Deretan kereta dan bas yang diletakkan di sisi jalan menuju ke pekan
Kampung Gajah sudah cukup untuk menimbulkan serentak rasa ghairah,
semangat dan gelabah.
Ghairah dan semangat kerana hanya kurang
dari 5km dari situ khabarnya terletak lokasi bersejarah pegawai Inggeris
JWW Birch mati dibunuh oleh Si Putum.
Justeru tentulah ada
semangat keperwiraan Melayu - walaupun ada pihak berpendapat Si Putum
itu bukanlah Melayu - sedang bergentayangan di pekan Kampung Gajah pada
malam tadi.
Gelabah pula ialah, kalau Tuan Guru Presiden PAS yang
termasyhur itu tidak menghadirkan diri di program bersejarah di tempat
Si Putum dan Dato' Maharaja Lela berdarah Bugis itu melakar sejarah.
Maklumlah,
tuan guru itu sibuk benar dengan jadualnya di dalam atau luar negara.
Dan menjadi hak prerogatif untuk beliau hadir atau tidak ke mana-mana
acara, waima Dewan Rakyat sekali pun.
Namun hanya beberapa detik
rasa gelisah itu bertandang. Kemudian kelegaanlah yang mendatangi
puluhan ribu manusia yang melaut di kawasan lapang di bandar kecil
terletak kira-kira 30 minit dari Teluk Intan itu.
Tuan guru kesayangan ramai itu hadir jua.
Laungan semangat bergema
Dan
malam tidak beranjak sedikit demi sedikit - di pekan Kampung Gajah -
tanpa bakaran semangat oleh pengacara dan penceramah yang semuanya
istimewa belaka.
Semuanya mengajak ahli dan pengikut parti
masing-masing supaya berpadu demi ummah. Sesuailah dengan judul program
itu - Himpunan Perpaduan Ummah.
Pengacara juga tidak kurang
hebatnya. Beliaulah yang mengepalai laungan keramat pada malam tadi:
Hidup Melayu! Hancur Icerd! Daulat Tuanku.
Nampak benar semangat
kemelayuan orang kuat PAS yang bernama Khalil Idham Lim Abdullah itu.
Atau nama kelahirannya Lim Chuan Hing.
Beliau ialah Adun bagi kawasan Titi Serong pada penggal 2008.
Kemarahan
mula benar-benar terasa apabila Ketua Perhubungan Umno Perak Saarani
Mohamad mengambil tempat berceramah. Lain macam benar ucapan Adun Kota
Tampan itu.
Namun memang sukarlah untuk melawan semangat dan kehebatan Pesuruhjaya PAS Perak yang berdiri kemudian daripada Saarani.
Entah
berapa kali bulu roma orang ramai berdiri. Penulis sendiri beberapa
kali terpaksa mencari tempat yang agak lapang sedikit daripada orang
ramai.
Dari Bagan ke Pasir Salak
Secara semula jadi penulis memang mengalami masalah perut memulas kalau terlalu bersemangat.
Gaya
badan, laras bahasa dan isi-isi yang diucapkan Razman Zakaria memang
penuh bertenaga.
Ketika itulah rasanya ramai orang tersedar bahawa
pejuang bangsa seperti Lokman Noor Adam dan Razlan Rafii tidak lagi
keseorangan selepas redanya aksi Jamal Md Yunos.
Bulan di langit berbalam-balam di langit menjadi saksi.
Kemuncak
pertama Himpunan Perpaduan Ummah malam tadi ialah ucapan Presiden Umno
Dr Ahmad Zahid Hamidi. Garangnya tetap ketara. Maklumlah, orang hebat
dari Bagan Datuk datang pula ke Pasir Salak.
Wajah beliau
kelihatan cukup bersih dan berseri. Kata-katanya tersusun rapi.
Kupasannya bagaikan pisau belati yang menghiris terus ke tulang sumsum.
