https://critoxium.com/shop/

Terkini

Keputusan buktikan demokrasi subur


Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN), Ramli Md Noor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kelmarin sedikit mengejutkan bukan kerana kemenangan yang diraih, tetapi undi majoriti diperolehnya.

Pertama kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan Ke-14, kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak pernah meraih kemenangan dengan majoriti besar, namun Ramli berjaya membuktikannya dengan mencatat majoriti 3,238 undi. Sejak dari awal, banyak pihak termasuk penganalisis politik sudah menjangkakan keputusan PRK kelima selepas Pilihan Raya Umum (PRU) itu, mampu berpihak kepada BN. Malah, dalam kalangan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) sendiri, nada kekalahan itu sudah pun disuarakan secara terbuka terutama pada saat-saat akhir tempoh berkempen.

Dalam ceramahnya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanah Rata, iaitu dua hari sebelum mengundi, veteran DAP, Lim Kit Siang, menyatakan kesukaran PH untuk menang di situ, terutama menawan beberapa PDM di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai. Nada disampaikan Kit Siang itu disambut beberapa lagi pemimpin PH termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga berkongsi nada sama. Jika diteliti dari segi keputusan dan gerak kerja kempen kedua-dua parti, status BN sebagai pembangkang di Dewan Rakyat jelas tidak menjadi perkiraan pengundi di Cameron Highlands kali ini.

Sebaliknya, beberapa faktor lain dilihat menjadi sandaran mereka. Ramai yang membuat sekilas analisis bahawa percaturan dalam memilih calon menjadi asas penting dalam menentukan kemenangan dalam PRK ini.

Kebijaksanaan BN menonjol

Keputusan PH meletakkan Manogaran sebagai calon mereka, mungkin hanya berpaksi kepada faktor pengalamannya. Manogaran tidak asing di kerusi itu, memandangkan ini kali ketiga beliau bertanding di sana. Cuma, kebijaksanaan BN yang dilihat lebih menonjol kali ini, mereka mempertaruhkan muka baharu yang profilnya begitu dekat dengan sentimen masyarakat tempatan terutama Orang Asli. Ini boleh dianggap satu strategi saat akhir yang bijak dalam mempengaruhi sentimen pengundi. Atas faktor ini juga, BN nampaknya mengambil kesempatan untuk mengetengahkan politik khidmat bakti, khusus projek dan pembangunan yang mereka salurkan terhadap buat komuniti Orang Asli.

Ketika berkunjung ke penempatan Orang Asli di Pos Terisu, Kampung Sungai Tiang di Ringlet, Kampung Sungai Ruil di Tanah Rata contohnya, hujah kebanyakan masyarakat peribumi di sana ketika ditemui lebih bertumpu kepada apa yang sudah dilakukan BN kepada mereka, berbanding apa yang diharapkan dari PH. Biarpun masih ada masalah dan kekurangan membelenggu penempatan Orang Asli di sana, terutama berkait soal infrastruktur dan status tanah, namun menyentuh aspek membangunkan suku kaum itu, BN terbukti berjaya melaksanakannya ketika menerajui kerajaan dulu.

Ini jelas dikenang suku kaum itu hingga kini. Di Pos Lemoi yang menempatkan tiga perkampungan Orang Asli, contohnya jika dulu untuk ke sana perlu memandu lebih tiga jam menaiki kenderaan pacuan empat roda, namun kini hanya sekitar satu jam sudah memadai dengan motosikal. Kemudahan jalannya sudah diperbaiki, biarpun masih ada laluan yang sedikit berliku. Di dalam pos itu juga menempatkan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Lemoi, sekolah paling pedalaman di Semenanjung.

Satu contoh lagi ialah Kampung Sungai Ruil, antara perkampungan moden Orang Asli di Cameron Highlands yang ketika BN memerintah, mereka memperuntukan lebih RM40 juta untuk projek membangunkan semula kawasan penempatan itu.

Ini antara beberapa contoh usaha BN membangunkan masyarakat itu sehingga jasanya dikenang hingga ke PRK. Atas sebab inilah, kubu BN di PDM yang menempatkan Orang Asli tidak kira di DUN Jelai mahupun DUN Tanah Rata, diakui sukar ditembusi PH sejak awal berkempen lagi.
Sejak awal lagi, strategi menarik keluar ramai pengundi Orang Asli sememangnya diberi perhatian utama setiap jentera BN. Dengan peratusan keluar tinggi, sudah mencukupi buat BN memastikan undi deposit memihak kepadanya, sekali gus menang dalam PRK.

Hasil kerja keras jentera BN, semua PDM menempatkan masyarakat Orang Asli bukan saja terus dikuasai mereka dalam PRK kali ini, bahkan dikatakan menjadi penyumbang undi tinggi diraih calon BN.

Sokongan ahli, pengundi PAS

Satu lagi faktor yang membawa kemenangan kepada BN sudah pastinya sokongan ahli dan pengundi PAS. Pada PRK kali ini, jelas PAS cukup bersungguh-sungguh membantu memenangkan calon BN. Berbeza dengan PRK terdahulu, di mana peranan PAS banyak bertumpu di pentas ceramah saja.

Usaha PAS membantu kempen calon BN bukan hanya terhad kepada penganjuran ceramah, sebaliknya turut membantu dalam kerja-kerja logistik seperti mengangkut pengundi ke pusat pengundian.

Atas kesungguhan PAS kali ini, membuka peluang BN menang di tiga PDM yang sebelum ini dikuasai parti Islam itu. Kemenangan BN dengan undi naik mendadak contohnya di kubu kuat PAS di PDM FELDA Sungai Koyan satu, membuktikan hampir keseluruhan pengundi PAS keluar mengundi calon BN.

Kerjasama BN dan PAS ini sewajarnya menggusarkan PH. Gabungan dua parti yang semakin akrab dan mengukuhkan kerjasama politiknya ini, boleh mengorak pola pengundian terutama masyarakat Melayu untuk PRK seterusnya termasuk di DUN Semenyih. Usaha PH memenangi hati peneroka kali ini juga tidak berhasil.

Ia mungkin disebabkan jentera PH kurang berkesan dalam memberikan kefahaman sebenar mengenai beban hutang besar yang ditanggung FELDA ketika ini. Bagi peneroka, mereka lebih tertarik dengan janji manifesto PH yang mahu hutang mereka dimansuhkan. Namun di pihak PH, ia sukar dilaksana memandangkan FELDA kini dilapor sudah menanggung hutang RM8 bilion dan berdepan kemelut aliran tunai yang teruk.

Tidak kurang juga, ceramah yang diadakan mereka di tanah rancangan itu dari awal hingga hari terakhir berkempen, lebih banyak berkisar soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta yang menyentuh isu terkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bahkan, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir di saat akhir tempoh berkempen turut menyentuh isu sama. Jelas, warga peneroka kurang tertarik dengan topik berkenaan. Masyarakat FELDA juga terhimpit kerana harga sawit yang menjunam serta beberapa ‘habuan’ yang sebelum ini tidak dapat diberi oleh Putrajaya, lantas membuat pilihan memberi undi kepada BN.

Dalam perspektif lebih luas, PRK Cameron Highlands membuktikan proses pilihan raya menegakkan dan menyuburkan lagi prinsip demokrasi apabila semua parti bertanding mempunyai peluang untuk menang. Cuma dalam PRK Cameron Highlands, strategi yang berkesan akan membuahkan kejayaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.