https://critoxium.com/shop/

Terkini

Caj kesesakan yang tidak akan mengurangkan kesesakan

Oleh Timmy Say

Sekolah hari ini rata-rata bermula pada 7:20 pagi. Rata-rata kerja pejabat bermula antara 8 pagi dan 9:30 pagi. Pasaraya-pasaraya dan kedai-kedai pula rata-ratanya bermula pada 10 pagi. Oleh itu, majoriti rakyat yang mempunyai anak terpaksa bergerak lebih awal untuk menghantar anak-anak ke pengasuh dan sekolah sebelum pergi bekerja.

Rakyat yang bernasib baik dengan kawasan tempat tinggal yang mempunyai prasarana pengangkutan awam akan dapat menikmati penggunaan pengangkutan awam. Rakyat yang kurang bernasib baik terpaksa memiliki kereta untuk berulang-alik.

Hakikat waktu sekolah dan pekerjaan yang tidak berubah ini menyebabkan rakyat terpaksa menyesuaikan hidup mengikut waktu yang ditentukan. Disebabkan itu, golongan ini terpaksa bergerak atas jalanraya yang sama pada waktu yang sama ketika pergi dan balik kerja sehingga berlakunya kesesakan.
Memilih perjalanan melalui lebuhraya-lebuhraya di kota yang bertol hari ini bukan lagi satu pilihan yang dibuat kerana kemewahan. Ia sudah menjadi satu keperluan yang tidak dapat dielakkan kerana inilah pilihan paling logik ketika waktu puncak untuk tiba di tempat bekerja pada waktunya.
Membayar tol di waktu puncak adalah beban tambahan. Ia umpama hukuman yang tidak perlu kepada majoriti rakyat yang tergolong dalam kumpulan ini.

Dengan latar belakang ini, maka boleh difahami mengapa janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan tol ini menjadi satu janji penting yang memenangkan mereka pada pilihan raya umum ke-14, kerana janji ini sekiranya dapat dilaksanakan akan dapat mengurangkan kos kehidupan majoriti rakyat.

Meskipun secara ekonominya rakyat sangsi PH dapat melakukannya, namun ada pimpinan PH ketika menjadi pembangkang berulang menyakinkan rakyat melalui video terbitannya bahawa ia sangat mudah dilakukan dengan harga RM25 bilion, meskipun kerajaan BN ketika itu menegaskan pengambilalihan semua konsesi tol di seluruh negara akan menelan kos sebanyak RM400 bilion.
Apa yang dirisaukan ternyata benar kerana sehingga kini, PH masih gagal memansuhkan sebarang tol lebuhraya meskipun selepas 9 bulan memegang kuasa.

Kebetulan semasa pilihan raya kecil Semenyih, kerajaan PH mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART di mana ia mempunyai pegangan saham majoriti.

Dalam cadangannya, kerajaan PH juga berkata mereka menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan menggantikannya dengan sistem caj kesesakan. Sistem caj kesesakan yang dicadangkan mempunyai 3 waktu iaitu waktu puncak di mana harga tol sama dengan harga sedia ada, waktu biasa di mana harga tol diberi diskaun 30% dan waktu off-peak antara 11 malam ke 5 pagi di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.

Persoalannya, apa tujuan cadangan ini?

Jika cadangan ini bertujuan untuk menyakinkan rakyat bahawa kerajaan PH sedang membuat sesuatu untuk menunaikan janji memansuhkan tol, maka sepatutnya PH memilih lebuhraya PLUS untuk diambilalih dan bukannya lebuhraya yang dimiliki Gamuda Berhad kerana ramai rakyat dari Perlis ke Johor memilih PH kerana janji memansuhkan tol dan bukannya mereka yang tinggal di Lembah Klang sahaja.

Sekiranya cadangan ini dilakukan untuk mengurangkan kesesakan dengan memaksa para pengguna mengelakkan pengunaan lebuhraya di waktu puncak kerana kadarnya yang lebih mahal, persoalannya bagaimanakah ini dapat berfungsi dengan berkesan sedangkan mereka yang terpaksa keluar bekerja di waktu puncak dikongkong oleh waktu sekolah, pekerjaan dan lain-lain yang di luar kawalan mereka seperti yang disebut di awal tulisan ini?

Di kota, masalah kesesakan di waktu puncak adalah masalah bersama. Malangnya, selain membayar tol untuk perjalanan yang lancar, para pengguna lebuhraya di waktu puncak berhabis banyak masa dan minyak yang tidak diperlukan kerana kesesakan.

Pengorbanan dan kesabaran pengguna lebuhraya bertol di waktu puncak tidak pernah dihargai.
Mereka sebenarnya membantu mengurangkan kesesakan di jalan tidak bertol. Tapi, kini mereka
dibalas dengan pengumuman lebih banyak kamera AES, caj kesesakan dan cadangan diskaun tol dan pelepasan tol di waktu biasa dan off-peak yang tidak menguntungkan mereka.

Jika niat kerajaan PH melakukan mekanisme kutipan tol yang baru adalah untuk mengurangkan kos hidup rakyat, lebih elok kerajaan PH memberikan diskaun kepada tol secara sama rata tanpa mengira waktu, meskipun pada kadar yang kurang daripada cadangan diskaun 30% pada waktu biasa.

Langkah ini dipercayai lebih adil kepada majoriti rakyat yang terpaksa bersesak di waktu puncak kerana faktor realiti semasa. Langkah ini juga dapat dianggap sebagai membalas pengorbanan dan kesabaran pengguna lebuhraya yang terpaksa membayar tol yang tidak dapat memberikan manfaat penjimatan masa dan minyak yang setimpal dengan kadar tol yang dikenakan.

Sekiranya kerajaan gagal berunding dengan syarikat konsesi tol untuk mengurangkan kadar tol, saya mencadangkan agar kerajaan mengenakan tekanan kepada syarikat konsesi tol untuk mencari formula menyelesaikan kesesakan di plaza tol.

Contohnya, syarikat konsesi tol yang gagal mengatasi masalah kesesakan di sepanjang lebuhraya, terutamanya kesesakan di plaza tol, boleh ditarik balik kuasanya untuk mengutip tol sepanjang musim perayaan dan cuti.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.