https://critoxium.com/shop/

Terkini

PTPTN: Selang beberapa bulan, kerajaan berubah pendirian...

Oleh Howard Lee Chuan How 

Anak muda pemimpin pelapis, suara muda suara pembaharuan.

Menyedari hakikat ini, Pemuda Pakatan Harapan pada 2017 mengemukakan cadangan tentang dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk meringan beban golongan muda.

Saya merupakan salah seorang pemimpin muda yang gigih berusaha menyiapkan usul tersebut.

Terbukti pucuk pimpinan Pakatan Harapan prihatin dengan suara orang muda apabila menerima cadangan baru bayaran semula pinjaman PTPTN itu yang menjadi sebahagian daripada manifesto Harapan pada 2018.
Malah, ia turut menjadi satu daripada 10 janji 100 hari Pakatan Harapan.

Janji tersebut menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan “menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam”.

Malah, Menteri Pendidikan yang baru dilantik pada Mei 2018, Dr Maszlee Malik, telah memberi jaminan kerajaan akan menepati janji PTPTN.

Namun, selang beberapa bulan, kerajaan telah berubah pendirian. Atas alasan ekonomi dan hutang negara, kerajaan melalui Belanjawan 2019 menyatakan peminjam yang berpendapatan lebih RM1,000 sebulan perlu membuat pembayaran semula PTPTN melalui potongan gaji antara dua hingga 15 peratus.

Masalah kegawatan ekonomi akibat salah urus dan korupsi rejim Najib Razak menyebabkan tekanan kos sara hidup masih di takuk lama. Graduan muda menghadapi kesan yang teruk.

Terkapai-kapai di alam pekerjaan
Tidak ada sebab golongan muda, khususnya graduan, yang masih terkapai-kapai dalam alam baru pekerjaan untuk dipaksa membayar semula pinjaman PTPTN.

Kita tidak boleh lupa jasa mereka yang menyumbangkan undi kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu. Jumlah peminjam PTPTN bukan sedikit, hampir tiga juta orang.

Sindiran “bayar ansuran kereta RM600 sebulan boleh tapi bayar pinjaman PTPTN RM90 sebulan tak boleh” seperti yang disuarakan oleh Pengerusi PTPTN, Saudara Wan Saiful Wan Jan, adalah adalah kata-kata yang tidak perlu diungkapkan.

Sebagai seorang pemimpin yang memahami sistem ekonomi pasaran, beliau sepatutnya sedar bahawa dengan keadaan sistem pengangkutan awam negara yang masih lemah.

Dan dalam proses pembaharuan, tidak ada cara lain untuk generasi muda yang bekerja kecuali dengan memiliki kereta persendirian, terutamanya bagi mereka yang baru berumahtangga serta mula berkeluarga.

Bagi mereka yang tinggal di ibu kota, kira-kira RM400 diperlukan untuk menampung kos penggunaan LRT, MRT dan bas.

Sekurang-kurangnya RM500 lagi diperlukan untuk sebuah bilik sewa yang sederhana luas. Tidak pasti berapa banyak wang yang diperlukan untuk makanan seharian.

Jika gaji bulannya hanya melebihi gaji minimum RM1,100 bayangkan kesengsaraan graduan muda di bandar-bandar besar. Di pekan-pekan kecil pula, hampir tiada pekerjaan untuk mereka.

Jika ada pun pekerjaan sementara, terpaksa bersaing dengan anak muda tamat tingkatan 5 serta pekerja-pekerja asing.

Kekalkan janji 100 Hari
Sepatutnya janji bayaran balik PTPTN seperti yang tertera dalam Janji 100 Hari perlu dikekalkan dan dilaksanakan.

Walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak memuaskan, kerajaan Pakatan Harapan perlu berpegang pada janji untuk golongan muda.

Jika hutang negara dan keadaan ekonomi dijadikan alasan, mengapa kerajaan mampu menunaikan janji menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)?

Ia memang satu langkah yang pedih dan menyeksa ekonomi negara, namun kerajaan tetap melaksanakannya atas keprihatinannya kepada rakyat.

Lagi pun, kita bukannya membuat tuntutan tidak munasabah seperti PAS yang mahu menghapuskan pinjaman PTPTN tanpa mengira kesannya kepada ekonomi negara.

Pinjaman wajib dibayar, hanya kaedahnya boleh dirunding dan dilonggarkan. Itu janji Pakatan Harapan.

Janganlah hampakan harapan anak muda. Mereka merupakan pemangkin kemajuan negara. Jangan bebankan mereka dengan cara lama rejim lama; ringankan beban pinjaman PTPTN mereka.
Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, budi baik dibawa mati

HOWARD LEE CHUAN HOW ialah exco kerajaan Perak.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.