Penyokong PH, Umno sertai PAS di Gua Musang
MALAM ini sekali lagi
sejarah tercipta di Parlimen Gua Musang yang disandang YBM Tengku
Razaleigh Hamzah sejak puluhan tahun lalu. Dun Nenggiri khasnya sejak
sebelum Pilihan Raya Umum yang lepas, mencatatkan rekod yang cukup bagus
dalam gerak kerja pilihan raya. Ratusan penyokong Umno-Barisan Nasional
dan PKR menyerahkan borang menyertai PAS saban minggu beberapa bulan
sebelum 9hb Mei 2018.
Dun Nenggiri sebagai kubu kuat Umno
sejak sekian lama akhirnya dipertahankan parti tua itu pada PRU lalu
dengan majoriti yang amat tipis sekali. YB Ab Aziz Yusoff dengan jumlah
5506 undi memenangi kerusi ini dengan kelebihan 461 undi sahaja
menewaskan calon PAS Mohd Saupi Abd Razak yang memperolehi 5045 undi dan
calon PH Othman Yusoff yang hanya mendapat 788 undi.
Ini berbeza dengan undi besar yang
dikaut Umno melalui calonnya Mat Yusoff Abd Ghani yang sejak PRU 2004
lagi memenangi kerusi ini dengan majoriti yang tinggi. Pada tahun itu
calon Umno ini menang dengan majoriti 2685 undi menewaskan calon PKR
Saudara Mohd Zain Muhammad. Penggal seterusnya pada 2008 beliau sekali
lagi menewaskan calon PKR Saudara Mohd Zuki Ibrahim dengan majoriti 2090
undi. Dan kemuncak karier politiknya adalah apabila beliau menewaskan
Mohd Azihan Che Seman dari PKR dengan 3849 majoriti undi pada tahun
2013. Semua rekod kemenangan calon Umno ini menjadikan Dun Nenggiri
sebagai deposit tetap Barisan Nasional Kelantan.
Namun segalanya berubah apabila berlaku
penghijrahan besar-besaran penyokong Umno bagi menyertai PAS sebelum
PRU14. Diketuai oleh Rawi bin Mohd Noor, pada tanggal 3hb April 2018,
beliau membawa ramai pimpinan Umno di peringkat Cawangan dan juga Pusat
Daerah Mengundi meninggalkan parti keramat itu bagi menyertai PAS.
Alhamdulillah, kemasukan 70 orang ahli Umno Gua Musang yang diketuai
oleh Saudara Rawi bin Mohd Noor itu, yang juga merupakan Mantan Penghulu
JKKP dan 30 anggota Keadilan Gua Musang diketuai oleh Sdr Wan Mohd
Erman bin Wan Zulkifli, Ketua Ranting PKR Ladang SEDC dan Sdr Hassan bin
Idris, Ketua Ranting PKR Kampung Baru Setar disambut penuh gembira oleh
ahli dan penyokong PAS Kelantan.
Turut bersama Abang Rawi pada tarikh
tersebut adalah Puan Khadijah binti Samat, Ketua Wanita Umno Cawangan
Setar Baru, Sdr Mohd Suhaimi Razali, Ketua Pemuda Umno Cawangan Setar
Baru dan Sdr Abdullah Samat, AJK Cawangan Setar Baru.
Abang Rawi kemudiannya pada 9hb April
2018 bersama-sama dengan PAS Kawasan Gua Musang menganjurkan Ceramah
Perdana Menangkan Nenggiri di Kg Baru Star dengan membawa seramai 205
orang ahli Umno untuk menyertai PAS dan borang permohonan diserahkan
kepada Dato’ Hj Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Ketua Penerangan PAS
Kelantan.
Gelombang yang lebih awal lagi
sebenarnya telah wujud apabila terjadinya penghijrahan ahli serta
penyokong PKR Gua Musang yang diketuai oleh Sdr Syed Azhar Syed Alwi
yang juga merupakan Timbalan Ketua Cabang PKR Gua Musang.
Syed membawa lebih kurang 80 orang
anggota PKR di pelbagai peringkat pada tarikh 27hb Mac 2018 bagi
menyertai PAS dan ini menjadi satu tamparan hebat bagi Pakatan Harapan
yang sedang galak memasang angan-angan untuk menawan Putrajaya pada
waktu itu.
Malam ini cukup istimewa apabila seramai
525 orang menyertai PAS dari Dun Nenggiri. Borang keahlian diserahkan
kepada YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Naib Presiden PAS sambil disaksikan
oleh Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz
Azman Ahmad, Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang dan seluruh kepimpinan
lain yang turut hadir. Mereka yang menyerahkan borang ini terdiri
daripada penyokong Pakatan Harapan dan juga ahli ahli Umno diketuai oleh
Abd Manaf bin Che Long.
Perkembangan baharu ini menyaksikan PAS
terus menjadi pilihan orang Melayu Islam Gua Musang bagi meneruskan
perjuangan agama dan bangsa di tanah air tercinta. Bahtera ini terus
kukuh dan gagah melayari ombak dan gelombang perjuangan yang tidak
pernah berhenti. Tahniah PAS Gua Musang di bawah kemudi Ustaz Azman
Ahmad dan seluruh pimpinan kawasan serta Dewan Pemuda dan Muslimat
kawasan yang terus tekun mendepani cabaran dakwah ummah setempat.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.