https://critoxium.com/shop/

Terkini

Prk Cameron Highlands: Medan menguji sama ada PH sudah diterima rakyat atau BN

Oleh Fathi Aris Omar

Cameron Highlands ini tidak akan mengubah banyak tanggapan. Ia hanya medan menguji sama ada PH sudah diterima rakyat atau BN berjaya memulihkan sedikit imejnya.


Ada dua perkara umum yang mahu diperhatikan: siapa yang menang dan berapa besar jumlah majoritinya.

Jika PH menang, ia membayangkan gabungan itu diterima, termasuk dasar dan perdana menterinya. Jika besar majoritinya, lagi besarlah "endorsement" tersebut.

Sekali gus, PH menambah satu lagi kerusi secara rasmi. Walau secara tidak rasmi ia boleh menambah bilangan dengan mengambil wakil-wakil yang meninggalkan pembangkang, khususnya Umno.

Jika BN menang, kerusinya tidak bertambah tetapi jumlah undi yang diraihnya yang menjadi fokus kita. Jika besar majoriti BN, ertinya pengundi menolak PH di sini, termasuk dasar dan pemimpinnya.

Secara mudah, orang akan menafsir begitu daripada PRK Cameron Highlands. Walau sebenarnya ada beberapa lagi faktor yang boleh diperhatikan daripada pilihan raya ini.

Faktor-faktor lain itu termasuklah pengundi dari luar kawasan, saluran (peringkat umur), kecenderungan etnik dan isu-isu yang dibangkitkan. Sama ada strategi (atau kesilapan) yang ada itu berkesan atau tidak.

Yang menarik daripada keputusan ini, sama ada BN atau PH menang, apakah kesannya akan turut mempengaruhi PRK Semenyih nanti.

Jika BN menang besar di Cameron Highlands, semangatnya untuk merampas Semenyih pasti berkobar-kobar walau ia hanya kerusi DUN.

Cita-cita itu tidak terlalu jauh walau nama baik Umno (yang bakal mencabar PPBM) rasa-rasanya masih lagi belum pulih. Tetapi majoriti PH di sini sebenarnya agak rendah jika undi BN digabung dengan undi PAS.

Begitu juga di Cameron Highlands, apakah undi penyokong PAS boleh membesarkan lagi majoriti BN? Atau gabungan itu tidak dapat menahan kemaraan PH?

Yang di Semenyih, saya fikir, persaingan PPBM buat pertama kali selepas PRU Mei lepas akan menguji isu-isu Melayu. Berdepan dengan Umno pula, apakah PPBM boleh mencari formula menjuarai isu kaum itu tanpa menjadi Umno?

Saya rasa dua PRK ini jauh lebih mendebarkan daripada beberapa pilihan raya kecil lepas. Port Dickson ini kita yakin DS Anwar Ibrahim menang, cuma kita mahu tahu berapa majoritinya dan bagaimana keeratan kerjasama jentera PH.

Selepas 8 bulan, di Cameron, bagaimana pengundi melihat PH dan Umno. Selepas 10 bulan pula, di Semenyih, bagaimana mereka melihatnya?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.