Melihat
perawakan bekas timbalan perdana menteri itu terlalu sukar untuk
percaya beliau boleh terlibat dalam rasuah atau penyelewengan.
Rasanya
tidak mungkin untuk beliau tergamak menyelewengkan dana atau amanah
yang sedikit, namun biarlah mahkamah yang menentukan benar salahnya 45
tuduhan yang dikenakan kepada beliau.
Namun kata-kata Ahmad Zahid
paling istimewa ialah apabila beliau menegaskan Umno di bawah
kepemimpinannya bukan lagi seperti Umno dulu yang sudah membuat silap.
"Insya-Allah, Umno di bawah kepimpinan saya, kita bercantumlah," katanya sambil memusingkan badannya ke arah pentas bagi menatap wajah tuan guru presiden PAS.
Kata orang tua-tua
Puluhan ribu orang yang datang tentu rasa berdebar-debar dengan kata-kata itu.
Namun
ia tidak disambut secara langsung oleh Abdul Hadi Awang yang berucap
selepasnya. Presiden PAS langsung tidak menyentuh isu bercantum.
Sebaliknya beliau bercakap tentang ketuanan Melayu, kepentingan Islam
dan amaran supaya jangan ada mana-mana pihak membuat onar.
Tetapi
bertenanglah. Presiden PAS itu amat tinggi ilmu mantiknya. Apabila
beliau tidak menyambut seruan "bercantum" Ahmad Zahid, ada dua
kemungkinan saja.
Pertama, beliau memberi reaksi berlapis. Anda
tentu perlukan kemahiran mantik yang tinggi untuk mentafsirkan kata-kata
seorang ahli politik yang selincah Abdul Hadi.
Kedua, adat budaya yang dijunjung sekian lama memang begitu. Bersopan dalam setuju.
Hodoh
benarlah kalau anak dara terkinja-kinja menyambut lamaran si jejaka.
Jawapan yang terbaik ialah melalui bahasa badan, iaitu berdiam diri.
Diam, kata orang tua-tua, tandanya setuju.
Kedatangan
orang yang diumumkan pengendali majlis malam tadi ialah kira-kira
50,000. Dengan jumlah sebegitu entah berapa puluh ribu kutipan derma
jihad yang terkumpul.
Sepatutnya penganjur boleh mendapat lebih
RM500,000 kerana tidak logik untuk hadirin menghulurkan hanya sekeping
RM1 untuk dana jihad mereka.
Tambahan pula melihat kepada orang
yang ada di pentas utama, tidak mungkin mereka tidak menyumbang. Dan
tidak diterima akal jika mereka cuma menghulur RM10 seorang.
Siapa boleh lupa kepada Tajuddin yang pernah digelar Six Million Dollar Man itu beberapa dekad lalu?
Menjelang
tengah malam acara pun berakhir. Bulan di langit tidak penuh. Hanya
lebih sedikit daripada separuh. Namun ia masih samar-samar.
Diyakini
ia bukanlah dilindungi awan atau jerebu, tapi lapisan asap daripada
bara semangat puluhan ribu orang yang datang dari seluruh pelusuk negara
itulah yag menjadi punca.
Himpunan Perpaduan Ummah demi menolak
Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi
Kaum (Icerd) malam tadi sangat berjaya.
Suka atau tidak, PAS sudah
menang. Dan memang PAS sentiasa menang, cuma belum diisytiharkan.
Kemenangan PAS ialah kemenangan yang ditangguhkan.
Umno juga menang. Tajuddin Abdul Rahman menang.
Yang kalah cuma sesiapa yang tidak percaya bahawa PAS dan Umno menang.
Berasap di Pasir Salak
Reviewed by editorreformis
on
November 19, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
BAGAN DATUK - BN mengesahkan tidak akan ada pembatalan watikah pelantikan calon-calon parti berkenaan di semua kerusi parlimen dan Dun...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.