rakyat jelata. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.