https://critoxium.com/shop/

Terkini

Politik Melayu dalam PRK Cameron Highlands

Oleh Mohd Azizi Jaeh

Pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengakhiri “kemarau” kemenangan setelah 4 kali tewas dalam PRK sebelum ini iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong (Selangor) dan Port Dickson (N.Sembilan).

Ini merupakan peratusan keluar mengundi yang tertinggi berbanding 4 PRK sebelumnya, mencatatkan trend penurunan yang ketara.

PRK dilangsungkan di kawasan luar bandar mencatatkan kira-kira 68% pemilih membuang undi. Malah orientasi budaya politik Melayu luar bandar seperti Cameron Highlands memerlukan sokongan daripada pemimpin tradisonal desa yang konservatif seperti tok batin dan penghulu kampung yang sebahagian besarnya bergantung dari kepada material dan aparatus agama bagi memenuhi keperluan pengikutnya.
Kemenangan calon BN sedikit sebanyak mengubah psikologi dan persepsi selepas kejatuhannya 9 Mei. Ia disifatkan sebagai langkah kanan untuk BN menyusun dan memulihkan semula reputasinya, manakala kekalahan PH membangkitkan protes masyarakat luar bandar terhadap polisi yang difikirkan tidak menguntungkan pengundi. Walaupun janji PH dalam kempen mereka untuk menyalurkan pembangunan kawasan yang agak ketinggalan tidak diambil perhatian pengundi.

Keadaan ini memaksa pengundi Melayu memikirkan tentang keberkesanan PH melindungi kepentingan kelas ekonomi orang Melayu dalam menangani beban harga barangan yang semakin tinggi di luar bandar. Sebagai negeri yang bersumberkan pertanian, masyarakat Felda dan keluarga yang berpendapatan rendah atau B40 terkesan dengan kejatuhan harga komiditi sawit dan getah, penstrukturan semula bantuan sara hidup dan lain-lain bantuan kebajikan sejak 8 bulan PH memerintah.

Bahkan, sejarah kembali berulang menentukan percaturan politik yang tidak lebih daripada perlanjutan sejarah yang berlaku masa lalu. Pengalaman yang dipaparkan ketika era 80-an apabila kemerosotan komoditi paling terendah ketika perdana menteri ke-4 kini kembali semula berulang. Beban sejarah ini merisikokan PH untuk meraih undi dan sokongan.

Di samping itu, BN dan PAS memanfaatkan corak kempennya untuk menyerang PH yang dianggap “kurang mesra” dengan masyarakat luar bandar Felda berbanding era Datuk Seri Najib Razak. Najib antara aktor penting dan nilai tambah bagi Umno Pahang. Sebagai anak jati Pahang dan putera Tun Razak Hussein menebalkan, pengaruh Najib terhadap orang Melayu di kawasan Felda.

Perhatian terpusat pada kawasan DUN Jelai yang merupakan perkampungan tradisi Melayu Felda dan pos Orang Asli yang disifatkan deposit tetap dan “bank undi” kepada BN.

Berbanding dengan Tanah Rata yang komposisinya adalah pengundi Cina yang sejak akhir ini kritikal dengan Umno. Apatah lagi, hampir keseluruhan pengundi Cina dianggap menyokong PH-DAP, manakala masyarakat Pribumi dikira memberikan komitmen sepenuhnya kepada BN dan PAS.

Ternyata perbezaan ruang dan identiti parti politik Melayu dan multietnik menyemarakkan pertembungan untuk mendapatkan sokongan kumpulan etnik masing-masing. Namun begitu, konstituensi dari pengundi Cina dan India begitu penting walaupun dalam kuantiti yang sedikit dalam menentukan kemenangan sesebuah parti khususnya BN.

Malah PH kalah di beberapa peti undi di kawasan Tanah Rata dan Berinchang yang diletakkan sebagai kubu kuat PH akibat protes pengundi muda yang dahulunya mengundi mereka.

Sebagai kawasan yang majoriti penduduknya terdiri dari Melayu 34% dan Orang Asli 21% tidak dinafikan menguntungkan BN dan PAS. Dalam suasana koloborasi Umno dan PAS ketika ini, parti pembangkang menampilkan diri mereka sebagai pelindung kumpulan etnik dan agama sebagai 1 formula.

Hubungan ini menandakan “koleksi baru” parti Melayu dibentuk pasca PRU14 untuk membangkitkan tuntutan kaum yang dirasakan wajar. PH juga berdepan cabaran bertali arus dengan kebangkitan nasionalis Islamis yang bersifat populis ditonjolkan menerusi kerjasma Umno dan PAS.

Orientasi sedemikian menyukarkan PH untuk meyakinkan pengundi di luar bandar sebagai alternatif parti yang dapat menggantikan Umni/BN kerana dianggap parti penaungan (patronage) dalam melindungi kepentingan segmen Melayu dan orang Asli.

Selain, pergantungan sokongan kaum Pribumi tidak boleh dipandang kecil dengan personaliti pemimpin tempatan iaitu Ramli Mohd Nor sebagai calon “heavyweight”.

Kenyataan ini memecahkan tradisi kerusi BN yang lazimya ditandingi calon MIC yang mewakili masyarakat India. Bahkan kekalahan calon DAP buat kali ke-3 merupakan satu tamparan berat terhadap parti tersebut. Namun agak keterlaluan untuk menyatakan tamparan itu sebagai “tamparan maut”.

Setelah 5 PRK diadakan, BN dapat mempertahankan posisinya di luar bandar, manakala PH unggul menguasai demografi yang bercirikan bandar dan semi bandar.

Secara tersiratnya, kedua blok parti ini hanya mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14 yang lalu. Belum ada lagi kawasan PRK yang bertukar tangan. Adakah PRK Semenyih akan menjadi kerusi pertama yang akan berpindah tangan selepas kebangkitan parti politik Melayu di Cameron Highlands dijadikan sebagai kayu ukur? Lebih-lebih lagi akan menyaksikan seteru utama Umno dengan PPBM akan berentap sebagai parti Melayu.

Mohd Azizi Jaeh ialah pelajar PhD dalam bidang Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.