https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenapa Gold Coast destinasi percutian Muslim

Sebut Gold Coast, Australia pasti terbayang pantainya yang indah dan taman tema yang cukup popular tetapi mungkin ramai yang tidak tahu, bandar keenam terbesar di Australia ini menjadi destinasi percutian ‘mesra Muslim’.

Aktiviti disediakan khusus buat pelancong bercuti bersama keluarga dan rakan juga nyata tidak mengecewakan kerana terlalu banyak yang ditawarkan kerana Gold Coast memiliki banyak taman tema seperti Warner Bros Movie World, Dream World, Sea World dan Wet ‘n’ Wild.

Memulakan keseronokan di Dream World dengan tarikan terbarunya, Sky Voyager iaitu permainan maya realiti yang membawa pengunjung terbang mengembara di Hemisfera Selatan merentasi semua ikon Australia.

Menaiki HyperCoaster tertinggi, terpanjang dan terpantas di Warner Bros Movie World di atas trek sepanjang 1.4 kilometer, membuatkan dunia anda berputar dengan 1001 keseronokan yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Menariknya, taman tema Warner Bros Movie World ini bukan saja menawarkan pelbagai permainan mengujakan tetapi mempunyai restoran menyediakan makanan halal.

Mendaki bangunan tertinggi di Gold Coast pula, SkyPoint Climb menjanjikan pemandangan pantai dan pedalaman Gold Coast yang cukup menakjubkan.

Ditambah suasana berlatarkan langit yang indah ketika berada di puncak bangunan ketinggian 270 meter dari aras laut, ia pastinya menyimpan kenangan terindah yang sukar dilupakan.

Bagi kanak-kanak dan warga tua pula, berjalan-jalan di pelantar pemerhati melihat pantai terbentang luas dan ombak yang menghempas memberikan ketenangan tersendiri.

Berada di ‘syurga luncur ombak’ itu, mencari restoran yang menyediakan makanan halal atau mesra Muslim nyata mudah selain menawarkan pelbagai menu menyelerakan.

Antaranya Shiraz Authentic Persian Restaurant dan Baha’s Grill Kebab and Pizza yang bukan saja menyajikan hidangan enak tetapi juga memiliki sijil Halal.

Jika tekak terasa ingin menikmati nasi goreng persis berada di tanah air, Golden Legends Malaysian Restaurant yang dimiliki rakyat Malaysia adalah lokasinya. Namun, pastikan membuat tempahan terlebih dahulu.

Merasai makanan laut segar dari udang hingga ketam, tiram serta sashimi mentah di Charis Seafood pula nyata memberikan nikmat tersendiri.

Konsep diketengahkan Charis Seafood ini juga cukup unik di mana tiada meja disediakan sebaliknya pengunjung bebas menikmati makanan laut yang dipesan di sekitar restoran ala santai.

Nikmati hidangan makanan laut di kafe tepian pantai Currumbin

Menambahkan kelainan menjamu selera di Charis Seafood, anda disarankan tiba sekitar 12 tengah hari untuk makan tengah hari, seterusnya menunggu sehingga jam 1.30 petang bagi melihat sendiri bagaimana Pelikan diberi makan.

Terletak di luar Surfers Paradise, anda disyorkan untuk menaiki Uber atau teksi.
Penginapan di Gold Coast juga nyata tidak pernah mengecewakan sama ada pangsapuri hingga ke rumah mewah. Menariknya, anda juga boleh menyediakan hidangan sendiri terutama tatkala bercuti bersama keluarga besar dan rakan.

Bagi anda yang bercuti dalam kumpulan 10 orang, menginap di rumah mewah cukup berbaloi. Ini kerana menginap di rumah bernilai jutaan dolar seperti jutawan dengan harga berpatutan itu dilengkapi kolam renang, bilik teater dan kemudahan lain yang bukan saja memberikan keselesaan tetapi menambahkan keseronokan bercuti bersama keluarga.


Pangsapuri dari satu bilik hingga tiga bilik tidur juga antara pilihan penginapan popular di tengah Surfers Paradise atau Broadbeach. Pangsapuri The Breakers misalnya, mereka mempunyai perkhidmatan concierge atau penyedia khidmat khas di hotel yang membantu anda membeli daging halal untuk dimasak.

Bagi anda yang inginkan penginapan di tepi pantai, The Ruby Collection mempunyai kemudahan mesra keluarga dengan kolam renang, zon splash untuk kanak-kanak dan taman tema, kelab kanak-kanak dan program aktiviti harian.

Bagaikan tidak lengkap sesuatu percutian itu tanpa aktiviti membeli-belah. Gold Coast juga mempunyai pusat beli-belah terkemuka yang menawarkan pelbagai barangan. Antaranya Pacific Fair dan Harbour Town Shopping Centre.

Selain dipenuhi dengan kedai yang menjual pelbagai barangan, dua pusat beli-belah ini turut dilengkapi dengan kemudahan bilik sembahyang dan juga restoran mesra Muslim.

Penjelajahan di Gold Coast juga cukup mudah. Dengan Kad GOExplore (AUD10), anda boleh menaiki bas dan trem tanpa had setiap hari.

Perkhidmatan trem dan bas ini juga menghubungkan anda dengan pusat beli-belah dan semua taman tema utama yang nyata memudahkan pergerakan anda saat bercuti di sini selain menjimatkan.
Keseronokan taman temanya, penginapan, restoran dan pusat beli-belah yang mesra Muslim sememangnya membuatkan Gold Coast destinasi yang mesti dikunjungi.

Justeru, bagi anda yang ingin mengunjungi Gold Coast, AirAsia X dengan penerbangan setiap hari ke Gold Goast menawarkan tiket bernilai RM499 untuk ekonomi dan RM1,899 untuk Premium Flatbed.
Tempahan tiket kini dibuka sehingga 10 Mac dengan penerbangan bermula 10 Februari hingga 31 Julai di di www.airasia.com . Layari juga www.airasia.com/goldcoast untuk maklumat lanjut

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.