Hakim langgar etika boleh dipecat
SAYA dimaklumkan
insiden yang tular di atas berlaku di Kota Kinabalu Sabah di majlis
makan malam Opening of Legal Year (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak.
Video-video yang dapat diakses oleh saya menunjukkan penjawat-penjawat
awam di atas bersama beberapa orang lain lagi menari sepentas semasa
majlis makan malam tersebut.
OLY di Sabah dan Sarawak telah diadakan
sejak dari 2001 lagi. Di Peringkat Persekutuan OLY juga diadakan.
Kebiasaannya pada malam hari disusuli dengan majlis makan malam dihadiri
oleh dif-dif kenamaan. Saya difahamkan majlis makan malam tidak
diadakan di peringkat Persekutuan pada tahun ini. Dalam majlis makan
malam OLY Sabah dan Sarawak tersebut diadakan persembahan oleh pegawai
dan peserta dari setiap bahagian yang hadir. Persembahan pula adalah
pelbagai termasuk nyanyian dan tarian.
Adalah khilaf jika dikatakan disebabkan
pertukaran Kerajaan Persekutuan acara ini diadakan kerana ia telah lama
diadakan di Sabah dan Sarawak iaitu sejak 2001. Tuan rumah acara ini
digilirkan mengikut rundingan bersama di Sabah dan Sarawak.
Dalam acara OLY 2019 ini setiap stesen
mengadakan persembahan dan insiden yang berlaku adalah semasa
persembahan tuan rumah. Majlis makan malam pula adalah norma lazim
diadakan setiap tahun oleh badan kehakiman dan guaman sejak sekian lama.
Saya dimaklumkan beberapa dif kehormat
termasuk Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara dan
Menteri Undang-undang dijemput ke pentas untuk menjayakan bersama
persembahan tuan rumah namun dikatakan tidak semua yang berada di pentas
dijemput oleh penganjur ke pentas.
Manakala yang di bawah pentas pula bangun dan menari di samping memberi laluan kepada VVIP ke pentas.
Pada pandangan saya tidak menjadi
kesalahan bagi pihak penganjur menganjurkan OLY 2019 dengan persembahan
dari setiap bahagian bagi memeriahkan makan malam tersebut. Hal yang
demikian adalah lazim dilakukan khususnya di Sabah dan Sarawak. Apatah
lagi hanya yang dijemput sahaja yang hadir ke majlis berkenaan.
Bagi saya isunya bukanlah majlis makan
malam dan persembahan yang diadakan itu tetapi persoalan mengapa
individu-individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari dan
kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan yang lain serta peguam
persendirian yang seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka
sehingga mungkin boleh menjejaskan keadilan.
Saya mendesak Ketua Hakim Negara, Hakim
Besar Sabah dan Sarawak dan Peguam Negara menjelaskan kenapa mereka naik
ke pentas dalam majlis rasmi seperti ini menari bersama sedangkan di
pentas tersebut terdapat Menteri Persekutuan, Peguam Negara,
peguam-peguam persendirian yang akan menimbulkan tohmah kepada institusi
yang sedang mereka ketuai. Walaupun mereka dijemput ke pentas, bagi
memelihara kesucian institusi yang mereka ketuai, sewajarnya mereka
menolak jemputan tersebut kerana menimbulkan fitnah.
Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan.
Oleh itu jika kelihatan Hakim-hakim
sangat mesra menari bersama peguam di pentas yang sama ia akan
menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam.
Untuk penjelasan saya lampirkan di bawah ini sebahagian daripada Kod Etika Hakim 2009
Kewajipan mematuhi Kod
4. (1) Seseorang hakim hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini.
(2) Pelanggaran mana-mana peruntukan
yang ditetapkan dalam Kod ini boleh menyebabkan seseorang hakim
dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan Kod ini.
Mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman
5. Seseorang hakim hendaklah
menjalankan fungsi kehakiman dengan bebas berdasarkan penilaian tentang
fakta dan mengikut pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada
apa-apa pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara
langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau bagi apa-apa
sebab.
Mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman
6. (1) Seseorang hakim hendaklah
pada setiap masa, berkelakuan mengikut cara yang menggalakkan integriti
dan kesaksamaan badan kehakiman.
(2) Seseorang hakim tidak boleh :-
(a) membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya
Dalam melaksanakan tugas-tugas kehakiman dengan adil dan cekap
7 (8) Seseorang hakim tidak
boleh berkelakuan mengikut cara yang tidak wajar sebagai seorang hakim
atau yang boleh membawa atau dikira akan membawa nama buruk kepada
jawatannya sebagai seorang hakim.
Dalam bab mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktivitu luar kehakiman
8. (1) Seseorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak: –
(a) menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim;
(2) Seseorang hakim hendaklah
mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara
individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah
hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau
tanggapan pilih kasih yang munasabah
(7) Seseorang hakim tidak boleh
berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya
sebagai seorang hakim.
Adalah sangat jelas ketiga-tiga cabang
iaitu Kehakiman (Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan beberapa
hakim lain) Executive (Menteri Undang-undang) dan Legislatif (Peguam
Negara yang menggubal undang-undang) ditambah pula dengan beberapa
Peguam Persendirian menari dengan gembira berkongsi satu pentas bersama
menimbulkan pelbagai tohmahan kepada pihak kehakiman. Persoalan juga
timbul adakah insiden ini memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang
sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.
Walaupun pelanggaran etika seorang hakim
mesti diadukan kepada Ketua Hakim pelanggaran etika Ketua Hakim
mestilah diadukan kepada Yang Di Pertuan Agong kerana Yang Di Pertuan
Agong melantik Ketua Hakim.
Saya juga sedar terdapat beberapa
kalangan daripada peguam dan badan eksekutif yang mempertahankan insiden
tersebut dengan pelbagai alasan termasuk menjadi norma lazim para
peguam dan hakim mengadakan majlis makan malam dan berdansa, tidak
menimbulkan sebarang wasangka serta tiada perlanggaran etika. Jalan
terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah dengan merujuk kepada
Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian aduan perlulah dibuat
kepada Perdana Menteri agar membuat representasi kepada Yang Di Pertuan
Agong menurut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan terhadap Ketua Hakim
dan kepada Ketua Hakim bagi Hakim-hakim yang lain mengikut etika
berkenaan jika Perdana Menteri berfikir hakim-hakim tersebut wajar
dipecat, sekiranya tidak tindakan lain menurut undang-undang perlu
diambil. Walau bagaimanapun Ketua Hakim tidak boleh menghakimi aduan
tersebut kerana beliau bersama-sama di dalam majlis berkenaan.
Yang Di Pertuan Agong boleh menubuhkan
suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi
memecat Hakim yang melanggar etika atau suatu tindakan menurut
undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang
wajar akibat perlanggaran etika kehakiman atau tidak, insiden yang
ditularkan ini, mengikut Perkara 125 tersebut.
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.