https://critoxium.com/shop/

Terkini

Belanjawan berhemat tetap peduli rakyat

Walaupun belanjawan pertama oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang penuh hemat kerana terpaksa dibentangkan dalam keadaan penuh sukar akibat hutang besar peninggalan kerajaan terdahulu, rakyat terbawah tetap diberikan pembelaan.

Walaupun tidak banyak ‘gula-gula’ ditawarkan seperti belanjawan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilabelkan ‘kedekut’ tetap mengutamakan rakyat, selain perancangan rapi untuk dana bagi mengisi kantung negara.







Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’, setiap butiran belanjawan diberi perhatian teliti oleh rakyat sepanjang pembentangan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sebelum ini mengakui Belanjawan 2019 adalah sukar kerana negara menanggung hutang besar.

Selepas lebih dua jam pembentangan, tidak dapat dinafikan belanjawan yang dibentang tidak memenuhi kehendak semua pihak, namun dapat dirumuskan tumpuan utamanya antara lain berteraskan iltizam mengawal perbelanjaan supaya lebih berhemat, selain mengurangkan pembaziran kewangan kerajaan.

Golongan berpendapatan sederhana dan rendah diutamakan, selain usaha merangsang pembangunan, menarik lebih banyak pelaburan serta menggalakkan kerjasama awam dan swasta menerusi pelbagai platform, terutama membabitkan timbal balik menerusi pembangunan tanah kerajaan.

Pelbagai strategi dan inisiatif digariskan bagi memenuhi keperluan rakyat terutama kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), dengan menjenama semula dan menambah baik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada nama baharu, Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kebajikan warga pesara, pekerja dengan isu gaji minimum, selain isu perumahan serta kebajikan pekebun getah dan sawit turut diberi perhatian. Kebajikan suri rumah, warga FELDA, Orang Asli dan masyarakat luar bandar juga tidak dipinggirkan, selain sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), swasta, aspek pendidikan serta hal ehwal Islam.

Guan Eng mengumumkan peruntukan RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada 2018 untuk kemajuan syiar Islam, selain RM150 juta bagi melaksanakan program, termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara bersama inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan ‘braille’.

Cadangan diutarakan rakyat turut diberi tindak balas dalam belanjawan tahun depan, iaitu memastikan bekas banduan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Insentif dicadangkan adalah potongan cukai tambahan diberi kepada syarikat menggaji pekerja daripada kalangan bekas banduan dengan had jumlah saraan RM4,000 sebulan.

Pengumuman paling menarik mungkin mekanisme baharu berasaskan teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan masalah perumahan dengan membenarkan platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding) yang dipacu sektor swasta.

Skim itu yang akan dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti, diharap menjadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama bukan menerusi pinjaman bank seperti amalan sekian lama, sebaliknya secara pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending).

Inovasi kewangan itu adalah yang pertama di dunia dan sekiranya berjaya, membolehkan pemilikan rumah lebih meluas oleh pembeli rumah pertama di negara ini.

Ringkasnya, Belanjawan 2019 seperti juga bajet lain tahun sebelumnya mungkin tidak memberi manfaat secara langsung kepada sesetengah pihak, tetapi secara umum menyentuh hampir semua sektor dalam usaha kerajaan memenuhi aspirasi rakyat menerusi belanjawan dirangka secara berhemah~B/Harian

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.