https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sila peduli titah Tuanku Sultan

KERAJAAN Kedah yang dipimpin Blok Pakatan Harapan digesa agar peka dengan kegusaran yang diluahkan oleh Tuanku Sultan Salehuddin ibn Al-Marhum Sultan Badlishah dalam wawancaranya yang disiarkan oleh salah satu akbar tempatan baru-baru ini.

Menerusi wawancara berkenaan, Tuanku dilihat amat perihatin akan situasi kesengsaraan hidup rakyat luar bandar terutama golongan petani, nelayan dan penoreh yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, harga komoditi pertanian seperti kelapa sawit dan getah yang berada pada kadar rendah, selain turun naik harga petrol diesel yang mempengaruhi harga barangan keperluan harian.

Secara umumnya rakyat Kedah menanti-nantikan program berimpak tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar yang majoritinya dari kalangan orang-orang melayu. Peningkatan ini secara tidak langsung dapat merapatkan jurang ekonomi masyarakat bandar dan luar bandar.

PAS juga melahirkan rasa bimbang sekiranya berlaku pembahagian kek ekonomi yang tidak mesra rakyat, maka keadaan ini berpotensi menyebabkan jurang berkenaan kian melebar, dan akhirnya mewujudkan keadaan tidak kondusif dalam kalangan mereka.

Sepintas lalu, Titah Tuanku menerusi wawancara itu telah menyentuh beberapa perkara yang menuntut respons dan penjelasan lanjut daripada Exco-exco Kerajaan Negeri seperti Perancangan Negeri, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Asas Tani, Pelancongan serta Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan. Exco-exco terbabit seharusnya melihat kembali perjalanan urus tadbir di bawah bidang kuasa masing-masing tanpa menunding jari kepada pihak lain di atas kelemahan yang berlaku.

Dalam hal ini, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, dilihat tidak bersedia serta kreatif mencipta peluang-peluang ekonomi atau meneroka ruang baru untuk pembangunan negeri serta rakyat.

Berbeza ketika PAS menerajui kerajaan Kedah pada 2008-2013, Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah telah mengetengahkan idea 'Kedah Belanda Timur' dengan hasrat menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian yang dapat memenuhi sektor 'food security' pada masa hadapan. Kerajaan pada waktu itu membuka ladang buah-buahan di Carok Genting Bunga, Pedu ,Padang Terap, di samping menggalakkan perusahaan hiliran berasaskan pertanian. Inilah contoh pemikiran 'future agriculture development' yang dipraktikkan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Al-Marhum.

Kerajaan Pakatan Harapan perlu memperlihatkan bahawa mereka mampu mentadbir negeri dengan baik kerana sememangnya PAS telah pun bersedia untuk menjadi pentadbir negeri malah berkemungkinan jauh lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Jadi setakat ini, rakyat juga ingin tahu apa yang telah kerajaan laksanakan sejak berlaku peralihan kuasa pada PRU ke-14 lalu?

Justeru itu, pihak kerajaan negeri hendaklah peduli dan cakna apa yang dititahkan oleh Tuanku dan jangan sampai orang kata, 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.