15 hujah DAP memang anti-Islam
TERNYATA begitu gerun
sekali Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dengan kebenaran yang dihujahkan
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mengenai
sikap DAP yang menentang usaha menegakkan serta meninggikan syiar Islam
dan kedudukan Melayu-Bumiputera.
Berikut ialah senarai 15 hujah dan bukti
bahawa DAP sememangnya menentang Islam dan kedudukan istimewa
Melayu-Bumiputera, juga kepentingan berkaitan Bahasa Melayu dan
Raja-raja Melayu yang menjadi tonggak utama Perlembagaan Malaysia.
Malah, DAP sudah cukup masyhur terkenal dengan kelantangan celupar dan
biadab, memperlekeh, mempertikai, memprovokasi serta campur tangan
terhadap hal ehwal, institusi dan tokoh Islam juga.
1. Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul
Rahman Osman, sewaktu mempertahankan kandungan khutbah Aidil Adha yang
dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Pahang yang menyebut mengenai campur
tangan DAP terhadap hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di
Kelantan. Malah, tokoh DAP, Karpal Singh cukup terkenal dengan
kata-katanya, “an Islamic state over my dead body”.
2. Perlembagaan DAP jelas menyebut dalam Perkara 2 Matlamat-matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal”.
3. Perkara 3(1) Perlembagaan
Malaysia menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Namun,
dalam Perlembagaan DAP pada Perkara 3 Matlamat-matlamat DAP hanya
menyatakan "mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama”.
4. Sheikh Omar Ali, Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, pada 8 September 2015 menulis, “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan Tuhannya”.
Pegangan DAP yang membataskan urusan beragama kepada soal peribadi ini
bercanggah dengan definisi Islam, iaitu satu cara hidup.
5. Penentangan DAP terhadap cadangan
meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan.
Sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh
dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.
6. DAP juga memiliki rekod membentak
dan ingkar kepada Raja-raja Melayu. Antaranya mengenai isu pelantikan
Menteri Besar Perak apabila Lim Kit Siang yang menyeru agar Adun DAP
memboikot upacara mengangkat sumpah kerana tidak setuju perkenan
Almarhum Sultan Azlan Shah yang melantik Adun PAS sebagai Menteri Besar
pada 2008. DAP juga mengundang murka Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah pada 2014 apabila enggan mengemukakan lebih daripada dua
nama untuk calon Menteri Besar Selangor susulan Langkah Kajang. Ini
tidak termasuk banyaknya lagi celupar pro-DAP terhadap institusi Istana.
7. Lim Kit Siang menuduh khutbah
Jumaat disediakan JAKIM sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha
ke arah keharmonian. Pengerusi Wanita DAP, Chong Eng pula mengkritik
khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Timbalan
Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah
Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
8. Dalam isu laungan azan dan bacaan
ayat al-Qur’an, Dr Tan Seng Giaw telah mempersoalkan di Dewan Rakyat
pada 27 September 2005 keperluan melaungkan azan dan bacaan ayat
al-Qur’an melalui pembesar suara yang dikatakan mengganggu penganut
bukan Islam, terutama pada waktu Subuh, antara disebut beliau, "bahkan juga 1500 tahun yang lampau mana ada pembesar suara?”
9. Dalam isu solat hajat, Teresa Kok mempersoalkan dalam ‘Facebook’
beliau pada 22 Julai 2016 kewajaran Ahli EXCO Hal Ehwal Agama Selangor
dari PAS, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, mengarahkan agar semua masjid di
seluruh negeri mengadakan solat hajat untuk memohon ke hadrat Allah agar
konsert Selena Gomez di Stadium Melawati, Shah Alam pada 25 Julai
dibatalkan.
10. Dalam isu umrah di Makkah,
pemimpin DAP Melaka, Damian Yeo Shen Li, mempersoalkan sama ada dosa
penganut Islam terhapus bila menjejakkan kaki ke Makkah. Sindiran sama
juga telah disuarakan oleh pemimpin DAP Johor, Suppiah Ramakrishnan,
dalam muka buku beliau pada Mac 2016 walaupun ia kemudiannya dipadamkan.
11. Dalam isu aurat, Nga Kor Ming
telah menyindir purdah yang dipakai oleh sebahagian wanita Islam sambil
menyifatkan seorang pemimpin Umno Pulau Pinang, Datuk Ahmad Darus, yang
mencadangkan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 supaya pramugari MAS
memakai pakaian yang menutup aurat sebagai "pemimpin Melayu otak cacat".
12. Dalam isu murtad, Dato’ Ngeh
Koo Ham telah mengeluarkan kenyataan pada 7 Jun 2014, yang diikuti
ucapan sama di Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014, supaya umat Islam
diberikan kebebasan untuk keluar dari Islam. Kata beliau, umat Islam
mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya
sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.
13. Pemisahan DAP dari semua pakatan
politik yang pernah disertainya, iaitu Gagasan Rakyat pada Januari
1995, Barisan Alternatif pada September 2001 dan Pakatan Rakyat pada Jun
2015 kesemuanya berpunca dari ketidaksetujuannya terhadap perjuangan
Islam PAS.
14. Deklarasi Setapak DAP menyatakan, “kesamarataan
etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah
pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan
Bumiputera’ ditentang”.
15. Kuat menyuarakan supaya
konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi
Kaum (ICERD) diratifikasi.
Ini merupakan sebahagian daripada
banyaknya lagi hujah dan fakta serta senarai panjang mengenai DAP dalam
isu ini. Sehubungan dengan itu, kami di Dewan Pemuda PAS Malaysia
mencabar DAP supaya menjawab setiap satu daripada semua hujah ini dengan
fakta yang sahih.
Sesungguhnya kami berdiri teguh di
belakang Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam meninggikan syiar Islam
sebagai teras negara dan bangsa Malaysia serta kedudukan istimewa
Melayu-Bumiputera dan ketuanan Raja-raja Melayu yang berdaulat di bumi
Malaysia ini.'
Oleh:YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.