Apakah formula PH pertahan Semenyih?
Oleh Aliff Fikri Aziz
Pakatan Harapan (PH) kelihatan masih tidak dapat menentu tanggapan yang jelas tentang kekalahan di Cameron Highlands dan bagaimana mengolah kemenangan di Semenyih.
Beberapa pemimpin parti kerajaan menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan PAS yang mengobar-ngobarkan isu kaum dan agama ketika pilihan raya tersebut yang berakhir Sabtu lepas.
Selain calon PH M Manogaran, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan menterinya daripada pelbagai parti Datuk Saifuddin Abdullah (PKR), Anthony Loke (DAP) dan Datuk Seri Mujadi Yusuf (Amanah) turut menyuarakan sisi pandang ini.
Namun presiden PKR Datuk Seri Anwar membangkitkan juga isu-isu kos sara hidup dan manifesto PH yang gagal ditunaikan seperti harapan ramai, selain isu kaum dan agama.
Dalam konteks pilihan raya kecil Semenyih, kurang tiga minggu lagi, tokoh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih jelas kerisauannya tentang janji-janji yang gagal ditunaikan.
Tan Sri Rais Yatim, pengerusi PPBM Negeri Sembilan, kelmarin menyatakan “mungkir janji” antara punca kekalahan PH di Cameron Highlands dan cara mengekalkan Semenyih nanti mestilah dengan menunaikannya.
Beliau mengusulkan agar PH “menutup satu tol”, memenuhi janji kepada masyarakat Felda dan mengawal harga makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak dan susu anak.
“Semenyih menang,” tulis bekas menteri kabinet era Dr Mahathir pada 1980-an,sebelum beliau menyertai Parti Semangat 46 dan kembali menyertai kerajaan pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kerusi negeri ini, yang bakal menyaksikan pertembungan PPBM dengan Umno, terletak hanya kira-kira 13km dari pusat bandar Kajang dan 25 km dari Putrajaya. Jarak pekan Semenyih pula hanya 20 minit ke bandar baru Bangi.
Jadi ia bukan lagi kawasan luar bandar seumpama Cameron Highlands.
Semenyih pula mempunyai lebih 67 peratus pengundi Melayu berbanding hanya 34 peratus di Cameron Highlands. Namun, kawasan parlimen itu mempunyai 22 peratus pengundi Orang Asli.
Menganalisis kekalahan Sabtu lalu, timbalan menteri DAP Ong Kian Ming dengan jelas menunjukkan kegagalan PH menarik sokongan Melayu dan Orang Asli walau sudah menguasai Putrajaya.
“Hanya kerana PH berkuasa di peringkat persekutuan, kita tidak boleh mengandaikan bahawa akan ada perubahan secara semula jadi dalam sokongan terhadap kerajaan persekutuan daripada golongan yang dilihat lebih bergantung kepada sokongan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.
“[Mereka] ini termasuklah masyarakat Orang Asli dan peneroka Felda, dua golongan pengundi yang paling penting di Cameron Highlands,” katanya.
Selain perbezaan cara pandang dalam PH, gabungan baru Umno-PAS yang dianggap punca kemenangan lebih besar di Cameron Highlands mula menambahkan keyakinan mereka bahawa formula itu angat berkesan.
Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki malah menyatakan kalaulah PAS dan BN berpakat pada pilihan raya Mei lalu, untuk menentang PH satu lawan satu, dua parti itu boleh menambah lagi 29 kerusi parlimen. Jumlah ini cukup untuk mengekalkan BN di Putrajaya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang gembira dengan kejayaan gabungan itu, yang bermula sejak pilihan raya kecil Sungai Kandis lagi, yakin kerjasama mereka berterusan ke Semenyih.
“Kerjasama ini amat penting kerana berdasarkan faktor itulah menyebabkan calon mewakili umat Islam menang di parlimen Cameron Highlands,” katanya.
Keyakinan yang sama disebut pemangku presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan. “[Kejayaan] ini jelas menerusi peti-peti undi yang sebelum ini dimenangi PAS tetapi atas kerjasama dua parti ini, iaitu Umno dan PAS, ia dapat membuahkan hasil,” katanya.
Pilihan raya kecil Semenyih yang bermula 16 Februari ini pasti akan disorot, khususnya bagaimana gabungan PAS-Umno membawa isu-isu kaum dan agama, sekali gus menyerang kegagalan PH yang menguasai Shah Alam dan Putrajaya.
Walau PH kelihatan menang dengan majoriti 8,964 undi di Semenyih tetapi gabungan undi yang dikumpul PAS dan Umno pada pilihan raya lalu meletakkan parti kerajaan itu dalam risiko kalah atau setidak-tidaknya persaingannya lebih sengit.
PH hanya ada kelebihan 1,998 undi jika dua parti Melayu itu bergabung. Andaikan undi PSM sebanyak 1,293 tidak memihak kepada PH, maka majoriti PPBM hanya 705 undi.
Walau BN dan Umno dijangka membangkitkan isu kaum dan agama seperti juga di Cameron Highlands, cabaran PH yang terbesar bukan hanya isu ini tetapi kesediaan penyokongnya untuk pulang membuang undi.
Apatah lagi tiga pilihan raya di Selangor tahun lalu menyaksikan kadar keluar mengundi bawah 50 peratus. Sungai Kandis menyaksikan hanya 50.31 peratus, Seri Setia pula 44.1 peratus dan Balakong hanya 43 peratus.
Begitu juga sikap penyokong PH yang mula hilang sabar terhadap kerajaan yang mereka senang hati angkat pada Mei lalu. Semakan umum di media sosial menunjukkan ramai juga penyokong PH gembira DAP kalah di Cameron Highlands.
Apakah sikap sama akan diberikan di Semenyih? Apakah strategi Umno-PAS untuk merampas kerusi ini dan apa pula langkah PH dan Shah Alam mengekang kemaraan gabungan dua parti?
Apakah isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akan dimainkan? Apakah isu pembatalan subsidi air Selangor boleh menjejaskan peluang PPBM?
Apakah Datuk Seri Najib Razak, yang dibicara antara 12 hingga 28 Februari ini atas kes anak syarikat 1MDB, akan terus “troll” seperti di Cameron Highlands?
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.