https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sudah sampai masa IAACA jadi seperti Interpol, WCO

VIENNA: Dua inisiatif penting akan dicadangkan Malaysia dalam Persidangan Agung dan Perhimpunan Tahunan ke-10 Persatuan Penguatkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA).

Naib Presiden IAACA, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, cadangan itu akan disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha melindungi pejuang anti-rasuah dan menjadikan IAACA badan yang lebih berpengaruh dan berkuasa dalam memerangi rasuah sejagat.

“Sudah sudah sampai masa IAACA memainkan peranan yang lebih besar seperti Polis Antarabangsa (Interpol) dan Badan Kastam Dunia (WCO) yang lebih berstruktur dan aktif.

“Kita berbangga Malaysia menjadi peneraju dalam menubuhkan Dana Pejuang Anti-Rasuah untuk membela mana-mana pegawai pencegahan rasuah seluruh dunia yang menjadi mangsa perbuatan balas dendam atas tindakan tegas mereka menjalankan tugas,” katanya di sini pada Ahad.
Beliau memberi contoh kejadian yang berlaku di seluruh dunia di mana ada pegawai dibunuh, diberhentikan kerja sebelum tamat tempoh perkhidmatan, disimbah asid dan pelbagai ancaman kerana kejujuran dan prinsip integriti dalam membanteras penyelewengan, dan mereka ini perlu dilindungi.

Ketika ini, prinsip asas kepada cadangan-cadangan tersebut sudah dibentuk dan perbincangan lebih kelas berkenaan struktur pentadbiran, mekanisme, perundangan dan kewangannya akan dibincangkan dengan lebih jelas dalam persidangan tersebut yang akan berlangsung 21 hingga 22 Januari ini.

Menurut Abu Kassim yang juga Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) itu lagi, kehadiran Dr Mahathir adalah cukup signifikan selepas kejayaan memimpin gerakan yang disokong rakyat untuk menumbangkan parti pemerintah yang dipalit pelbagai skandal penyelewengan.

“Dunia melihat usaha Tun Mahathir dalam menjadikan Malaysia baharu sebagai Malaysia yang lebih bersih, dan ramai yang menawarkan diri untuk membantu keseriusan kita.

“Kehadiran beliau menjadi sumber inspirasi kepada negara lain untuk memerangi rasuah. Usaha perangi rasuah tidak lagi boleh dibuat secara persendirian tetapi memerlukan kerjasama,” ujarnya.

Perdana Menteri yang akan ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijadual tiba di Vienna sekitar jam 6 petang Ahad (waktu tempatan) dan akan memulakan lawatan kerja dengan bertemu Canselor Republik Austria, Sebastian Kurz pada Isnin.

Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama dalam persidangan itu pada Selasa.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.