https://critoxium.com/shop/

Terkini

Laksana segera perintah berkurung remaja

Oleh

CADANGAN mewujudkan akta perintah berkurung remaja di Malaysia amat dialu-alukan. Sudah tentu ramai ibu bapa dan semua pihak menyokong dan mahukan pelaksanaan perintah berkurung khas untuk remaja pada waktu lewat malam.

Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak remaja risau dengan pelbagai gejala yang melingkari kehidupan mereka. Malah remaja yang lewat pulang awal pagi semakin menjadi trend kerana melepak bersama kawan atau dengan alasan menonton bola bersama di restoran.

Maka cadangan ini dapat menyelesaikan isu melepak, merayau dan penglibatan remaja dalam aktiviti tidak bermoral serta jenayah yang sering berlaku pada lewat malam atau membawa ke awal pagi.

Soal peraturan akta atau apa juga namanya boleh diperhalusi. Persoalan teknikal umur berapa, hingga pukul berapa boleh ditentukan kelak. Perkara yang baik seperti ini jangan dilewatkan. Jangan terlalu berpolemik atau berpolitik. Kebaikan pelaksanaannya akan dapat dinikmati bersama.

Cadangan pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam diusulkan di Kelantan bagi mengatasi masalah gejala sosial membabitkan golongan itu. Cadangan tersebut sangat baik kerana ia bukan sahaja dapat mengatasi gejala sosial malah untuk keselamatan dan perkembangan diri dan psikologi remaja.

Ini kerana kita sering disogokkan dengan laporan berita remaja merempit, pergaulan dan seks bebas, pesta minum arak dan buli melibatkan remaja berumur bawah 17 tahun. Malah dilaporkan beberapa kes merogol melibatkan remaja berumur 12 tahun yang kebanyakan berlaku pada waktu lewat malam.

Kisah remaja berpelesiran waktu malam juga mengundang pelbagai andaian. Namun pihak berkuasa dan kerajaan tempatan juga perlu memastikan agar tiada lagi restoran 24 jam seperti kedai mamak atau restoran makanan segera beroperasi selepas 12 malam.

Sebenarnya ini adalah antara punca remaja melepak kerana ada tempat bersembang, berehat yang menggalakkan remaja dan semua golongan umur membuang masa sehingga larut malam.

Gejala melepak waktu malam dalam kalangan remaja sebenarnya mudah menjebakkan mereka dengan pelbagai gejala sosial dan jenayah. Mereka yang rata-rata masih bersekolah sepatutnya berada di rumah menelaah buku pelajaran. Maka peranan ibu bapalah yang lebih penting di sini.
Kecualilah jika ada tuisyen atau urusan untuk kebaikan.

Jika negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Iceland, United Kingdom Australia, Jerman, malah Thailand dan Bukit Tinggi Indonesia, telah pun melaksanakan perintah berkurung remaja. Kenapa tidak Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara Islam belum lagi melaksanakannya?

Negara-negara berkenaan sudah menjadikan perintah berkurung ke atas remaja dan kanak-kanak sebahagian daripada peruntukan undang-undang dengan akta menuntut ibu bapa lebih bertanggungjawab, memantau pergerakan anak remaja pada waktu malam.

Cadangan perintah berkurung bagi remaja bukan sesuatu yang baharu ia memang telah beberapa kali diusulkan, khususnya oleh persatuan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain. Setiap kali ada konvensyen, seminar atau forum maka usul perintah berkurung ditimbulkan.

Namun setakat ini belum ada di pihak kerajaan yang benar-benar mahu melaksanakannya kecuali baru-baru ini diusulkan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Beberapa negara telah melaksanakan perintah berkurung berumur 17 tahun dan ke bawah.  Usia ini rata-rata masih bersekolah, bukan sahaja mereka masih mentah, bahkan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya serta yang lebih dewasa.

Namun, ia tidak sesuai untuk dilaksanakan jika berumur 18 tahun ke bawah kerana sebahagian mereka yang belajar di pusat pengajian tinggi perlu menghadiri kelas serta pelbagai aktiviti lain sehingga jam 11 malam.

Manakala waktu perintah berkurung yang wajar dilaksanakan ialah mulai 11 malam sehingga 5 pagi bagi memastikan pengawasan lebih baik ke atas remaja oleh ibu bapa. Bagaimanapun cadangan itu perlu diperhalusi secara teknikal bersama pakar dan pihak berwajib dengan mengambil contoh beberapa buah negara yang telah melaksanakannya.

Bagaimanapun remaja yang ingin keluar selepas 11 malam perlu bersama ibu,  bapa, penjaga dan mereka yang lebih dewasa. Kajian menunjukkan  perintah berkurung kanak-kanak di beberapa negara yang telah melaksanakan menunjukkan penurunan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Sebahagian negara melaksanakan perintah berkurung menetapkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa. Kanak-kanak 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada urusan penting sahaja.

Manakala kanak-kanak dan remaja yang melanggar perintah berkurung pula akan dibawa ke balai polis, dan ibu bapa mereka perlu membawa mereka pulang. Kawasan kejiranan seperti Rukun Tetangga di Malaysia menjadualkan ibu bapa bergilir meronda kawasan kediaman ketika perintah berkurung dilaksanakan.

Usaha perintah berkurung ini, bukan sahaja perlu dilakukan di Kelantan. Malah ia sepatutnya menjadi agenda nasional dan usaha berterusan bagi mengelakkan gejala negatif dalam kalangan remaja. Seperti mana banyak usul lain, yang akhirnya menjadi perdebatan di media atau sekadar di atas kertas.

Niat murni perintah berkurung remaja ini hendaklah dilaksanakan segera setelah diperhalusi dari setiap aspek dan sudut. Semoga pelaksanaannya nanti dapat mengurangkan kegusaran ibu bapa yang mempunyai anak remaja  dengan pelbagai kerenah dan cubaan yang sentiasa bertukar ganti mengikut peredaran zaman.

* Prof. Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi. Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.